KelabMama

8 Cara Menyambut Kelahiran Bayi Mengikut Ajaran Islam (+ Infografik)

Amalan bertahnik, bercukur rambut, bersunat (bagi bayi perempuan) bukanlah perkara yang asing kita dengar. Kesemuanya ini memang dah jadi aktiviti biasa tatkala kita tahu seseorang itu baru menimang cahaya mata. Tapi, kenapa perlunya amalan menyambut kelahiran bayi dalam Islam sedemikian ya Mama?

Tahukah anda menyambut bayi yang baru lahir adalah suatu yang digalakkan dalam Islam selagi mana ia tidak bertentangan.

Malah, Rasululullah S.A.W sendiri melakukan hal yang sama sekaligus membuktikan konsep diadakan ini bertepatan dengan garis Islam itu sendiri.

Menyambut kelahiran bayi ini sama juga seperti kita mengadakan sambutan hari lahir, meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam erti kata lain, bayi yang baru sahaja dilahirkan ke dunia juga punya sambutan tersendiri dan kesemuanya perkaraa ini ada hikmah yang baik untuk si comel itu kelak.

Walau bagaimanapun, menganjurkan sambutan kelahiran bayi lebih dituntut, berbanding sambutan hari jadi yang tidak pernah dilakukan pun oleh Rasulullah S.AW. Hebat, bukan?

Jadi, rugilah kalau Mama dan Papa bakal timang cahaya mata, tapi tak nak buat persediaan untuk lakukan beberapa amalan sunat ini. Apa amalan yang digalakkan dalam menyambut kelahiran si kecil ini?

Berikut lapan perkara yang disunatkan bagi menyambut kelahiran bayi ke dunia:

1. Azan dan Iqamah

Antara sunnah pertama penting dilakukan ibu bapa ketika bayi lahir adalah mengumandangkan azan dan iqamah. Azan dikumandangkan di telinga kanan manakala iqamah pula di telinga kiri. Hal ini turut dianjurkan sendiri oleh Rasulullah.

Dari Abi Rafi, ia berkata: “ Aku melihat Rasulullah S.A.W mengazankan telinga Al-Hasan bin Ali ketika dilahirkan oleh Fatimah, dengan azan solat.” (HR. Abu Daud, At-Tirmizy dan Al-Hakim).

2. Doa

Mendoakan perkara-perkara baik untuk bayi yang baru dilahirkan. Sesungguhnya doa adalah amalan mulia dan setiap umat Islam digalakkan mendoakan sesama manusia, apatah lagi mendoakan kesejahteraan si kecil yang baru melihat dunia.

3. Tahnik

Amalan bertahnik atau belah mulut dilakukan selepas anak dilahirkan. Tahnik ialah mengunyah buah kurma (tamar).

Selalunya dilakukan oleh orang yang dianggap soleh dan bertaqwa kepada Allah seperti Imam, Bilal, Ulama, Syeikh dan sebagainya yang mana ia diletakkan sedikit pada lidah bayi yang baru dilahirkan.

Tujuannya adalah untuk melazimkan bayi membuka mulut dengan mendapatkan ganjaran benda manis. Amalan ini membuatkan bayi mahu menghisap apabila ibu menyusukan bayi tersebut kerana sentuhan di lidah mempunyai kesan manis dan bukan kesan yang tidak menyelesakan.

Selain itu, tujuan lain adalah untuk melancarkan percakapan anak kecil selain mengetengahkan anak kecil itu agar kelak selalu berkata manis dan benar.

Selain daripada kurma, manisan lain seperti titisan madu, nira nipah atau kelapa juga boleh digunakan.

4. Menamakan Bayi Dengan Nama Yang Baik

Sunat menamakan anak yang baru dilahirkan dengan dengan nama-nama yang baik. Nama yang kotor buruk serta menjatuhkan maruah perlulah dielakkan sama sekali.

5. Cukur Rambut

Bayi yang baru lahir juga disunatkan untuk dicukur rambutnya. Tujuannya untuk membersihkan kotoran yang melekat di rambut bayi. Terdapat sebuah hadis menjelaskan mengenai amalan mencukur rambut bayi dan aqiqah.

“ Setiap anak ada aqiqahnya, sembelihlah aqiqah untuknya dan buanglah kotoran darinya,” (HR. Bukhari).

Rambut yang telah dicukur akan ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin. Jika tidak mampu, maka boleh ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya.

Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu daripada sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran.

6. Aqiqah

Aqiqah yang membawa maksud penyembelihan binatang ternakan seperti lembu, kerbau, unta ataupun kambing dilakukan selepas kelahiran bayi.

Seeloknya dilakukan pada hari ketujuh. Majlis aqiqah dilakukan sebagai tanda kesyukuran ahli keluarga itu kepada Allah atas kelahiran bayi itu tadi.

Rasulullah SAW berpesan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, Abu Dawud dan Ibnu Majah,

“ Setiap anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh, dicukur (rambutnya), dan diberi nama.” (HR. Tirmidzi no. 2735, Abu Dawud no. 2527, Ibnu Majah no. 3165. Hadis ini dishahihkan oleh Al-Albani dalam kitab Al-Irwa’ no. 1165).

7. Berkhatan

Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan merupakan suatu kewajipan bagi lelaki. Tujuan berkhatan adalah untuk menjaga kesucian zahir dan batin umat manusia selain untuk menguatkan minda dan badan serta mencantikkan paras rupa dan wajah.

Para saintis moden telah menggalakkan khatan kepada semua umat manusia bagi membendung masalah jangkitan penyakit kelamin yang merbahaya seperti HIV dan AIDS.

8. Mengucapkan Tahniah

Sebagai meraikan kegembiraan ibu bapa yang baru menimang cahaya mata, amalan mengucapkan tahniah kepada kedua orang tua si kecil itu adalah suatu perkara yang mulia. Ia sebagai simbolik kita berkongsi kegembiraan dengan mereka.


Ikuti panduan ibadah dan amalan lain di SINI.