KelabMama

KOS PENDIDIKAN ANAK ANDA SEMAKIN MAHAL. MENABUNGLAH SEKARANG MAMA!

Pendidikan menjadi agenda penting dalam pembangunan negara bagi melahirkan masyarakat yang berilmu. Namun, masih ada yang tercicir daripada mendapatkan pendidikan tinggi akibat kekurangan sumber kewangan. Isu-isu tabung pendidikan yang kecoh diperkatakan seperti kegagalan sesetengah pelajar mendapatkan pinjaman dan kelewatan pembayaran yuran serta kos sara hidup di universiti sudah menjadi senario saban tahun setiap kali universiti memulakan semester. Hakikat yang perlu diperhalusi daripada pelbagai isu yang timbul ialah sejauh manakah ibu bapa mampu merancang kewangan mereka agar anak-anak berupaya mendapat pendidikan sempurna.

Menyara kehidupan anak-anak adalah keutamaan penting bagi setiap ibu bapa. Namun, pendidikan anak pada masa depan lebih berharga berbanding segala keperluannya yang perlu ditunaikan pada hari ini.Dengan membuat perancangan kewangan dari sekarang, ibu bapa boleh memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik pada hari esok. Pilihan ibu bapa biasanya pelan pendidikan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat kewangan. Ramai ibu bapa tidak menyedari kepentingan menyimpan wang untuk anak-anak mereka. Dengan adanya simpanan bermula daripada peringkat bayi lagi, ibu bapa boleh menggunakan wang tersebut untuk pengajian anak mereka di universiti.

 

TIP UNTUK MENYIMPAN DENGAN BAIK

Tahukah anda ada satu konsep lama yang perlu diketahui mengenai simpanan iaitu membayar kepada diri sendiri terlebih dahulu. Konsep ini boleh digunakan dalam bentuk simpanan bagi untuk manfaat diri sendiri. Tidak dinafikan kebanyakan orang akan berbelanja dahulu pendapatan, kemudian lebihan digunakan untuk simpanan. Tetapi pada realitinya, selalunya kita akan berbelanja sebanyak mungkin berbanding menyimpannya. Seharusnya kita perlu ‘membayar kepada diri sendiri’ – menyimpan peratusan tertentu untuk simpanan sebelum menggunakan wang anda untuk tujuan lain. Percayalah sekiranya konsep ‘membayar untuk diri sendiri’ dijadikan amalan, anda tidak akan terlupa untuk menyimpan. Selain itu, menyimpan wang dalam akaun berbeza juga merupakan idea yang baik kerana ia mengekang untuk kita berbelanja lebih. Sebenarnya tiada satu masa yang boleh dianggap terbaik untuk membuat simpanan, jadi belajar untuk ‘membayar kepada diri sendiri’.

Adakah anda akan menerima gaji untuk kali pertama? Terasa sudah berkemampuan untuk membeli? Kebanyakan golongan muda berbelanja lebih daripada pendapatan. Mereka mahu menggunakan wang untuk membeli kereta, pakaian, makan di luar dan terperangkap dalam kehendak kehidupan. Memenuhi kehendak dalam perbelanjaan akan memberi tekanan kepada kewangan anda. Anda perlu belajar untuk membezakan keperluan daripada kehendak anda. Contohnya pinjaman rumah, bil elektrik dan makanan. Adakah anda perlu menikmati kopi berharga RM15 secawan, telefon baru serta membuat rawatan kuku? Bukan anda mampu menjalani kehidupan tanpa semua itu? Sebenarnya,  tidak ada penyelesaian mudah bagi menyeimbangkan jaminan kewangan masa depan dan menikmati gaya hidup semasa. Beberapa disiplin fiskal mungkin diperlukan dan anda akan mendapati ia berbaloi untuk masa depan. Sekiranya anda menyukai sesuatu, paksa diri anda untuk menangguh memilikinya dalam masa dua minggu sebelum terus membelinya. Ini kerana selepas tempoh itu anda akan mendapati anda sebenarnya tidak memerlukannya. Cara lain ialah membelinya secara tunai supaya dapat merasai berbelanja sebenar.

Anda perlu mengelakkan diri daripada membuat hutang yang tinggi. Ia sama seperti meletakkan perbelanjaan sebagai keutamaan, kuasa berbelanja boleh meningkatkan hutang. Oleh itu, membayar kad kredit perlu diletakkan sebagai keutamaan. Syabas kepada anda yang tidak memiliki kad kredit. Sekiranya anda mempunyai hutang kredit kad yang tertangguh, elak membuat bayaran minimum. Ia kerana jika anda terikat dengan amalan itu, anda sebenarnya akan menanggung hutang dalam jangka panjang. Mempunyai hutang yang banyak pada usia muda merupakan satu kesilapan besar bagi golongan berumur 20an. Jangan kerana anda layak untuk mendapat pinjaman yang besar, bermakna anda menggunakan seluruh kapasiti untuk membuat hutang. Perlu diingatkan sekiranya anda tersalah membuat keputusan – anda akan menghabiskan usia muda anda dengan membayar hutang. Dalam usia 20an anda perlu mempunyai sejarah kredit yang baik untuk digunakan pada masa depan.

 

 

 

 

 

Sumber: Utusan