KelabMama

KREATIFKAN HIASAN BERTEMA PELANGI

Meluangkan masa bersama keluarga tidak semestinya perlu membawa mereka keluar. Berehat di rumah sambil bersantai melakukan aktiviti-aktiviti melibatkan kreativiti, juga menyeronokkan. Idea menghasilkan barangan perhiasan rumah berwarna pelangi boleh jadi idea menarik untuk dilakukan bersama.

 

BINGKAI GAMBAR

Manik-manik atau labuci-labuci yang telah tersimpan lama di dalam laci boleh digunakan semula untuk idea menghias bingkai gambar. Bingkai gambar yang sedia ada boleh digunakan semula sebagai rangka bingkai gambar itu nanti. Tugas melekat manik dan labuci yang berwarna-warni boleh dilakukan oleh anak anda kerana ia satu tugas yang mudah, dan anda boleh menyelia. Cuma lekatkan dengan gam UHU dan susun manik serta labuci tersebut mengikut susunan warna yang anda inginkan.

       

PASU HIASAN

Sejenis gam berkilat yang mempunyai pelbagai warna ataugold dust, boleh didapati di bahagian alat tulis di semua pasar raya. Modal yang diperlukan tidaklah mahal kerana gam berkilat ini ada dijual set dalam satu bungkusan. Apa yang perlu dilakukan hanya melukis gam tersebut mengikuti corak kreativiti anda.

 

MEJA KECIL

Tidak semestinya anda perlu menggantikan alas meja yang baru. Anda juga tidak perlu cat berwarna yang banyak sementelah harga tin cat yang bersaiz kecil pun mahal harganya. Cara berjimat adalah dengan menggunakan pita pelekat berwarna. Setakat ini ada pita pelekat berwarna merah, hijau, kuning, biru dan hitam ada dijual di bahagian alat tulis. Anda hanya perlu melekat selang seli untuk menampakkan seperti warna pelangi. Kami cadangkan lakukan untuk meja sisi atau meja lebih kecil.

 

BANTAL HIASAN

Bantal hiasan lebih selesa dipeluk apabila sarungnya terdiri dari fabrik kapas. Usah membeli fabrik kapas yang mahal tetapi memadai kain kapas murah asalkan berwarna-warni. Dinding yang berwarna kosong memang sesuai dengan dekorasi bantal hiasan yang berwarna-warni tidak kira bentuk geometri atau motif floral, atau dalam kes ini warna pelangi.

 

SELIMUT TAMPAL

Mungkin antara anda pernah mendengar selimut tampal seribu. Kebanyakan orang dulu-dulu gemar membuat selimut sendiri seperti mencantum perca-perca kain yang tidak digunakan. Selimut tampal dikatakan lebih sejuk dan nyaman apabila dibawa tidur. Anda boleh menghiasi bilik tidur anak anda dengan selimut tampal yang berwarna-warni supaya biliknya lebih ceria dan tidak lagi kusam.