KelabMama

Pengasuh Terkorban Ketika Menyelamatkan Anak-anak Dibawah Jagaannya

pengasuh

Sejak kebelakangan ini, sangat susah untuk kita mendengar berita yang baik-baik sahaja berkaitan pengasuh. Boleh dikatakan hampir semuanya negatif. Namun, syukur rasa hati apabila masih ada lagi pengasuh yang boleh dipercayai dan mempunyai rasa kasih sayang. Dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku pada 29 Julai lalu, seorang pengasuh sanggup korbankan diri sendiri demi menyelamatkan anak-anak dibawah jagaannya.

Kejadian tersebut berlaku di Batu Pahat, Johor. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Sinchew, wanita yang berumur 59 tahun, Xu, telah meninggalkan dua kanak-kanak yang diasuhnya sebentar kerana keluar untuk membeli sarapan. Kedua-dua kanak-kanak tersebut berumur 2 tahun, di mana salah seorangnya merupakan cucunya sendiri.

Apabila mangsa pulang ke rumah, mangsa terkejut mendapati bahagian ruang tamu rumahnya telah terbakar. Tidak lama kemudian, anak lelakinya yang berumur 31 tahun tiba di tempat kejadian, tetapi tidak boleh masuk ke dalam rumah kerana api semakin marak.

Sumber: ChinaPress

Risaukan kedua-dua kanak-kanak perempuan tersebut, Xu telah mengambil sehelai kain tuala kecil yang dibasahkan, lalu diletakkan di atas kepalanya dan kemudian berlari masuk ke dalam rumah tersebut.

Anak lelakinya pula masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang rumah mereka. Dia mendapati ibunya sedang memegang dua kanak-kanak perempuan tersebut dalam keadaan terduduk. Mangsa bagaimanapun dikatakan tidak bergerak. Dia terus membawa mangsa dan kanak-kanak perempuan tersebut keluar dari rumah.

Seorang daripada kanak-kanak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala lagi seorang dilaporkan melecur sedikit di bahagian kaki. Malangnya, pengasuh, Xu pula mengalami hampir 80% luka terbakar di bahagian muka, tangan, kaki, dada dan bahagian belakang badannya.

Mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan, namun meninggal dunia pada jam 5 pagi 30 Julai 2019.

Menurut anak lelakinya, mendiang ibunya telah menjadi pengasuh selama 24 tahun, dan kedua kanak-kanak perempuan tersebut merupakan ‘batch’ terakhir yang ingin dijaga mangsa.

“Besar tanggungjawab menjaga anak-anak orang lain…”

Sumber: Sinchew

Kasih sayang yang dicurahkan mangsa kepada anak-anak jagaannya sangat tidak ternilai. Mangsa pernah memberitahu anak lelakinya bahawa menjaga anak-anak orang lain merupakan satu tanggungjawab yang besar. Walaupun anak-anak tersebut bukanlah darah daging, namun mereka tetap harus diasuh dan dijaga bagaikan keluarga sendiri.

Sumber: Sinchew

Takziah diucapkan pada keluarga mangsa.