KelabMama

Banjir Kena Solat Ke? Panduan Penuh Ibadah Semasa Musim Banjir

Setiap kali musim tengkujuh, banjir yang teruk akan melanda negara kita. Tahun ini, negeri Kelantan dan Terengganu paling menderita dilanda banjir.

Disebabkan keadaan darurat ini, memang sukar untuk mangsa banjir beribadah, mahupun mencari tempat yang bersih untuk menunaikan solat dan sebagainya, tetapi sebagai umat Islam, tidak wajar untuk kita meninggalkannya.

Untuk pengetahuan Mama, terdapat beberapa rukhsah dalam ibadah apabila berhadapan dengan keadaan sukar sebegini. Tambahan pula, waktu-waktu bencana alam ni adalah masa yang jauh lebih baik untuk kita dekatkan diri dengan Allah S.W.T.

Jom tengok kita tengok panduan ibadah semasa musim banjir yang dikongsikan oleh satu ciapan Twitter di bawah:

Panduan Penuh Ibadah Semasa Musim Banjir

Kredit gambar: Shutterstock

1. Air banjir boleh dikira air mutlak sebab kuantiti dia banyak. Jadi ia boleh diguna untuk berwuduk. Tapi yang sunat macam berkumur dan masukkan air dalam hidung tak perlu. Kalau ada najis atau bangkai yang berdekatan air tersebut, boleh guna air yang jauh sikit dari tempat tu.

2. Air banjir juga boleh digunakan untuk beristinjak. Jika ada benda-benda kesat seperti tisu, kertas dan kain, ia juga boleh digunakan. Benda yang tak boleh guna ialah najis seperti tahi kering atau benda-benda yang dihormati macam makanan.

Kredit gambar: Shutterstock

3. Kalau pusat penempatan banjir terputus bekalan air atau air tu cukup untuk minum je, boleh tayammum. Mangsa banjir yang sakit dan tak boleh guna air pun boleh tayammum. Kalau susah dapat debu tanah, boleh tepuk debu yang ada dekat dinding, cermin, meja atau tempat-tempat lain.

4. Solat Jumaat wajib untuk lelaki. Kalau ada masjid dan surau yang dekat dan tiada halangan, kena solat kat sana. Kalau ada halangan, pusat pemindahan banjir kena hubungi Jabatan Mufti supaya luluskan solat Jumaat dekat pusat tu.

Kredit gambar: Shutterstock

5. Masa banjir, mangsa atau petugas banjir boleh solat jamak ketika situasi mendesak macam selamat diri dan juga harta. Kalau sempat jamak taqdim sebab dulu takut ada kesukaran nak jamak takhir, maka digalakkan untuk solat jamak taqdim.

Kredit gambar: Shutterstock

6. Aurat wajib tutup bagi lelaki & perempuan. Kalau darurat syarie, boleh bersentuhan antara bukan mahram sekadar perlu je. Penempatan mangsa banjir yang bujang perlu diasingkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

7. Yang berkeluarga boleh letak di tempat yang terpelihara aurat mereka. Boleh guna langsir, khemah atau pemisah yang lain. Mangsa atau petugas banjir kena jaga pergaulan antara bukan mahram dan tidak berada dalam situasi yang boleh menimbulkan fitnah.

8. Dalam situasi banjir, air banjir boleh digunakan untuk mandikan mayat. Yang mandikan jenazah kena yang sama jantina. Kalau pusat pemindahan takde air atau air hanya cukup untuk minum je, boleh tayammumkan mayat bagi ganti mandi jenazah. Kalau tayammum pun tak boleh, terus solat.

9. Yang kafankan jenazah pun kena yang sama jantina. Pastu kalau tak ada kain yang mencukupi atau warna putih, boleh guna sekadar yang mampu untuk tutup jenazah. Selepas itu wajib disolatkan dan dikebumikan dekat tanah perkuburan yang disediakan pihak berkuasa.

10. Tak boleh ambil harta orang lain tanpa dibenarkan pemiliknya. Kalau dalam darurat syarie, makanan atau barang yang dimakan dan diambil sekadar untuk terus hidup, mesti diganti semula atau dibayar harganya jika diketahui pemiliknya.

Kredit gambar: Shutterstock

11. Jika pemiliknya tak diketahui lepas dicari dengan bersungguh-sungguh, kena usaha hebahkan. Kemudian dia kena sedekah harga anggaran makanan atau barang yang diambil itu. Kalau pemiliknya dijumpai lepas tu, kena ganti semula atau bayar harga mengikut budi bicara pemiliknya.

12. Barang yg kita jumpa waktu banjir ni kita boleh bahagi kepada 2 jenis. Pertamanya yg mudah rosak atau susut nilai macam makanan yang dah dimasak dan lain-lain. Yang ni boleh dimakan atau dimanfaatkan. Tapi kalau pemilik tuntut dengan bukti, kena ganti semula atau bayar ikut budi bicara.

13. Yang keduanya barangan yang tak mudah rosak macam jam, barang kemas dan lain-lain. Yang ni kalau dijumpai boleh ambil/simpan untuk tujuan jaga barang tu dan iklankan selama setahun sedaya upaya.

Kredit gambar: Shutterstock

14. Lepas setahun, barangan tu boleh dimanfaatkan oleh orang yg jumpa. Tapi kalau pemilik asal tuntut samada sebelum/selepas setahun, kena berikan semula kepada pemilik asal. Pusat penempatan banjir boleh buat inisiatif tabung atau kaunter uruskan barang luqatah (lost &found).

15. Oh ya, tentang solat tadi lupa nak tambah pasal boleh tak solat dengan pakaian yang terkena lumpur. Jawapannya boleh sebab lumpur bukan najis.

16. Satu lagi solat dalam keadaan rumah dinaiki air atau berselut wajib berdiri dulu kalau mampu. Untuk sujud boleh duduk atas kerusi kalau air atau lumpur menghalang sujud yang sempurna.

17. Last sekali, boleh tak bagi zakat kepada mangsa banjir? Harus sebab mereka dikira dalam golongan al-Gharimin iaitu orang yang terkena mudarat/bencana yang menyebabkan harta mereka musnah.

Sangat membantu panduan ibadah semasa banjir ni kan Mama? Waktu-waktu banjir ni kita janganlah tinggalkan ibadah kita. Dalam Islam, bencana alam yang menimpa manusia adalah qadha daripada Allah.

Disamping itu, jangan lupa untuk mengamalkan doa qunut nazilah agar dipermudahkan urusan dan banjir surut dengan cepat.

Mama Siti harap Mama dapat sedikit sebanyak info tentang panduan ibadah sewaktu musim banjir ni. Yang penting, jaga diri semua!

Kredit: Ustaz Usaid Subki


Dapatkan lebih banyak tips ibadah di SINI.