KelabMama

MAMA PAPA! ELAKKAN ANAK MENJADI TERLAMPAU MANJA DAN MENGADA

Semua yang bergelar ibu ayah kena tahu cara nak didik anak supaya tak mengada-ngada sangat. Jangan anggap anak masih kecil, tapi kena didik sejak awal supaya mereka tak manja keterlaluan dan susah nak berdikari nanti. Anak-anak dilahirkan dalam keadaan pasrah dan tersedia untuk dibentuk. Manja dan mengada-ngada bukanlah sifat aslinya. Jika anak manja mesti ada yang memanjakan, kalau anak mengada-ngada mesti ada yang suka melayan sikap mengadanya itu. Bagaimanapun sifat manja memang tidak salah kerana melaluisifat itu dia bersedia menzahirkan emosinya yang ingin dibelai dan dikasihi. Yang agak merisaukan adalah bila manja membawa kepada mengada-ngada. Jadilah ibu bapa yang tegas, konsisten dan sentiasa tenang. Usah bersikap ‘overprotective’. Sesekali, berikan mereka sedikit bimbingan dan selebihnya ‘just let it go’. Percayalah, dengan cara ini, mereka akan belajar tentang cara menyelesaikan masalah, semakin teguh pendirian serta tidak menjadi terlalu manja. Biarkan anak kita menangis pada hari ini, daripada dia merana dan menderita pada esok hari. Disini ada beberapa tips yang boleh dipraktikkan supaya anak tidak menjadi terlampau manja dan mengada-ngada.

Jangan mudah mengalah dengan pujuk rayu anak. Anak berumur 6 bulan ke atas sudah pandai membuat tangisan manipulatif. Tangisan manipulatif biasanya bermula apabila kita tidak mengikut kehendaknya. Sebagai ibu bapa, kita seharusnya tahu membezakan tangisan manipulatif dengan tangisan yang sebenar

Sentiasa konsisten dalam memberi respon terhadap anak. Kalau kita cakap A, kena buat A. Jangan tiba-tiba disebabkan pujuk rayu dan ‘political talk’ anak, kita jadi layu dan berubah pendirian. Jika kita tidak konsisten, anak akan hafal taktik yang berjaya membuatkan kita cair. Jangan pelik jika tantrumnya semakin menjadi-jadi apabila kita tidak menunaikan permintaan mereka!

Ada masanya kita kena guna kemahiran nego skills (tawar menawar) kita kepada anak sendiri. Sebagai contoh, sebelum masuk ke kedai, ingatkan terlebih dahulu kepada anak tentang item yang ingin dibeli di sana. Item yang tidak tersenarai, tidak seharusnya dibeli sebentar lagi. Jika ingin dibeli juga kerana ianya bermanfaat, kita boleh tawarkan kepada anak untuk membeli item tersebut pada hari lain yang lebih bersesuaian. Dengan cara ini, barulah anak kita tidak menjadi ‘anak Sultan’ yang mahu membeli satu pasar raya! Kita tidak boleh menghalang 100% kehendak dan kemahuan anak, tetapi tidak salah jika kita boleh tawar-menawar dengan mereka.

Kadang-kala, kita lupa yang kita tidak akan selamanya berada di sisi anak sehinggakan semua benda kita mahu masuk campur. Anak kita bergaduh kecil dengan adik pun kita terus halang dan memarahinya. Kawan anak kita cuit sikit anak kita, kita melenting tak tentu hala. Kalau begini caranya, bagaimana anak kita dapat mengasah kemahiran interpersonal mereka? Ini merupakan salah satu punca mengapa anak kita kurang pandai bergaul dan terlebih manja!

Anak kita sebenarnya bukan inginkan kita menjadi ‘baju besi’ mereka yang melekat dan melindungi mereka 24 jam sehari semalam. Mereka cuma perlukan coach kehidupan. Coach yang dapat membimbing, mengajar dan mendidik mereka tentang pelbagai perkara dalam menjalani kehidupan seharian. Benarkan mereka lakukan sendiri sesuatu perkara dan biarkan mereka belajar membuat keputusan. Dengan cara ini, anak akan lebih berdikari dan tidak menjadi individu yang terlampau manja.

 

 

Sumber: Dr Taufiq Razif, Bidadari.my