KelabMama

MAMA TAHU TAK ANAK ANDA PERLUKAN SNEK TAMBAHAN AGAR KEPERLUAN TENAGA MEREKA MENCUKUPI

Murid sekolah rendah yang tidak makan atau terpaksa berlapar di sekolah akan menyebabkan penurunan paras glukosa dalam badan. Secara amnya, murid terbabit akan berasa lesu kerana kekurangan nutrien dan boleh menjejaskan daya tumpuan semasa sesi pembelajaran. Jika keadaan ini berterusan, si kecil berisiko mengalami masalah kurang berat badan, menjejaskan pertumbuhan dan mengundang pelbagai risiko kesihatan yang lain. Oleh itu, pengambilan sarapan penting kerana ia makanan pertama yang diambil selepas bangun pagi dan sebelum memulakan aktiviti harian.

Sarapan membekalkan nutrien yang diperlukan tubuh dan membantu meningkatkan semula paras glukosa dalam badan selepas tidak mengambil sebarang makanan atau minuman selama lapan hingga 12 jam ketika tidur. Glukosa adalah sumber utama dalam penghasilan tenaga untuk memulakan hari anak anda. Sarapan juga penting bagi meningkatkan daya tumpuan dan mengelak mengantuk semasa sesi pembelajaran.

Berdasarkan Panduan Diet Malaysia Untuk Kanak-Kanak dan Remaja, selain tiga kali waktu makan utama, kanak-kanak yang sedang membesar disarankan mengambil snek tambahan iaitu minum pagi, minum petang dan minum malam bagi memastikan keperluan tenaga dan nutrien mereka mencukupi.

Pengambilan snek juga dapat mengelakkan kanak-kanak daripada mengambil makanan dalam kuantiti yang berlebihan pada waktu makan berikutnya. Oleh itu, walaupun sudah bersarapan, kanak-kanak masih boleh menikmati makanan dan minuman berkhasiat semasa waktu rehat.

 

 

Berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia (RNI) 2017, keperluan tenaga (kalori) dan nutrien adalah berbeza mengikut umur, jantina dan aktiviti harian. Pemakanan sihat bermaksud pengambilan makanan seimbang dengan mempelbagaikan sajian daripada kelima-lima kumpulan makanan dalam piramid makanan mengikut kuantiti yang disarankan.

 

 

Suku, suku, separuh

Bagi memudahkan orang ramai mengamalkan pemakanan sihat, Pinggan Sihat Malaysia dibangunkan sebagai alat visual untuk merancang makanan bagi setiap hidangan. Ia menunjukkan jumlah makanan yang perlu dimakan bagi setiap kumpulan makanan untuk hidangan utama.

Suku, suku, separuh bermaksud suku pertama pinggan diisi dengan sumber karbohidrat seperti nasi, mi, roti dan bijirin. Suku kedua diisi dengan sumber protein seperti ikan, ayam, daging, telur dan kekacang, manakala separuh pinggan lagi diisi dengan buah-buahan dan sayur-sayuran. Jangan lupa minum air secukupnya. Ia penting untuk mengawal atur suhu badan, mengangkut nutrien dan bahan buangan dalam badan. Secara puratanya, pengambilan air yang disarankan ialah enam hingga lapan gelas sehari. Bagaimanapun, sekiranya murid itu sangat aktif dan banyak berpeluh, mereka perlu mengambil dua gelas air tambahan bagi mengelakkan dehidrasi..

Sementara itu, pelbagai usaha diambil untuk melahirkan generasi muda yang dapat membesar dengan baik dan sihat. Antaranya, mewujudkan persekitaran pemakanan sihat yang kondusif di sekolah dengan memastikan hanya makanan dan minuman berkhasiat sahaja dijual di kantin. Kementerian Pendidikan dengan kerjasama KKM menyenaraikan makanan dan minuman yang boleh dan tidak dijual di kantin sekolah. Semua senarai makanan dan minuman ini termaktub di dalam Panduan Pengurusan Kantin Sekolah. Pemilihan dan amalan pengambilan makanan sihat perlu diterapkan sejak kecil lagi. Oleh itu, murid sekolah digalakkan untuk mengaplikasikan konsep Pinggan Sihat Malaysia.

 

 

SukuSukuSeparuh semasa beli makanan di kantin

 

Sumber: Ketua Penolong Pengarah (Pemakanan Kanak-kanak dan Remaja) Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan (KKM), Ainan Nasrina & Harian Metro