Bagi seorang wanita, keinginan untuk bergelar ibu bukan sekadar impian. Ia adalah naluri yang datang bersama doa-doa kecil, dipujuk dalam diam, siang dan malam. Ada yang Allah beri cepat, ada yang perlu menunggu lama, dan ada juga yang diuji dengan jalan yang terlalu panjang sehingga hati hampir putus asa.
Begitulah kisah Juliana binti Razid, seorang penjawat awam berusia 44 tahun dari Taiping, Perak, seorang bekas pesakit kanser payudara yang jarang berlaku, yang menyimpan impian menjadi ibu hampir separuh hidup perkahwinannya.
Ujian yang Hadir Tanpa Dipinta
Tahun 2016 menjadi titik paling mencabar dalam hidup Juliana apabila beliau disahkan menghidap karsinoma mukinus (mucinous carcinoma), sejenis kanser payudara yang jarang berlaku. Pada ketika itu, soal anak terpaksa diletakkan di tepi kerana keutamaan hanyalah satu sembuh dan terus hidup.
Beliau menjalani pembedahan dan kemoterapi dengan hati yang reda. Walaupun sakitnya bukan sedikit, Juliana percaya setiap ujian Allah datang bersama hikmah yang tersendiri.
Selepas disahkan bebas kanser, keinginan untuk memiliki zuriat kembali hadir. Namun kehamilan bukan sesuatu yang mudah buat Juliana kerana kansernya bersifat hormon positif dan kehamilan berisiko mencetuskan kanser kembali.
Cubaan bermula dengan IUI. Beberapa kali mencuba, hanya sekali Juliana disahkan hamil, namun kandungan itu tidak berkembang. Hati luluh, tetapi doa tidak berhenti.
Kredit Gambar: Siakap Keli
Rawatan IVF pula menjadi perjalanan paling panjang. Tujuh kali IVF, tujuh kali juga hati dipujuk semula. Ada kitaran yang gagal awal, ada embrio yang tidak membesar, dan ada harapan yang terhenti di tengah jalan.
Setiap kali gagal, mereka ambil masa untuk bersedih. Menangis, berehat, kumpul semula kewangan, dan kuatkan hati. Kemudian, mereka bangkit lagi. Bagi mereka, usaha itu satu tanggungjawab, manakala hasilnya tetap milik Allah.
Hadiah Terindah Selepas 11 Tahun Penantian
Pada kitaran terakhir IVF, Allah menjawab doa mereka. Kehamilan itu hadir, tetapi penuh dengan cemas. Pada awal kandungan, Juliana mengalami pendarahan dan disahkan berisiko keguguran.
Setiap hari dilalui dengan doa dan harapan. Tidak berani terlalu gembira, tidak berani berkongsi terlalu awal. Cukup sekadar bersyukur setiap kali diberi peluang untuk terus melangkah ke hari seterusnya.
Akhirnya, selepas 11 tahun penantian, Juliana selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang sihat dan ini hadiah terindah selepas perjalanan yang penuh air mata, sabar dan penantiannya terasa berbaloi.
Kisah ini bukan tentang bekas pesakit kanser atau perjalanan IVF semata-mata. Ini kisah tentang seorang wanita yang tidak pernah berhenti berharap untuk menjadi ibu, walaupun diuji berkali-kali.
Untuk Mama di luar sana yang masih menunggu, jangan pernah putus doa dan percaya. Setiap ujian ada hikmahnya, dan suatu hari nanti, insyaAllah Allah akan hadiahkan kebahagiaan dalam bentuk yang paling indah. Mama Siti doakan Mama semua dipermudahkan untuk bergelar ibu.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Ketahui lebih banyak acara dan berita trending untuk Mama Papa DI SINI!
