KelabMama

Comot-Comot Pun Tak Apa! Panduan BLW untuk Anak Belajar Makan Sendiri dengan Seronok

panduan ajar anak makan guna kaedah BLW

Bila masuk fasa nak ajar anak makan sendiri guna method baby led weaning (BLW) memang tak lari dari comot, tumpah sana sini dan Mama kena lap meja berkali-kali.

Tapi percayalah, semua itu sebahagian daripada proses pembelajaran yang sangat berharga. BLW memang nampak messy, tapi ia sebenarnya cara yang sangat natural untuk anak belajar makan ikut fitrah mereka.

Apa Itu Baby Led Weaning dan Kenapa Ramai Mama Nak Cuba?

Baby led weaning atau BLW, ialah kaedah Mama kenalkan makanan pejal kepada bayi tanpa menyuap, biar mereka makan sendiri.

Berbeza dengan cara tradisional, BLW memberi kebebasan kepada anak untuk memilih sendiri makanan dan jumlah yang ingin dimakan, sambil belajar mengurus pergerakan tangan ke mulut mereka.

Dengan cara ini, bayi belajar mengenal tekstur, rasa, dan mengawal pergerakan tangan ke mulut sendiri kemahiran penting untuk perkembangan motor halus mereka.

Ramai Mama mula cuba BLW kerana ia bukan saja melatih anak makan dengan lebih berdikari, tetapi juga menjadikan sesi makan lebih menyeronokkan.

Anak belajar eksperimen dengan makanan, sambil Mama boleh fokus pada bonding, tanpa perlu risau terlalu banyak tentang “berapa sudu dah masuk”. Memang comot, tapi itulah sebahagian daripada proses pembelajaran yang sangat berbaloi.

Cara Selamat untuk Ajar Anak Makan Sendiri BLW

1. Sediakan Makanan Bentuk Finger Food

Jenis makanan yang Mama pilih sangat penting. Finger food yang panjang dan mudah pegang akan memudahkan anak explore makanan tanpa frust.

Mama boleh potong makanan seperti lobak merah, keledek, brokoli, ayam lembut atau telur dalam bentuk panjang seperti jari. Pastikan teksturnya lembut dan mudah hancur bila ditekan. Anak akan lebih yakin memegang dan tak mudah tercekik.

2. Makanan Lembut dan Mudah Hancur

BLW bukan bagi makanan keras ya Mama. Cara untuk Mama check dengan tekan dengan dua jari. Kalau boleh penyek, itu sesuai. Makanan yang terlalu keras boleh jadi risiko tercekik atau choking.

Bagi anak kecil, mereka masih belajar kunyah menggunakan gusi, bukan gigi. Sebab itu tekstur makanan sangat penting dalam fasa awal ajar anak makan sendiri BLW.

3. Jangan Tinggalkan Anak Bersendirian Ketika Makan

Walaupun anak makan sendiri, Mama perlu sentiasa ada di depan mereka. Bukan untuk bantu makan, tapi untuk pantau keselamatan.

Kadang-kadang anak boleh terlebih masukkan makanan, atau gagging. Itu normal, tapi Mama perlu ada untuk pastikan mereka tidak tercekik. Duduk dekat-dekat dan pantau mereka makan.

4. Dudukkan Anak dengan Posisi Betul

Postur duduk yang betul membantu penghadaman dan keselamatan. Pastikan anak duduk tegak, pinggang lurus, dan kaki mencecah footrest.

Bila kaki anak stabil, mereka lebih yakin dan lebih mudah fokus kepada makanan. Postur yang salah boleh menyebabkan makanan sukar ditelan dan meningkatkan risiko tercekik.

5. Mulakan Resipi yang Simple

Tak perlu bagi banyak jenis sekaligus. Mulakan dengan makanan yang simple je. Anak sedang belajar tekstur baru dan perlu masa untuk sesuaikan diri.

Minggu pertama memang sekadar main-main dan explore. Jangan risau kalau anak tak makan banyak, ini normal untuk semua yang baru mula BLW.

Cabaran yang Mama Akan Hadapi (Dan Cara Atasinya)

1. Sepah Merata – Ini Normal

Fasa awal memang akan berlaku makanan merata-rata. Atas kerusi, atas meja, bawah meja semua ada. Ini sebenarnya sebahagian daripada proses pembelajaran sensori anak.

Tip Mama Siti: guna bib silikon yang besar, letak mat kalis air bawah kerusi, dan sediakan tisu atau kain basah. Bila Mama dah ready mental, sepah itu tak rasa menyakitkan hati sangat dan Mama nak mengemas pun senang.

2. Anak Tak Makan Banyak – Ini Pun Normal

Bulan pertama BLW bukan tentang anak mesti makan kenyang, tapi tentang exposure dan sensori anak. Mereka belajar rasa, tekstur, bau dan cara untuk makan dengan sendiri.

Susu masih sumber utama nutrisi kepada mereka, jadi kalau makan sedikit je sangat pun Mama jangan stress. Yang penting Mama kekalkan rutin, konsisten dan beri peluang untuk mereka belajar makan sendiri.

3. Mama Risau Anak Tercekik

Semua Mama ada ketakutan ini, termasuk Mama Siti dulu nak bezakan antara gagging dan choking. Gagging itu normal Mama, ia membantu anak belajar kawal makanannya dengan sendiri.

Tapi kalau choking, anak senyap, tak boleh bernafas. Sebab itu penting Mama duduk dan pantau anak dan tahu langkah keselamatan asas seperti teknik heimlich maneuver sebagai langkah persediaan sekiranya anak tiba-tiba choking.

4. Risau dengan Pandangan Orang Luar

Kadang-kadang orang sekeliling tak faham kenapa Mama ajar anak makan sendiri BLW, sebab mereka terbiasa dengan bubur atau disuap.

Mama boleh explain perlahan-lahan, tunjukkan kelebihan bila anak makan sendiri dan paling penting Mama perlu yakin dengan pilihan Mama. Bila orang nampak anak semakin pandai, mereka akan mula sokong.

Makan bersama anak adalah peluang untuk mereka belajar sambil meniru cara Mama makan. Biarkan mereka cuba sendiri tanpa tekanan, gunakan pinggan warna-warni untuk tarik perhatian mereka, dan jadikan setiap sesi makan sebagai masa bonding yang menyeronokkan.

Bila Mama ajar anak makan sendiri BLW, Mama bukan sekadar ajar anak makan tapi Mama sedang bina asas perkembangan, keyakinan dan minat makan yang sihat sejak kecil.

Mungkin messy pada mulanya, tapi pengalaman ini akan jadi kenangan paling manis bila anak semakin bijak explore makanan.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubapaan untuk Mama Papa di SINI.