KelabMama

PENDARAHAN RINGAN KETIKA HAMIL TIDAK BERISIKO?

Pendarahan ringan dari faraj atau dikenal juga sebagai spotting yang menyamai haid tetapi ringan sedikit. Warna darahnya pula berbeza daripada merah hingga coklat. Sekiranya ternampak ada pendarahan, pastinya wanita akan berasa bimbang, lebih-lebih lagi jika dirinya sedang hamil. Sebenarnya, pendarahan yang berlaku dalam minggu-minggu awal kehamilan biasa berlaku. Satu perempat daripada wanita hamil mengalami pendarahan dalam trimester pertama. Tambahan pula, jika wanita tersebut telah menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) atau rawatan lain yang serupa bertujuan untuk membantunya hamil. Hal ini mungkin disebabkan oleh cara bayi tersebut disenyawakan.

Dua embrio mungkin diletakkan ke dalam rahim dan kedua-duanya mungkin telah menempel (implantasi) tetapi salah satu daripadanya tidak kekal. Keadaan ini dipanggil kembar yang hilang dan boleh menyebabkan pendarahan. Dalam kebanyakan kehamilan, pendarahan ringan tidak mendatangkan masalah dan dianggap sebagai perkara biasa sahaja. Namun, pendarahan boleh menjadi serius jika melibatkan keguguran. Oleh itu, wanita mengambil perhatian yang serius terhadap sebarang pendarahan semasa kehamilan dan mendapatkan pemeriksaan doktor.

PUNCA PENDARAHAN RINGAN

Dalam fasa awal kehamilan, pendarahan ringan biasanya tidak membahayakan dan disebabkan oleh hormon yang mengawal kitaran haid dan mencetuskan pendarahan apabila sampai masa sepatutnya wanita didatangi haid. Keadaan ini dipanggil pendarahan penebusan. Wanita mungkin mengalaminya lebih daripada sekali, sekitar waktu wanita biasanya didatangi haid semasa dia belum hamil. Hal ini boleh juga disebabkan oleh pelekatan ovum yang telah disenyawakan pada lapisan rahim wanita. Jenis pendarahan implantasi ini biasanya berlaku selama satu atau dua hari.

Masalah Fibroid

Selain itu, terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan pendarahan ketika wanita hamil seperti pintu masuk ke pangkal rahim mungkin mengalami kerengsaan akibat hormon kehamilan yang boleh mengubah permukaan serviks membuatkannya cenderung untuk berdarah. Contohnya, pendarahan mungkin berdarah sedikit selepas melakukan hubungan seks atau masalah fibroid, iaitu ketumbuhan pada dinding rahim. Jangan bimbang, fibroid bukannya kanser. Kadangkala pendarahan berlaku disebabkan masalah plasenta yang melekat apabila terdapatnya fibroid. Selain itu, polip serviks (cervical polyp), iaitu ketumbuhan kecil pada serviks juga boleh menyebabkan pendarahan dan tidak membahayakan. Masalah lain yang menyebabkan pendarahan ialah jangkitan pangkal rahim atau faraj dan penyakit keturunan seperti penyakit von Willebrand yang membuatkan darah sukar membeku.

Masalah Kehamilan Ektopik

Punca lain yang menyebabkan pendarahan semasa awal kehamilan yang sering dialami oleh kebanyakan wanita ialah keguguran dan kehamilan ektopik (kehamilan di luar rahim). Pendarahan jenis ini biasanya turut disertai dengan sakit perut dan kejang otot, terutama di bahagian perut. Keguguran pada awal kehamilan biasanya berlaku apabila embrio tidak berkembang dengan betul. Pendarahan akibat keguguran beransur-ansur menjadi banyak. Malah, sesetengah wanita mengalami keguguran sebelum mengetahui bahawa mereka hamil dan menganggap kesakitan tersebut menandakan mereka didatangi haid. Kehamilan ektopik pula berlaku apabila ovum yang disenyawakan melekat pada bahagian luar rahim. Sekiranya wanita mengalami kehamilan ektopik, pendarahan mungkin berlaku tanpa henti dan darahnya berwarna gelap dan cair seperti jus prun. Kehamilan ektopik boleh membuatkan wanita mengalami sakit teruk dan perlu dirawat dengan segera.

Masalah Kehamilan Molar

selain kehamilan ektopik, terdapat satu lagi kehamilan yang boleh menyebabkan pendarahan dan telah menjejaskan kira-kira 2.8 daripada 1000 kehamilan di Malaysia. Kehamilan molar (kehamilan anggur) berlaku apabila embrio tidak membesar dengan normal tetapi sesetengah sel yang membentuk plasenta terus membesar secara abnormal. Wanita yang mengalami kehamilan molar perlu dirawat dengan segera.

LAKUKAN PEMERIKSAAN LANJUT

Kesemua penyebab pendarahan yang dinyatakan mempunyai kaitan dengan keadaan yang sedang berlaku dalam badan wanita. Namun, jika berlaku pukulan daripada luar perut wanita yang membawa atau mencetuskan pendarahan. Sebagai contoh pukulan tersebut boleh diakibatkan jatuh, kemalangan jalan raya atau tumbukan secara langsung pada perut.

Sekiranya wanita mengalami pendarahan faraj semasa hamil, hubungi doktor dengan segera untuk mendapatkan nasihat walaupun pendarahan itu akhirnya berhenti. Wanita mungkin perlu ke hospital dan berjumpa doktor untuk mengenal pasti sebab pendarahan tersebut. Doktor mungkin akan membuat pemeriksaan dalam faraj untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik atau menasihatkan wanita membuat imbasan ultrabunyi. Melalui imbasan ultrabunyi, doktor boleh melihat keadaan bayi dalam rahim atau berlakunya kehamilan ektopik. Pemeriksaan faraj dan imbasan ultrabunyi selamat dan tidak membahayakan kehamilan wanita.

Doktor juga mungkin akan membuat beberapa ujian rutin. Darah dan air kencing wanita mungkin diuji untuk melihat tahap hormon kehamilan. Ujian untuk memeriksa kumpulan darah dan status resus juga mungkin akan dijalankan. Kebanyakan orang mempunyai darah yang berstatus resus positif. Sekiranya darahnya ialah resus negatif, wanita akan ditawarkan suntikan anti-D imunoglobin. Suntikan ini dapat menghalang badan wanita daripada bertindak balas jika bayi mempunyai resus positif dan darah wanita akan bercampur dengan suntikan anti-D pada mana-mana tahap kehamilan.

KESELAMATAN BAYI

Kemungkinan besar bayi akan selamat kerana pendarahan ringan biasanya tidak membahayakan. Kebimbangan itu normal, malah ramai wanita yang dapat meneruskan kehamilan dengan sihat walaupun berlaku masalah pendarahan awal. Walaupun pendarahan kadangkala merujuk tanda awal keguguran, wanita akan turut mengalami kekejangan perut dan pendarahan boleh menjadi semakin teruk. Lazimnya, pendarahan ringan biasanya akan berhenti sendiri. Dianggarkan bahawa separuh daripada bakal ibu yang meminta bantuan perubatan kerana pendarahan awal dapat meneruskan kehamilan dan bersalin tanpa sebarang masalah.

Sumber: Utusan