KelabMama

Kenal Pasti Mata Malas (Ambliopia) Pada Anak-anak & Mengapa Ia Perlu Dirawat Dari Awal

Walaupun kanak-kanak cepat belajar dan berupaya untuk mengikuti segala yang berlaku di sekeliling mereka, mereka masih lagi berada dalam fasa pembesaran. Melalui pengesanan awal dan rawatan yang sewajarnya, kanak-kanak boleh pulih daripada penyakit-penyakit berkaitan mata seperti ambliopia, atau lebih dikenali sebagai mata malas.

Ambliopia boleh berlaku sejak lahir atau dari saat kanak-kanak mula menggunakan mata mereka. Ia berlaku kerana terdapat halangan penglihatan dan perkembangan abnormal pada laluan mata ke otak.

Dr Fiona Chew Lee Min, Pakar Perunding Mata, Pakar Perunding Mata Kanak-kanak dan Pakar Bedah Strabismus daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) berkongsi pengalaman beliau bahawa ia boleh menjadi satu cabaran untuk mendiagnosis ambliopia kerana kanak-kanak tidak tahu untuk mengadu tentang simptom yang dialami kerana mereka tidak tahu akan penglihatan yang normal.

Dr Fiona Chew Lee Min, Pakar Perunding Mata, Pakar Perunding Mata Kanak-kanak dan Pakar Bedah Strabismus

“Petanda yang menunjukkan seorang kanak-kanak itu mungkin mengalami ambliopia adalah kesukaran untuk melihat objek yang jauh, pergerakan mata abnormal, juling, postur kepala yang abnormal, kerap terjatuh atau terlanggar objek, mempunyai masalah penglihatan 3 dimensi seperti ketika turun tangga, menyelesaikan susun suai gambar, mengalami masalah tumbesaran yang lewat dan juga masalah berkaitan sukan atau kerja rumah,” jelasnya.

Dr Lakana Kumar Thavaratnam, Pakar Perunding Mata dan Saraf Mata turut menambah bahawa ambliopia boleh diwarisi bagi penyakit yang boleh menyebabkannya, seperti juling atau katarak.

“Petanda ambliopia yang ibu bapa perlu awasi adalah juling, di mana mata menghala ke dua arah yang berbeza atau tidak bergerak dalam koordinasi yang betul; kelainan refraksi mata (refractive errors) seperti rabun dekat, rabun jauh atau silau; kekaburan di bahagian mata yang selalunya jelas, dengan sebahagian kanak-kanak lahir dengan katarak; kelopak mata jatuh (droopy eyes) atau lebih dikenali sebagai ptosis dan alergik konjunktivitis yang boleh mengakibatkan kerosakan di kornea mata dan seterusnya menyebabkan ambliopia jika tidak dirawat dari awal,” katanya.

Cara Mendiagnosis Ambliopia

Menurut Dr Fiona, kanak-kanak kini didiagnosis dengan ambliopia lebih awal kerana terdapat peningkatan program saringan penglihatan dan pemeriksaan mata di tadika dan sekolah, dan juga kerana terdapat peningkatan terhadap kesedaran mengenai kesihatan mata kanak-kanak.

“Ambliopia boleh disahkan selepas pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan oleh pakar mata termasuk ujian ketajaman penglihatan, ujian refraksi, ujian ortoptik atau pemeriksaan juling dan pemeriksaan keluasaan mata (dilated eye examination) untuk menentukan penyebab ambliopia berlaku,” katanya. Rawatan pula akan bergantung kepada penyebab ambliopia itu sendiri.

Rawatan Ambliopia

Sebagai contoh, kanak-kanak yang mempunyai kelainan refraksi mata (memerlukan mereka untuk memakai kaca mata), katarak, juling, kelopak mata jatuh dan masalah retina perlu dirawat dan selepas itu perkembangan visual mereka akan bertambah baik. Namun jika sebaliknya, pesakit mungkin perlu menjalani “penalisation treatment” atau terapi dikoptik.

Bagi penalisation treatment, rawatan ini akan mengaburkan penglihatan pada mata yang tidak bermasalah dan memaksa otak untuk menggunakan mata malas tersebut melalui penutup mata, ubat titis mata atau kanta mata khas. Terapi dikoptik pula melibatkan latihan tertentu atau permainan digital untuk meningkatkan perkembangan mata ke otak.

Berdasarkan pengalaman beliau, Dr Fiona menekankan bahawa ambliopia boleh dipulihkan dengan rawatan yang dilakukan awal dan mengingatkan ibu bapa supaya membawa anak-anak mereka untuk melakukan pemeriksaan mata setiap tahun.

“Semakin muda seseorang kanak-kanak itu, semakin mudah otaknya menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan. Kanak-kanak disarankan untuk menjalani pemeriksaan mata ketika berusia 6 bulan, 3 tahun, semasa berumur 6 tahun dan seterusnya setiap dua tahun untuk mengenalpasti sebarang masalah mata.”

Namun begitu, ambliopia akan menjadi semakin parah dan berkemungkinan untuk tidak dapat dipulihkan jika ianya tidak dirawat langsung.

“Kadang-kala penglihatan kanak-kanak akan menjadi teruk sehingga menyebabkannya menjadi buta. Apabila seorang kanak-kanak itu menghidapi ambliopia, penjajaran mata akan menjadi tidak selari dan kanak-kanak tersebut mungkin menjadi juling,” tambah beliau.

Dr Lakana Kumar Thavaratnam, Pakar Perunding Mata dan Saraf Mata

Dr Lakana turut bersetuju dan berkongsi bahawa ambliopia boleh dihindari daripada berlaku di peringkat awal kanak-kanak atau ketika di usia remaja jika ianya dapat dikesan dan dirawat awal.

“Walaupun ambliopia boleh dipulihkan dalam kalangan orang dewasa, rawatan ambliopia memerlukan motivasi dan komitmen yang tinggi kerana ia biasanya mengambil masa yang lebih lama untuk dirawat berbanding kanak-kanak.”

“Ambliopia dalam kalangan orang dewasa dipanggil kecacatan penglihatan, dan ia boleh berlaku disebabkan kecederaan trauma dan komplikasi semasa kehamilan dan melahirkan bayi.”

Bagi keadaan ini, MRI otak dan orbit perlu dilakukan serta punca kepada kecacatan penglihatan tersebut perlu didiagnosis dan dirawat dengan terapi penglihatan. Keupayaan untuk melihat berlaku semasa beberapa tahun terawal kehidupan, oleh itu adalah penting untuk mendiagnosis dan merawat ambliopia seawal mungkin,” rumus Dr Lakana.

Pesan Mama Siti

Sebab tu penting untuk Mama sentiasa observe dan aware dengan keadaan anak-anak. Bagi anak-anak yang suka menggunakan gajet, Mama Siti sarankan Mama bawa mereka untuk check-up mata tahunan. Bukan apa, untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara seperti ini.

Untuk maklumat lanjut, Mama boleh layari www.sunmedvelocity.com.my, atau hubungi +603 9772 9191 atau email ke smcv-enquiry@sunway.com.my.