Pernah tak Mama buka laci atau kabinet ubat di rumah, tiba-tiba jumpa ubat yang dah lama tak digunakan atau sudah expired? Ada yang terus buang ke dalam tong sampah, ada juga yang buang ke dalam sinki atau tandas tanpa berfikir panjang.
Sebenarnya, cara melupuskan ubat tidak boleh dipandang ringan. Ubat yang dibuang secara sembarangan boleh memberi kesan kepada alam sekitar, mencemarkan sumber air dan dalam sesetengah keadaan dan boleh membahayakan kanak-kanak atau haiwan peliharaan kalau dijumpa semula.
Jadi, macam mana cara yang betul untuk melupuskan ubat di rumah?
Kenapa Ubat Tidak Boleh Dibuang Sesuka Hati?
Kadang-kadang kita rasa, “Alah, buang sikit je.” Tapi hakikatnya, kandungan kimia dalam ubat boleh meresap ke dalam tanah dan sumber air jika tidak dilupuskan dengan betul.
Selain itu, ubat yang masih mempunyai bentuk atau bungkusan asal berisiko diambil semula oleh individu lain, terutama kanak-kanak yang mungkin menyangka ia adalah gula-gula atau makanan ringan.
Bayangkan jika ubat kuat, antibiotik, atau ubat tidur jatuh ke tangan yang salah. Memang bahaya.
Bagi ubat yang telah tamat tempoh pula, keberkesanannya mungkin telah berkurangan dan tidak lagi selamat digunakan.
Tanda Ubat Sudah Tidak Selamat Digunakan
Mama jangan tunggu ubat expired baru nak semak kabinet ubat di rumah. Ada beberapa keadaan yang menunjukkan ubat tersebut sudah tidak sesuai digunakan walaupun tarikh luput masih lama.
Antara ubat yang perlu dilupuskan ialah:
- Ubat yang telah tamat tarikh luput.
- Mengalami perubahan warna, bau atau tekstur.
- Tiada label atau pembungkusan asal, sehingga sukar untuk dikenal pasti jenis serta tarikh luputnya.
- Sudah dibuka terlalu lama, terutamanya bagi ubat titis mata, sirap dan ubat cecair.
- Diarahkan untuk dihentikan penggunaannya oleh doktor atau ahli farmasi.
Kalau nampak tanda-tanda macam ini, lebih baik jangan ambil risiko. Ubat yang rosak mungkin tidak lagi berkesan, malah boleh memudaratkan kesihatan.
Antibiotik Lama Jangan Simpan “Just In Case”
Ini antara tabiat yang sangat biasa berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Bila doktor bagi antibiotik, ada yang berhenti makan selepas rasa sihat dan simpan baki ubat untuk kegunaan masa depan.
Sebenarnya, antibiotik tidak boleh diambil sesuka hati tanpa nasihat doktor. Penggunaan antibiotik yang tidak betul boleh menyebabkan bakteria menjadi kebal antibiotik atau antibiotic resistance. Bila ini berlaku, rawatan pada masa akan datang menjadi lebih sukar.
Jadi kalau ada baki antibiotik yang sudah tidak digunakan, jangan simpan terlalu lama. Semak tarikh luput dan lupuskan dengan cara yang betul.
Cara Lupuskan Ubat dengan Betul
1. Hantar ke Program Pemulangan Ubat di Farmasi atau Hospital
Ini merupakan cara paling selamat dan disarankan. Banyak hospital dan fasiliti kesihatan menyediakan perkhidmatan pemulangan ubat yang tidak digunakan atau telah tamat tempoh untuk dilupuskan mengikut prosedur yang betul.
Dengan cara ini, Mama tidak perlu risau tentang risiko pencemaran atau penyalahgunaan ubat tersebut.
2. Jangan Buang Dalam Tandas atau Sinki
Walaupun nampak mudah, buang ubat dalam tandas atau sinki sebenarnya boleh menyebabkan bahan kimia masuk ke sistem perairan dan memberi kesan kepada alam sekitar.
Jadi, elakkan kebiasaan ini walaupun ubat tersebut hanya berbentuk cecair.
3. Asingkan dan Simpan Jauh Daripada Kanak-kanak Sebelum Dilupuskan
Kalau Mama belum sempat menghantar ubat ke pusat pengumpulan, simpan dahulu di tempat yang selamat dan jauh daripada capaian anak-anak.
Kanak-kanak secara semula jadi mempunyai sifat ingin tahu dan mungkin tertarik dengan warna atau bentuk ubat tertentu.
Jadikan Pemeriksaan Kotak Ubat Sebagai Rutin Keluarga
Sama seperti Mama menyemak tarikh luput makanan di dapur, check ubat expired atau tidak digunakan di rumah juga patut dijadikan rutin. Ia bukan sahaja membantu memastikan ubat yang disimpan masih selamat digunakan, malah dapat mengelakkan pengumpulan ubat yang tidak diperlukan.
Sedikit usaha untuk melupuskan ubat dengan cara yang betul sebenarnya memberi manfaat besar kepada keselamatan keluarga dan juga alam sekitar.
Jadi selepas ini, kalau jumpa ubat lama di rumah, jangan terus buang sembarangan ya Mama. Lupuskan ubat dengan betul supaya rumah lebih selamat dan bumi juga lebih terjaga.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak berita viral dan acara yang sedang trending di SINI.
