KelabMama

SALAHKAH IBU BAPA MENGGUNAKAN ABAH-ABAH DEMI KESELAMATAN ANAK?

Di negara-negara Barat, senario ibu bapa ‘mengikat’ anak ketika keluar bersiar-siar merupakan satu perkara biasa. Tindakan itu juga tidak dilabelkan sebagai satu kesalahan besar. Walau bagaimanapun di Malaysia masih belum ramai masyarakat dapat menerima kewujudan abah-abah keselamatan yang dipakaikan pada bahagian dada si kecil. Kebanyakkan ibu bapa yang menggunakan abah-abah ini terpaksa bersabar dengan pelbagai pandangan negatif orang lain terhadap tindakan mereka. Kritikan biasa seperti, ‘Menarik anak seakan-akan binatang’, cukup menghiris perasaan.

Tidak perlu mempedulikan pandangan sesetengah pihak yang menganggap tindakan mengikat anak sebagai kejam, tetapkanlah pendirian peribadi anda demi keselamatan yang tersayang. Penggunaan abah-abah adalah kaedah terbaik demi keselamatan si kecil. Malah, selain mampu mengurangkan risiko kehilangan anak, ibu bapa tidak perlu bimbang anak kesayangan akan merayau jauh ke kawasan yang berbahaya atau diculik. Sama ada berada di pusat beli-belah mahupun ketika melintas di jalan raya, ibu bapa tidak perlu lagi bermandikan peluh mengejar anak mereka. Kesimpulan tepuk dada tanya selera. Nak dengar kata-kata masyarakat yang menyelar atau demi keselamatan anak anda yang tersayang.

Abah-abah wujud seawal abad ke-17 & ke-19

Hakikatnya, penggunaan abah-abah dalam kalangan kanak-kanak bukan satu fenomena moden. Di negara-negara Barat, abah-abah dipercayai telah wujud seawal abad ke-17 sehingga ke-19. Imej kanak-kanak menggunakan sejenis tali pengikat ketika baru belajar berjalan banyak direkodkan dalam lukisan pada era itu. Tetapi, populariti penggunaan abah-abah melonjak sekitar abad ke-20 seiring dengan kepesatan pembangunan bandar-bandar besar. Perasaan bimbang terhadap bahaya anak berjalan di jalan raya mendesak majoriti ibu bapa mengambil langkah menggunakan abah-abah. Keadaan ini memberi peluang kepada golongan pengeluar untuk mempelbagaikan rekaan model abah-abah itu.

(Petikan Daripada Berita Harian)

Penyanyi Siti Sarah Raissuddin nekad menggunakan abah-abah keselamatan atau ‘harness’ selepas melalui pengalaman menakutkan kehilangan anak keduanya, Zakira Talita Zahra, 3, di sebuah pusat beli belah di sini, baru-baru ini. Katanya, tempoh sejam berhadapan detik cemas itu memberi pengajaran supaya lebih mengutamakan keselamatan anak-anak selain menepis pandangan remeh masyarakat terhadap penggunaan peralatan berkenaan.

“Biarlah apa orang kata kerana yang penting keselamatan anak-anak saya. Saya tidak mahu membawa anak keluar tanpa bantuan ‘harness’. Saya enggan mengambil sebarang risiko lagi. Saya akui salah saya kerana tidak mengambil langkah keselamatan sebegini lebih awal lagi. Sukar untuk saya gambarkan insiden cemas yang berlaku dalam sekelip mata itu. Alhamdulillah anak saya, Talita ditemui dalam keadaan selamat di stesen monorel berdekatan.  Mustahil anak saya yang berusia tiga tahun boleh keluar sendiri dari pusat membeli belah dan menuju ke stesen monorel. Namun, saya tidak dapat mengumpul butiran lanjut kerana kelemahan televisyen litar tertutup (cctv) di premis berkenaan.”