KelabMama

Amal Ibadah dan Manfaat 10 Malam Terakhir Ramadan

Alhamdulillah, diam tak diam, kita sudah pun menghampiri penghujung Ramadan. Jika kedatangan bulan mulia ini memang dinanti-nantikan kehadirannya, sudah pasti kedatangan 10 malam terakhir Ramadan lebih diburu oleh semua umat Islam. 

Di dalam surah Al-Qadr, Allah SWT menyatakan malam Lailatul Qadar malam yang penuh kemulian dimana Al-Quran diturunkan, dan para malaikat termasuk ketua malaikat, Jibril AS juga turun ke bumi untuk beribadah. Mereka yang beramal di malam ini akan mendapat ganjaran seperti beramal selama 1000 bulan. Wow!   

Kredit gambar: muslim.sg

Malam Lailatul Qadar ini menjadi buruan dan idaman setiap umat Islam. Walaupun tidak diketahui waktu yang sebenar-benarnya tetapi, kita telah diberitahu yang ianya adalah 10 malam terakhir di bulan Ramadan. 

Rasulullah SAW sendiri akan menggandakan setiap amalan di 10 malam terakhir Ramadan untuk mengambil manfaat dan keberkahan malam yang mulia ini.  Umm al-Mukminin Aisyah RA meriwayatkan yang Rasulullah SAW paling banyak beramal dan berdoa terutamanya di 10 malam terakhir Ramadan. 

Kredit gambar: Dr Ahmad Sanusi

Mengambil Inspirasi dari sunnah Rasulullah SAW ini, apa kata sama-sama kita berazam untuk memperbanyakkan amal dan berdoa tanpa henti, terutamanya di malam terakhir 10 Ramadan ini. 

Antara perkara yang boleh kita lakukan: 

  1. Ambil cuti untuk beribadah

Kita sering mengambil cuti untuk berehat dan merawat diri dari kesibukan kerja. Dan tugasan harian. Untuk Ramadan kali ini, apa kata jika kita ambil cuti dan fokuskan ibadah di 10 malam terakhir Ramadan tanpa risau akan lambakan kerja dan tugasan di siang harinya.

Mari kita khususkan malam-malam istimewa ini dengan Maha Pencipta yang mencipta kita kerana tanpa izinNya, pasti kita takkan wujud di alam dunia ini. Luangkanlah sedikit masa untuk kita berterima kasih dan bersyukur padaNya. 

Jika 10 hari terlalu lama untuk bercuti dari pejabat, cubalah untuk beberapa hari yang mampu. Ini akan memudahkan kita untuk beri’tikaf di masjid. 

  1. Beri’tikaf di Masjid
Kredit gambar: ﹏﹏﹏﹏﹏ / Shutterstock.com

Rasulullah SAW akan meluangkan 10 hari dan malam terakhir di bulan Ramadan dengan beri’tikaf di Masjid. Sesungguhnya, masjid itu sangat tenang dan penuh barakah untuk semua. 

Banyak yang boleh dilakukan sementara kita beri’tikaf di masjid. Malah, jika hanya menghadirikan diri dan duduk tanpa berbuat apa-apa dengan niat untuk beri’tikaf di masjid, sudah memadai. Ya, benar, hanya perlu melakukan niat, dan kita sudah pun mendapat berkat amalan beri’tikaf. 

  1. Perbaiki dan perbanyakkan solat

Ahli pengkaji sains mengesahkan pelbagai faedah dan kebaikan solat, termasuklah memperbaiki peredaran darah, sistem penghadaman, dan juga kesihatan jantung. Solat juga menjadi senaman ringan untuk melegakan sakit belakang atau sendi-sendi. 

Rebutlah kebaikan solat dan waktu berkat 10 malam terakhir Ramadan ini dengan memperbanyakkan solat. Jika sebelum ini, kita hanya mampu melakukan solat yang wajib sahaja, rebutlah waktu ini untuk memperbanyakkan solat sunat. Latih diri untuk solat awal waktu dan berjemaah di siang hari. Dan pada malam harinya pula, kita perbanyakkan solat sunat seperti solat tarawih, solat tahajjud, solat taubat, solat tasbih, solat hajat dan sebagainya. 

Bertekad dan berusahalah untuk tidak ketinggalan melaksanakan solat tarawih setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan ini, kerana solat tarawih memang solat yang dikhususkan hanya pada bulan Ramadan sahaja. 

  1. Beristighfar dan berdoa

Keindahan Islam adalah umatnya boleh berdoa dan memohon kepada Maha Pencipta apa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Kita akui yang kita ada banyak kekurangan dan Allah SWT sahajalah tempat kita memohon keampunan dan memenuhi hajat di hati. 

Perbanyakkanlah beristighfar dan berdoa di malam lailatul qadar. Saidatina Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah tentang apakah yang perlu dilakukan andainya bertemu dengan malam Lailatul Qadar. Lalu Baginda Nabi mengajarkan kepadanya doa:

اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya:

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”

Mudah sahaja doa yang boleh kita amalkan ini. Jom ajar anak-anak untuk hafal bersama-sama dan amalkan doa ini. 

  1. Istiqomah dalam bersedekah

Sesungguhnya, konsep sedekah dalam Islam sangat luas dan bukan tertumpu dalam bentuk wang ringgit sahaja. Bahkan senyuman itu pun di kira sebagai sedekah.

Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat 261, yang membawa maksud:

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. [QS 2:261]

Kemurahan hati yang ikhlas bersedekah tidak dipulangkan dengan pahala biasa malah Allah SWT telah menjanjikan pahala yang berlipat ganda. 

Kredit gambar: Muslim aid

Di 10 malam terakhir ini, apa kata kita cuba didik diri dan ahli keluarga untuk bersedekah setiap malam setakat yang kita mampu. Mama Siti suka menggalakkan anak-anak dengan memberi mereka upah RM1 setiap malam untuk disedekahkan di dalam tabung surau setelah selesai solat tarawih. 

Rebutlah keberkatan malam lailatul qadar ini dengan bersedekah. Istiqomah dalam bersedekah setiap malam supaya kita dapat rasa nikmatnya memberi dan manfaat yang dapat dikongsikan dengan semua. 

  1. Luangkan masa dengan Al-Quran

Al-Quran itu adalah hadiah terulung dari Allah SWT untuk kita. Alhamdulillah. Ialah panduan hidup, penawar, peringatan dan rahmah. Marilah kita berusaha untuk membuka lembaran Al-Quran, terutamanya di malam-malam terakhir Ramadan ini. 

Sesungguhnya daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Kredit gambar: msyaraafiq / Shutterstock.com

“Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi (2835)]

Hadis tersebut menunjukkan betapa mulianya Al-Quran hinggakan ganjaran orang yang membacanya digandakan bagi setiap huruf yang dibaca. 

Jika kita tidak mampu hendak baca sejuzu’ dua, mulakan dengan satu muka satu malam. Tetapi, jika kita ada kekangan yang tak dapat dielakkan, cubalah untuk membaca Al-Quran walaupun beberapa ayat. 

  1. Jaga adab dan perlakuan

Mungkin ramai yang terlepas pandang betapa pentingnya adab dan akhlak di dalam Islam. Sia-sia amal baik kita jika kita tidak ikuti dengan adab dan akhlak mulia seperti yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW. 

Mama Siti terpanggil hendak berkongsi perkongsian Mufti Menk di Facebooknya yang berpesan, jika kita masih menghadapi kekangan dan halangan untuk perbanyakkan amalan di 10 malam terakhir di bulan Ramadan ini, sekurang-kurangnya, jangan kita rosakkan dengan berbuat perkara yang dilarang Allah SWT. 

Jauhkan dari melakukan maksiat dan membazir masa dengan mengumpat, mencaci dan sebagainya. Jauhkan dari sifat-sifat riya’, menunjuk-nunjuk, sombong dan ujub. Setidak-tidaknya, daripada menjauhi sifat-sifat terkutuk itu, moga Allah beri hidayah dan permudahkan kita untuk beramal dengan ikhlas. Insyaallah. 

Ada banyak amal ibadah yang boleh kita lakukan untuk mencari redha dan mengejar barakah dan fadhilat waktu mustajab doa ini. Cuba bayangkan yang amalan yang hanya dilakukan pada satu malam barakah ini bersamaan dengan amalan kita hidup di dunia selama hampir 83 tahun.

Cuba bayangkan yang pada malam yang berkat ini, para malaikat bersesak-sesak memenuhi bumi untuk beramal dan menjadi saksi untuk kita di Hari Pertemuan nanti, ‘Benar ya Allah, kami bersaksi dia hadir di malam al-qadr itu dan beramal kepadaMu.’ Subhanallah. Semoga kita diberi kekuatan untuk mengejar malam-malam terakhir Ramadan nanti, Amiin.