KelabMama

Makanan Berkhasiat Untuk Ibu Hamil

Tahniah! Anda disahkan hamil dan bakal menjadi Mama. Sebenarnya, ada banyak perkara dan checklist yang perlu bakal Mama ambil tahu bagi memastikan Mama dan bayi sentiasa sihat. Terutamanya pengambilan makanan untuk ibu hamil.

Ini kerana mama akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa dan berbeza bagi setiap wanita dan kehamilan. Faktor kesihatan dan pemakanan adalah perkara asas yang utama yang harus Mama titikberatkan. Terutamanya makanan berkhasiat untuk ibu mengandung. Mama tak boleh nak makan sembarangan hingga membawa kemudaratan. Kekurangan zat juga akan merencatkan pertumbuhan kandungan tau.

Jadi, Mama Siti nak share pengalaman Mama Siti sendiri dalam bab penjagaan makanan untuk ibu hamil ni. Moga ianya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Kredit : Adobe Stock

Kenapa perlu pemakanan yang berkhasiat untuk ibu hamil? 

Mama pasti pernah mendengar ungkapan ‘you are what you eat’. Ternyata ungkapan ini bukan je sekadar ungkapan. Sememangnya makanan untuk ibu mengandung ni harus dipandang serius.

Baik pilihan makanan kita, baguslah kondisi diri dan kandungan kita. Buruk cara dan bahan pemakanan hanya akan membawa ke arah keburukan. 

Apabila badan dah mentafsirkan seseorang itu hamil, keperluan makanan akan berubah. Mama perlu makan makanan yang baik bagi memastikan perkembangan janin yang sihat dan mengekalkan kesihatan Mama sendiri. 

Keperluan nutrien dan vitamin tertentu untuk memastikan penambahan berat badan yang bersesuaian mengikut fasa-fasa kehamilan tertentu. Ia juga penting bagi memenuhi keperluan perkembangan fetus dan tisu baru, terutama semasa trimester kedua dan ketiga. 

Mama juga perlu mengambil makanan tinggi kalori untuk memberi tenaga kepada badan yang sedang bertungkus-lumus menyediakan fetus yang sihat. 

Namun, Mama juga harus tahu membezakan antara nafsu mahu dan perlu ye. 

Pengambilan makanan yang baik semasa hamil hendaklah mengikut sukatan yang sesuai, waktu yang tepat, nutrien yang mencukupi dan membantu mengekalkan kesihatan badan dan janin. 

Apakah makanan untuk ibu mengandung yang baik? 

Wanita hamil memerlukan pelbagai nutrien dan vitamin untuk kekal sihat sepanjang 9 bulan 10 hari. 

Makanan untuk ibu hamil yang terbaik adalah makanan yang mengandungi sekurang-kurangnya : 

Berikut Mama Siti senaraikan 7 jenis makanan yang baik untuk membantu Mama dalam melalui saat-saat kehamilan yang mencabar ini. 

#1 Bahan Tenusu

Bahan-bahan tenusu seperti susu, dadih dan keju adalah sumber utama untuk mendapatkan kalsium, protein dan vitamin D. 

Umum mengetahui kalsium perlu untuk menghasilkan bayi yang mempunyai tulang dan gigi yang kuat. Tapi, Mama tahu tak yang kalsium sebenarnya sangat diperlukan oleh tubuh Mama sendiri? 

Kredit: Ibu Syurga

Semasa proses kehamilan, kalsium dari badan Mama akan diserap untuk pembentukan janin yang sihat dan kuat. Sebab itu, ramai Mama yang kerap mengadu lemah tulang atau sakit gigi ketika hamil. 

Cuba amalkan pengambilan 3 ke 4 hidangan bahan tenusu sehari bagi menyokong keperluan kalsium dalam badan Mama.  

#2 Kekacang

Kebanyakkan pil multivitamin yang Mama ambil untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan mempunyai zat besi dan asid folik yang boleh menyebabkan sembelit. 

Makanan jenis kekacang seperti kacang pea, dhal, soya dan kacang tanah sangat bagus untuk Mama. 

Selain daripada mengandungi protein, zat besi,magnesium, kalsium dan folate semulajadi, kandungan fiber di dalam kekacang adalah tinggi. 

ekekKredit: Consumer Report

Fiber memudahkan proses pencernaan dan mengurangkan sembelit. 

Folate pula adalah sumber utama vitamin B. Ianya sangat diperlukan ketika hamil, terutamanya di trimester pertama. 

#3 Makanan Berkanji

Makanan berkanji adalah sumber utama karbohidrat. Ia membekalkan tenaga untuk badan. 

Mama memerlukan makanan yang banyak memberi tenaga semasa hamil. 

Pastikan pilihan makanan Mama dalam sehari mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga sumber makanan berkanji. Contoh makanan berkanji termasuklah ubi, roti, nasi dan pasta. 

Kredit: Deccan Herald

Mama Siti menggalakkan Mama untuk cuba makan ubi keledek. Terutama sekali bagi Mama yang sering loya ketika makan nasi. Ubi keledek boleh disediakan dengan pelbagai cara. Ia kaya dengan Vitamin A yang juga penting untuk perkembangan janin. 

Selain itu, makanan bijirin gandum wholegrain juga adalah sumber karbohidrat yang baik untuk Mama. Tak seperti bijirin biasa seperti beras dan roti putih, wholegrain juga mengandungi vitamin B, fiber dan magnesium. Ia juga mengenyangkan walau diambil dalam kuantiti yang kecil. Untuk Mama yang mempunyai diabetes, baik amalkan pengambilan makan wholegrain untuk mendapatkan sumber karbohidrat. 

#4 Buah-buahan 

Ini adalah kategori kegemaran Mama Siti, terutamanya ketika hamil. Rasa loya dan seringkali muntah kadang-kadang membuatkan Mama ‘malas’ nak makan. Jangan!

Sekurang-kurangnya, makanlah buah-buahan untuk tenaga dan zat tambahan. Ia mengandungi sumber vitamin dan mineral yang penting untuk ibu hamil. 

Semua buah ada khasiat yang bagus termasuklah buat berries. Buah berries sangat kaya dengan vitamin C dan antioksida yang diperlukan badan ibu yang hamil. 

Antara buah berries yang boleh Mama cuba semasa hamil termasuklah strawberries, blueberries, raspberries dan acai berries. Ia juga mengandungi kandungan gula yang rendah dan sedap dibuat sebagai makanan tambahan atau dimakan begitu saja. Kalau dibuat smoothie pun mesti sedap! 

Pisang pun bagus untuk ibu hamil. Ia kaya dengan karbohidrat dan fiber yang baik untuk badan. Pisang juga mempunyai kadar potasium yang tinggi untuk membantu proses kehamilan.

Jika Mama sentiasa perlu mengunyah sesuatu untuk hilangkan rasa loya, cuba ambil buah kurma, anggur atau kismis. Ia mengandungi laksatif yang tinggi yang membantu mengurangkan masalah sembelit yang sering dihadapi oleh sebahagian ibu hamil.  

Kredit: Lifehack

#5 Sayur-sayuran

Sayur-sayuran juga sumber makanan wajib dalam diet Mama yang sedang hamil. 

Selain memberi fiber yang tinggi, sayuran hijau seperti bayam dan brokoli mempunyai banyak khasiatnya. 

Sayur-sayuran kaya dengan kalsium, besi, folat, potassium, vitamin C,K dan vitamin A. Mama yang menghadapi masalah penghadaman makanan dan sembelit digalakkan mengambil sayuran.

Walaupun Mama tak gemarkan sayur, Mama tak perlu makan ia begitu sahaja. Cuba menjadi kreatif dengan memasukkan sayur di dalam masakan utama yang Mama hidangkan. 

#6 Daging dan ikan

Daging ayam dan lembu adalah sumber utama yang mengandungi protein berkualiti tinggi. Ia juga kaya dengan zat besi, choline dan vitamin B yang Mama perlukan semasa hamil.

Zat besi diperlukan oleh badan untuk membina hemoglobin dalam sel darah merah. Perbanyakkan pengambilan makanan yang mempunyai zat besi semasa hamil terutama sekali di peringkat ketiga trimester. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan risiko bayi kekurangan berat dan komplikasi lain.

Kredit: Green Queen

Ikan dan makanan laut yang lain juga baik untuk Mama yang sedang hamil. Ia kaya dengan asid lemak omega-3 yang membantu perkembangan otak dan mata bayi.  

Salmon antara sumber semulajadi yang kaya dengan vitamin D. Ia membantu membentuk tulang yang sihat dan fungsi imunisasi badan. 

Selain daripada daging dan ikan, telur juga banyak khasiat untuk Mama hamil. Sebiji telur gred A mengandungi 80 kalori, protein berkualiti tinggi, lemak, vitamin dan mineral. 

Telur juga kaya dengan choline yang diperlukan untuk perkembangan otak bayi. Choline juga menghalang perkembangan abnormal pada otak dan tulang belakang bayi. 

#7 Air

Mama yang hamil perlu minum air yang banyak. Ada banyak kebaikan air dalam membantu perkembangan bayi dan diri Mama sendiri.

Vitamin dan zat makanan yang lain dipindahkan dari tubuh Mama kepada bayi di dalam rahim melalui air. 

Air juga mengurangkan risiko jangkitan kuman dan penyakit. Air membantu memudahkan sistem pencernaan dan penghadaman serta membuang toksik di dalam badan.

Kredit: Adobe Stock

Dengan meminum air yang mencukupi mengelakkan Mama daripada dihidrasi dan rasa lemah badan. 

Tapi jika Mama penggemar tegar kopi atau teh, pastikan pengambilannya terhad kepada secawan sehari. 

Mama haruslah makan makanan berkhasiat, bersesuaian dengan berat badan idea Mama semasa hamil. 

Sekurang-kurangnya, pastikan makanan Mama berkhasiat dan mempunyai semua kategori makanan yang disenaraikan. 

Semoga Mama dapat menempuhi detik manis kehamilan dengan sihat dan sejahtera!

Baca juga: Tanda-tanda mengandung anak perempuan, makanan untuk bayi 6 bulan

Pesan Mama Siti

Bila diri disahkan hamil bukan bermakna mama boleh makan apa saja yang mama inginkan. Pemilihan makanan yang berkhasiat adalah penting untuk tumbesaran janin. Mama Siti doakan mama yang baru hamil supaya dipermudahkan segala urusan sepanjang kehamilan.