KelabMama

Ayah, Ini Luahan Tulus Ikhlas Dari Cinta Hati Pertamamu – Puteri Kesayanganmu

Biasakan dengar ayat seorang lelaki itu akan menjadi cinta pertama buat anak perempuannya. Ya, kata-kata itu sangatlah benar.

Tak kiralah sama ada lelaki itu bapa kandung ataupun sebaliknya, tetapi jika sejak kecil wanita itu telah diasuh dengan baik oleh seorang lelaki, maka lelaki itulah menjadi nama pertama yang terpahat di hati anaknya.

Wahai ayah, sesungguhnya daripada andalah, anak perempuanmu ini belajar erti kasih sayang, kekuatan serta kesabaran menempuh kehidupan dunia.

Malah, tak pernah sekalipun puterimu ini berasa terabai kerana ayah yang sentiasa ada bersama-sama di sisi melindungi dan menjaga anak perempuanmu ini.

Ku akui, dalam tegasmu, tetap terzahir kelembutan jiwa oleh seorang ayah. Dalam marahmu, terbukti rasa kasih dan sayang yang dicurahkan untuk anak perempuanmu.

Ketahuilah duhai ayah, anakmu ini bukan seorang yang mulia, apatah lagi dianggap sebagai anak solehah. Namun itu semua tidak menepis sebuah kenyataan bahawa ayahlah lelaki terbaik untuk anak perempuan, dan hakikat itu tiada siapa dapat menyangkalnya sehingga ke akhir hayat.

Tempatmu tak akan pernah dapat diganti. Jika suatu hari nanti anakmu ini dewasa dan bakal menjadi milik lelaki lain, itu semua tidak akan mengubah kedudukanmu sebagai pelindung puterinya sejak kecil.

Bermula daripada sebesar tapak tanganmu, ayah terus sirami anakmu dengan segala keperluan dan kasih sayang.

Mengenangkan kesabaran ayah berhempas pulas mencari rezeki sangat meruntunkan jiwa. Maafkan anakmu kerana gagal untuk bersabar dengan kekurangan.

Alpa untuk bersyukur dengan kemewahan. Sedangkan disebalik nikmat yang anakmu rasai itu, berdiri teguh seorang lelaki dengan secebis kudrat bagi menghiburkan hati puterinya.

Wahai ayah, keperibadianmu sentiasa mengagumkanku. Kekuatanmu sentiasa menjadi inspirasi. Kesabaranmu melayani perangai dan emosi gadis ini sejak daripada kecil tidak pernah dilupakan oleh puterimu. Segala jasamu akan ku kenang dan akan biarkan ia mekar dalam ingatan.

Kerana itu, ketahuilah ayah, tiada satu pun lelaki di dunia ini mampu menandingi semangat dan kecekalanmu dalam memberikan yang terbaik untuk anak perempuanmu. Ayah akan sentiasa menjadi lelaki terbaik dalam hidupku.

Doaku, semoga segala jasa dan pengorbanamu diganjari syurga oleh Allah. Tiada lain yang puterimu ini dambakan melainkan melihat ayah mampu tersenyum bahagia dan bangga dengan anakmu ini.

Walaupun di mana ayah berada, ketahuilah doaku untukmu ini tidak akan pernah putus. Semoga ayah sentiasa dirahmati Allah.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا

Ya Allah ampunilah dosaku dan dosa ke Dua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak kecil.