KelabMama

Pengasuh Mencekik Sambil Baring Atas Bayi 11 Bulan Hingga Maut

Bukanlah sesuatu yang luar biasa, salah, mahupun kejam untuk ibu bapa bekerja menghantar anak-anak ke rumah pengasuh. Saya rasa, tak ada seorang ibu bapa pun yang rasa gembira biarkan anak berada di bawah jagaan orang lain, terutamanya anak-anak yang masih kecil. Sedih, gusar, takut, semua ada. Tambahan pula dengan pelbagai kejadian yang melibatkan pengasuh sejak tahun lalu.

Terbaru, seorang pengasuh telah didakwa mencekik bayi dengan berbaring di atasnya hingga maut, di sebuah pusat asuhan di Taiwan. Dalam sebuah rakaman CCTV, pengasuh yang bernama Liao dilihat berbaring di atas seorang bayi lelaki di pusat jagaan We Care Baby di Neihu, Taiwan.

Sumber: DailyMail

Suspek Mendakwa Hanya Mahu Tidurkan Bayi

Dalam rakaman tersebut, Liao yang berumur 40 tahun telah berbaring dan menekan bayi lelaki yang berusia 11 bulan. Menurut laporan DailyMail, Liao telah ditahan atas tuduhan membunuh. Namun, pengasuh yang kejam tersebut menegaskan bahawa dia tidak bersalah, dan mangsa sedang tidur apabila dia berhenti bergerak.

Sumber: DailyMail

Walau bagaimanapun, jelas di pita rakaman menunjukkan mangsa kelihatan kesakitan dan terngaga apabila suspek baring di atasnya. Rakaman video tersebut kemudiannya menunjukkan Liao ‘melepaskan’ mangsa dan bermain seperti biasa dengan bayi yang berada di sebelah mangsa.

Mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan tidak bergerak oleh seorang pengasuh yang lain, Wu. Wu, 61, dilihat cuba untuk menggerakkan mangsa dan segera menelefon polis.

Sumber: DailyMail

Menurut Pejabat Pendakwa Daerah Shilin Taiwan, Liao telah ditahan atas tuduhan pembunuhan dan dibebaskan dengan jaminan 30,000 Dolar Taiwan (dianggarkan bernilai RM3,972).

Suspek Tetap Dengan Alasan Sendiri

Liao bagaimanapun masih menegaskan bahawa dia hanya cuba untuk menidurkan bayi malang itu dengan memeluknya erat. Suspek juga fikir mangsa sedang tidur nyenyak apabila dia berhenti bergerak selepas itu. Allahu, sudah terang lagi bersuluh kamu mencekik bayi malang tersebut!

Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri pada jam 2.10p.m dan disahkan meninggal pada pukul 3.30 petang di Tri-Service General Hospital. Mangsa juga dikatakan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia masih hidup ketika dalam perjalanan ke hospital.

Pasukan Paramedik sedang cuba untuk menyelamatkan mangsa.
Sumber: DailyMail

Siasatan masih diteruskan dan satu bedah siasat akan dijalankan ke atas bayi berkenaan.

Komen Mama Siti

Mama Siti sendiri tak faham dengan para pengasuh yang kejam macam ni. Cik pengasuh, sekiranya kamu dah berniat untuk mengasuh, menjaga anak-anak orang lain, jagalah amanah itu dengan baik. Mungkin dengan mengasuh ni juga merupakan sumber untuk menampung hidupan harian kamu bukan? Sama juga dengan ibu bapa kepada anak-anak asuhan kamu. Mereka terpaksa hantar anak-anak mereka untuk dijaga orang lain kerana mereka juga perlu bekerja, sama seperti kamu. Marah, geram macam mana pun, cuba bayangkan kalau itu terjadi dekat ahli keluarga sendiri. Menyesal ke menyesal? 
Takziah juga Mama Siti ucapkan pada keluarga mangsa. Mama Siti harap hal ini tidak berlaku pada anak-anak Mama yang lain. Sama-sama kita doakan kesejahteraan bersama.