KelabMama

Pengasuh Tak Berhati Perut Dera Anak Asuhan Hingga Mati

Sejak kebelakangan ni, sering betul kita dengar tentang kes dera anak ni. Sampaikan ibubapa pun dah ragu-ragu nak hantar anak ke tempat asuhan. Macam mana tak ragu-ragu kalau kita disogok dengan berita-berita negatif macam ni. Tapi apakan daya kalau dua-dua bekerja, maka terpaksalah hantar juga anak ke tempat asuhan.

Penderaan ke atas kanak-kanak meninggalkan kesan yang sangat besar ke atas fizikal dan emosi kanak-kanak itu sendiri.

Menyirap darah Mama Siti bila dengar berita terbaru tentang sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki dera anak asuhan mereka yang berusia 4 tahun sampai mati pada 29 September lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli, pasangan suami isteri berumur 36 dan 30 tahun itu turut disyaki terbabit dalam dalam kejadian dera seorang lagi anak asuhan mereka dan dua orang anak mereka.

“Pada Ahad lepas kami menerima panggilan pada kira-kira 1.20 tengah hari melaporkan bahawa terdapat seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di sebuah rumah di Jalan Yadi Klang dan kematian kanak-kanak itu disahkan oleh pasukan kecemasan yang dikejarkan ke tempat kejadian.”

Yang buat Mama Siti sedih sangat bila mama dapat tahu yang hasil bedah siasat yang menunjukkan punca kematian adalah kerana kecederaan yang ada pada intra abdomen akibat hentakan objek tumpul serta terdapat kira-kira 41 kesan kecederaan baru dan lama di tubuh mangsa.

Pasangan suami isteri itu ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang berada bawah jagaan mereka, Ahad lalu.

Beliau berkata lagi bahawa pihak polis telah pun tahan suami isteri tersebut yang juga bekerja sebagai pengasuh kepada mangsa pada kira-kira 11 pagi semalam.

Tambahnya lagi, ketika pegawainya yang lain sedang buat siasatan ke atas pasangan berkenaan, pegawainya turut membuat pemeriksaan fizikal ke atas tiga kanak-kanak yang dibawa bersama oleh pasangan itu.

“Pemeriksaan di badan kanak-kanak lelaki berusia lapan dan lima tahun dan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang merupakan kembar kepada si mati itu terdapat bekas kecederaan baru dan lama disyaki akibat didera oleh kedua-dua suspek.”

Terkejut Mama Siti bila dapat tahu yang dua kanak-kanak lelaki ini merupakan anak kandung suspek wanita tersebut hasil daripada perkahwinan terdahulu. Anak sendiri pun sanggup diseksa, Mama Siti hanya boleh geleng kepala saja dengan perbuatan manusia kejam ni. Tiga kanak-kanak ni kini ditempatkan di HTAR bagi pemeriksaan lanjut.

Tambah Shamsul Amar, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

BACA JUGA KANAK-KANAK 5 TAHUN MENINGGAL DUNIA DIPERCAYAI DIDERA BAPA TIRI

Sumber: Berita Harian

Pesan Mama Siti:

Mama Siti memang tak boleh ‘brain’ dengan manusia bertopengkan syaitan ni yang suka sangat mendera anak ni. Kenapa perlu dera anak sebenarnya? Kalau ada masalah, luahkan pada orang-orang terdekat, yang boleh dipercayai. Kenapa sampai anak sendiri pun dicederakan? Penat-penat mengandung, senang saja angkat tangan dekat budak tu. Apa salah anak-anak kecil tu?! Hari-hari berita macam ni, mau darah tinggi Mama Siti. Apa-apa pun AlFatihah buat anak kecil tersebut.