KelabMama

Fahami Kesihatan Mental Anak (+ 14 Tips) Dalam Zaman Yang Mencabar Ini

fahami kesihatan mental anak

“Mama nak kakak ada sakit mental ke?”

Mama Siti akui, memang mencabar nak didik anak di zaman ini. Kadang-kadang kita nak anak jadi lebih berdisiplin tapi anak fikir kita abaikan kesihatan mental dia pula. 

Dilema dibuatnya. Mama Siti kongsikan 14 tips jaga kesihatan mental anak-anak generasi alpha. 

Ayuh, kita lihat lebih terperinci lagi. 

14 Tips Jaga Kesihatan Mental Anak

#1 Luangkan Masa Bersama

“Pejam celilk, anak pun dah besar. Mula lah nak rindu masa mereka kecil-kecil dulu.”

Ramai yang meluahkan rasa terkilan kerana tak mampu meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak ketika masih kecil. 

Ambil iktibar dan manfaatkan masa dengan melakukan aktiviti bersama-sama seperti bersukan, bermain permainan dan menyanyi. 

#2 Beri Penuh Perhatian

Kredit gambar: OnManorama

Berapa masa sangat kita dapat luangkan masa dengan anak-anak? 

Hampir setengah hari kita terpaksa berpisah kerana bekerja dan anak-anak bersekolah. Waktu malam pula lebih singkat kerana keperluan untuk tidur. 

Waktu yang tersisa, wajib kita berikan sepenuh perhatian untuk berbual dengan anak tanpa gangguan telefon, gajet dan permainan video. 

#3 Pujian Membina

Hati-hati dalam memberi pujian. Pujian yang keterlaluan dan tak kena tempat boleh memakan diri anak-anak. 

Beri pujian dan sebutkankan jenis perbuatan yang menyebabkan mereka diberikan pujian itu. Contohnya, “bagusnya anak Mama tolong adik pakaikan kasut”. 

#4 Disiplin Tanpa Melabel

Elakkan perkataan seperti ‘malas’, ‘nakal’, ‘bodoh’ atau kata-kata yang mempunyai makna serupa. 

Lebih baik jika kita menjelaskan kenapa tindakan mereka itu dianggap tidak berdisiplin dan penting untuk anak-anak tahu kita sayangkan mereka walaupun terpaksa melakukan sesuatu untuk mendisiplin anak-anak. 

#5 Jangkaan Terjangkau

Kredit gambar: iStock

Sikap membandingkan antara anak-anak tidak sedikit pun menaikan semangat mereka. Bahkan ada anak yang menganggap dirinya tidak bermakna kerana tidak mampu mencapai sebarang kejayaan. 

Oleh itu, sebagai Mama dan Papa yang cakna dengan kesihatan mental anak-anak, kita hendaklah menetapkan jangkaan terjangkau bagi sesuatu perkara. 

#6 Latih Fikiran Positif

Penting untuk kita ajarkan anak untuk berfikir dari perspektif positif dan kekal optimis ketika dilanda kesukaran. 

Tindakan ini membantu meningkatkan nilai diri (self-esteem) dan keyakinan diri anak di samping membantu mereka pulih daripada kegagalan dan terus bermotivasi.  

#7 Fokus Pada Kelebihan

Terokai pelbagai jenis aktiviti dan hobi agar anak dapat menemukan kekuatan mereka masing-masing. Barulah tak ada label “along tak pandai menari, tak macam adik”. 

Kita perlu faham, setiap anak ada kelebihan masing-masing. 

#8 Ajar Berdikari

Beri kepercayaan kepada anak untuk menguruskan tugas yang boleh diselesaikan sendiri. Jika berjaya, akui kejayaan itu dengan kata-kata seperti “Mama tahu, abang pasti boleh buat”. 

Sekiranya gagal, pujuk dan berikan dorongan agar mereka mencari tahu punca kegagalan itu dan memperbaikinya. 

#9 Galakkan Persahabatan Bermakna

Kredit gambar: Depositphotos

Bak kata pepatah “berkawan biar ramai, berkasih biar satu”. Dalam proses anak mencari sahabat, mereka perlu berkenalan dengan ramai orang. 

Dalam beberapa orang yang dikenalnya itu akan menjadi sahabat buat anak-anak kita. Sesekali, ajak kawan anak Mama meluangkan masa bersama-sama di rumah sebagai tanda penghargaan. 

#10 Galakkan Aktiviti Fizikal

Pastikan anak mendapat rehat yang cukup, mendapat khasiat dari makan dan minum serta yang kerap diabaikan oleh kita semua ialah agar mereka mendapat pendedahan cahaya matahari yang secukupnya setiap hari. 

Semua perkara ini menyumbang kepada kesihatan fizikal dan sekaligus memelihara kesihatan mental anak-anak. 

#11 Legakan Tekanan

Ketika kesihatan mental anak diuji, bantu mereka menghadapinya bersama-sama sebagai satu keluarga. 

Mama boleh ajak satu keluarga brisk walk di taman ataupun melakukan aktiviti kegemaran mereka bersama. 

Dengan cara itu, anak tahu bahawa keluarganya sentiasa ada di waktu mencabar dan senang. 

#12 Cara Bertenang Yang Betul

Kredit gambar: iStock

Beberapa kaedah yang disarankan ialah meluangkan beberapa waktu untuk diri sendiri dengan melakukan aktiviti yang menyeronokkan. 

Contohnya seperti mendengar muzik, bermain dengan kawan-kawan di luar rumah dan juga bermeditasi.

#13 Jadi Contoh Teladan

Kita tidak boleh menyangkal lagi bahawa nasihat yang baik ialah ketika anak melihat contoh di depan matanya. 

Lihat bagaimana Mama menangani situasi sukar. Adakah Mama akan marah semua orang yang menganggu atau Mama ambil masa untuk tenangkan diri sebentar. 

#14 ‘Self-Talk’ Yang Positif

Demi mempersiapkan anak-anak menjadi seorang dewasa yang kuat daya tahan, Mama perlu kongsikan kepada mereka cara self-talk yang positif.

“Saya cuma tak pandai melukis, tapi saya pandai menyanyi”.

“Tenang! Saya boleh harungi semua ini”. 

Kaedah ini membantu anak mengubah cara mereka melihat diri sendiri dan menguruskan emosi serta cara memberikan reaksi. 

Kredit gambar: iStock

Gunakan tips yang dikongsikan tadi untuk menjaga kesejahteraan mental anak Mama. Ingat! Kanak-kanak dan remaja yang sihat dan ceria cenderung untuk menyerlah dalam akademik dan kokurikulum di sekolah serta berjaya mengharungi cabaran hidup.  


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan info menarik mengenai kesihatan seisi keluarga di SINI.