KelabMama

#BencanaKimKim Pencemaran Toksik di Pasir Gudang Semakin Kritikal

pasir gudang

Terkini, seluruh sekolah di Pasir Gudang telah diarahkan tutup serta-merta berikutan pencemaran toksik yang berlaku di daerah itu sejak seminggu yang lalu. Perkara ini telah dimaklumkan sendiri oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerusi laman Facebook beliau, semalam.

“Sehubungan itu 111 buah sekolah diarahkan tutup serta merta berkuat kuasa hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Sehubungan itu, semua murid, guru, kakitangan dan pekerja di semua sekolah-sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah masing-masing sehingga situasi kembali pulih,”

Dr Maszlee Malik

Calon SPM Ambil Keputusan di PPD Pasir Gudang

Dalam pada itu, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sekolah yang ditutup susulan bencana pencemaran sisa bahan kimia boleh mendapatkan keputusan peperiksaan mereka di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang bermula jam 10 pagi hari ini.

Lembaga Peperiksaan (LP) ketika memaklumkan perkara itu berkata, calon juga mempunyai pilihan untuk menyemak keputusan SPM 2018 mereka melalui perkhidmatan mySMS 15888 yang akan diaktifkan mulai jam 10 pagi esok hingga jam 6 petang, 20 Mac.

“Keputusan juga boleh disemak melalui laman web LP di alamat sppat.moe.gov.my/semakan. LP prihatin dengan situasi dihadapi calon yang terjejas dengan bencana berkenaan dan akan memastikan mereka dapat menyemak keputusan SPM 2018 di tempat lain supaya lebih selamat,”

947 Orang Awam Menerima Rawatan

Dalam maklumat terkini yang diperoleh KelabMama, seramai 947 orang awam telah rawatan di fasiliti Kementerian Kesihatan sejak 7 Mac lalu hingga jam 8 malam tadi. Mengikut laporan TheStar, seramai 266 mangsa dilaporkan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail dan 42 lagi mangsa perlu menerima rawatan rapi di Hospital Sultanah Aminah.

Selain itu, beberapa universiti tempatan di Pasir Gudang turut di arahkan tutup serta-merta berikutan kejadian yang berlaku.

Sumber: Bernama

Sebanyak lapan sebatian kimia berbahayan disahkan dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. Antaranya ialah metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene, toulene, xylene and limonene.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata semua sebatian kimia berkenaan ditemui selepas Jabatan Kimia menganalisis secara lebih terperinci sampel air Sungai Kim Kim, khususnya di kawasan sisa kimia berbahaya berkenaan dibuang.

Tempat Pembuangan Sisa Bahan Kimia

Bagaimana Bahayanya Bahan Kimia Tersebut?

Antara bahan kimia yang disenaraikan, yang paling merisaukan ialah ‘Acrylonitrile’. Acrylonitrile adalah cecair berwarna putih dan baunnya seakan-akan bawang atau bawang putih. Bahan kimia ini merupakan cecair yang mudah meruap dan mempunyai takat didih hingga suhu 77 darjah selsius. Ianya merupakan bahan yang digunakan dalam industri pembuatan plastik, contohnya getah sintetik, ABS dan ASA.

Apabila badan kita terdedah kepada Acrylonitrile, kita akan berasa pening kepala, muntah, hilang keupayaan berfikir, susah bernafas, lemah anggota badan, kulit berubah biru, sawan, blisters, sawan, mata kemerahan dan pengsan. Pendedahan berterusan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan penyakit kanser paru-paru dan prostat! Pendedahan yang tinggi pula boleh menyebabkan kesan toksik akut; kecederaan hati akut, iritasi mukosa saluran pernafasan, dan keracunan sianida.

Benzene diklasifikasikan sebagai karsinogen. Pendedahan terhadap benzene boleh menyebabkan kanser dan juga ‘aplastic anemia’, leukemia, keabnormalan sumsum tulang dan penyakit kardiovaskular.

KelabMama doakan semua mangsa cepat sembuh dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Peka dengan arahan terkini dan sentiasa pastikan anda mendapatkan rawatan dengan segera jika mempunyai tanda-tanda di atas.