KelabMama

“PENGENDALI TASKA & PENGASUH PERLU ADA ILMU ASUHAN KANAK-KANAK”-PRESIDEN PPBM

Penyelia Pusat Asuhan Kanak-Kanak dan Pengasuh perlu menambah ilmu pengetahuan terutama dalam aspek keselamatan, penjagaan kanak-kanak dan  penyediaan dan sajian makanan bayi dan kanak-kanak yang lebih selamat mengikut standard kesihatan. Ibu bapa bekerja biasanya menggunakan khidmat pusat asuhan kanak-kanak atau pengasuh untuk menjaga dan memantau anak-anak mereka serta menyediakan makanan mengikut umur. Ibu bapa telah memberi percaya kepada pengasuh dan pusat asuhan menjaga anak-anak dan bukan sahaja memantau si kecil tetapi juga berkaitan pendidikan awal kanak-kanak seperti membaca dan mengira dan juga mendapat makanan berkhasiat.

President Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Puan Norsheila Abdullah berkata adalah penting penyelia taska atau pengasuh berilmu agar dapat mempraktikkan ciri-ciri keselamatan dalam penjagaan bayi, menyediakan makanan, dan juga pembelajaran untuk bayi atau kanak-kanak.

“Bayi dan kanak-kanak amat sensitif dalam soal keselamatan dan pengambilan makanan, justeru adalah penting penyelia pusat asuhan mendalami ilmu tentang penyediaan makanan berkualiti, sihat dan selamat. Kerajaan turut membantu memberi latihan kemahiran kepada pengasuh agar mereka memahami tugas dan tanggungjawab menjaga bayi dan kanak-kanak. Oleh itu kami di PPBM amat menggalakkan mana-mana penyelia atau pengasuh menghadiri kursus, bengkel atau seminar yang dapat menambah pengetahuan mereka tentang penjagaan, pendidikan serta penyediaan makanan berzat,” beritahu beliau pada Kelabmama baru-baru ini.

Beliau turut kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang berhasrat menjadi pengasuh kanak-kanak tanpa mendapatkan asas latihan yang betul. Menurutnya, kebanyakan suri rumah kini mula mencari peluang mendapatkan pendapatan dari rumah dengan menjadi pengasuh kanak-kanak. Namun, enggan mengikuti kursus berkaitan yang ditawarkan.

“Kita tidak mahu ada pengasuh mengambil sikap sambil lewa dengan tidak mementingkan soal keselamatan sepanjang tempoh menjaga anak-anak di umah. Paling tidak pun mereka perlu ikut  latihan asas penjagaan kanak-kanak di rumah sebagai langkah mengelak hal-hal berbangkit yang tidak diingini. Kursus singkat itu adalah program yang baik dan boleh menambah pendapatan keluarga. Melalui pendedahan kursus singkat, ia dapat memberikan keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak kepada pengasuh terlibat,” katanya lagi.