KelabMama

Panduan Untuk Mama Memilih Taska Yang Sesuai & Tepat

Menjadi tanggungjawab ibu bapa memilih taska yang bagus dan sesuai dengan anak mereka bagi menjamin keselamatan dan keselesaan anak sepanjang peninggalan mereka ke tempat kerja. Untuk mencari taska pada masa kini bukanlah satu perkara yang sukar. Malah, ibu bapa boleh membuat pilihan dan juga dapat membandingkan harga. Namun, untuk memilih taska yang berkualiti bukanlah perkara yang mudah.

Perkara utama yang perlu dititik beratkan ialah memastikan taska tersebut berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Untuk pengetahuan, syarat utama untuk menubuhkan taska ialah pengusaha perlu mendaftar dengan tiga agensi kerajaan yang utama iaitu  Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Jabatan Kesihatan. Sebagai ibu bapa, anda mempunyai hak untuk meminta salinan pendaftaran perniagaan mereka. Setelah mendapat salinan tersebut, semak dengan Jabatan Kebajian Masyarakat. Dengan ini, ibu bapa bukan sahaja dapat memastikan status pendaftaran, malah secara tidak lansung mendapat infomasi mengenai latar belakang dan prestasi taska tersebut

Keselamatan juga merupakan faktor utama dan penting yang perlu diambil berat. Ibu bapa perlu memerhatikan faktor keselamatan di dalam dan luar taska. Di luar taska, pastikan kedudukan taska agak jauh dari jalan raya dan tidak terletak persimpangan yang sibuk atau jalan utama. Perlu dipastikan sekiranya taska ditempatkan dalam bangunan bertingkat seperti rumah dua tingkat, ia mempunyai dua tangga bagi keselamatan iaitu di dalam dan diluar premis. Kebiasaannya, sebelum mendaftar, pihak taska akan membenarkan ibubapa untuk meninjau persekitaran taska. Persekitaran mestilah bersih, selamat dan sesuai untuk kanak-kanak.

Jumlah kanak-kanak di dalam taska juga perlu diambil perhatian. Jumlah kanak-kanak yang terlalu ramai pastinya mengundang rasa tidak seles.  Tidak dinafikan, terdapat pengusaha taska yang terlalu mengejar keuntungan dengan menerima ramai kanak-kanak sehingga menepikan soal keselesaan.

Ibu bapa mempunyai hak untuk meminta kepastian mengenai kelayakan pengasuh. Seperti yang telah ditetapkan oleh JKM, pengasuh perlu mengikuti dan lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak bagi melayakkan seseorang itu menjadi pengasuh. Namun, pada masa kini, telah banyak pusat pengajian yang menyediakan kursus Pendidikan Awal Kanak-kanak yang mana dapat menaik taraf seseorang pengasuh itu. Pengasuh yang terlatih dan mempunyai kelayakan amat penting kerana dengan latihan dan pengalaman yang mereka ada ditambah dengan ilmu dalam bidang kanak-kanak, pastinya pendekatan yang digunakan semasa mengasuh adalah berbeza.

Menu yang disediakan oleh pihak taska juga perlu diambil berat. Bukan sahaja untuk memastikan makanan yang disediakan berbaloi dengan bayaran yang dikenakan, apa yang lebih penting, makanan yang disediakan mempunyai khasiat dan kebaikan kepada kanak-kanak.

Selain itu, ibu bapa juga perlu mendapatkan dan mengenal pasti aktiviti dan program pengajaran di taska tersebut. Tidak salah sekiranya ibu bapa bertanya dengan lebih lanjut mengenai aktiviti yang disediakan bagi memastikan anak-anak didedahkan dengan ilmu yang berfaedah, bukan hanya bermain semata-mata. Lakukan lawatan kebeberapa buah taska bagi membandingkan program yang disediakan. Dari situ, ibu bapa dapat memilih program yang terbaik untuk anak-anak.

Sumber: Jabatan Kebajikan & Masyarakat