KelabMama

Kesan Jangkitan Cacing Pada Si Manja

Walaupun terdapat peningkatan kesedaran tentang kesan jangkitan cacing sebagai masalah kesihatan umum, namun ia masih kerap diabaikan khususnya di kawasan bandar. Berjangkit melalui tanah; cacing kerawit, cacing gelang dan cacing cambuk adalah tiga jenis cacing yang paling biasa menjangkiti usus seseorang. Cacing juga boleh berjangkit melalui sentuhan dengan permukaan yang tercemar serta makanan dan juga air. Setelah menjangkit, cacing-cacing ini akan membinasakan nutrien yang diperlukan oleh tubuh dan secara langsung mengurangkan selera makan, penghadaman dan pencernaan mangsa yang dijangkiti. Parasit ini akan menjadi ancaman serius kepada perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak.

 

KESAN TUMBESARAN

Tetapi bagaimana jangkitan ini memberi kesan kepada tumbesaran kanak-kanak? Antara kesan biasa jangkitan adalah hilang selera makan akibat rasa loya, mutah, sakit perut dan cirit-birit. Kanak-kanak yang dijangkiti akan mengambil sedikit makanan, dan pada masa yang sama perlu berkongsi dengan parasit. Ini akan mengurangkan lagi nutrien yang diperlukan oleh tubuh untuk menampung tumbesaran kanak-kanak .Kelesuan akibat jangkitan cacing akan mengurangkan keupayaan kanak-kanak untuk belajar. Jangkitan cacing menjejaskan fungsi kognitif kanak-kanak secara langsung dengan menjejaskan keupayaan untuk memberi tumpuan ketika belajar, serta daya mengingati apa yang dipelajari. Adalah penting untuk diketahui bahawa pencapaian markah yang rendah dalam ujian dan pelajaran berkait rapat dengan kes jangkitan cacing sederhana dan serius.

 

RAWATAN

Setakat ini tiada vaksin untuk menghapuskan cacing. Setelah dijangkiti cacing, ia sememangnya sukar dihapuskan tanpa menggunakan ubat pencegah cacing. Ubat pencegah cacing seperti Zentel mampu menghapuskan kebanyakan cacing biasa pada setiap peringkat kitaran hidupnya – daripada telur hingga larva dan juga cacing dewasa.

 

SIMPTOM-SIMPTOM KECACINGAN

 

INFO!

CACING KERAWIT

Biasa dijumpai di kawasan pedalaman terutama jika kanak-kanak berkaki ayam. Cacing kerawit memasuki badan melalui kulit. Larva (anak cacing yang baru ditetaskan) memasuki usus kecil dan tinggal selama beberapa tahun. Jangkitan cacing kerawit boleh menyebabkan kehilangan darah yang kronik dan pesakit mengalami anemia serta kekurangan zat besi. Jika tidak dirawat dengan segera, tumbesaran seseorang kanak-kanak terjejas.

CACING PITA

Jangkitan berlaku apabila seseorang memakan daging yang dijangkiti larva cacing. Bagaimanapun, ia jarang berlaku dan biasanya hanya dialami individu yang kerap makan daging atau produk berasaskan daging. Gejala jangkitan termasuk penurunan berat badan tanpa sebab, hilang selera makan, perut buncit dan sebahagian daripada cacing terkeluar apabila membuang air besar.

CACING CANGKUK

Lazimnya menjangkiti penduduk luar bandar dan kurang kemudahan kebersihan. Kanak-kanak berumur di antara lima hingga 15 tahun paling berisiko tinggi dan biasanya jumlah cacing di dalam usus mereka lebih banyak berbanding orang dewasa. Jika jangkitan tidak serius, ia tidak menunjukkan sebarang kesan tetapi kanak-kanak boleh mengalami cirit-birit berdarah dan kadangkala dubur terkeluar jika jangkitan sampai ke peringkat serius. Malah, kanak-kanak juga kelihatan pucat dan tidak sihat akibat kekurangan zat.

CACING BENANG

Paling biasa berlaku pada kanak-kanak berumur di antara lima hingga 14 tahun. Walaupun jangka hayat cacing ini pendek, pesakit biasanya mendapat jangkitan berulang. Cacing benang sangat halus dan kecil, berukuran di antara dua hingga empat milimeter sahaja, berwarna putih dan biasanya ditemui dalam satu kumpulan. Ia tinggal di dalam usus besar dan gejala gatal pada dubur akibat pengeluaran telur. Apabila kanak-kanak menggaru duburnya, telur tadi berpindah ke jari dan kuku. Selain gatal pada dubur, pesakit akan mengalami anemia, cirit-birit, muntah, letih dan hilang selera makan, batuk dan sukar bernafas.

 

 

 

 

Sumber: Utusan Malaysia