Baru masuk bulan Mei, tapi kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara kita dah pun cecah hampir 100,000! Menurut laporan terkini dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 99,601 kes HFMD meningkat telah dilaporkan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 yang berakhir pada 26 April 2025.
Mama Siti nak kongsikan, angka ini sangat mengejutkan kerana ini menunjukkan peningkatan sebanyak 266% berbanding 27,236 kes yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.
Daripada jumlah keseluruhan tu, KKM maklumkan bahawa 10,421 kes (10%) adalah kes wabak, manakala 89,180 kes lagi berlaku secara sporadik maksudnya, kes yang berlaku secara terpencil atau tidak berkait secara langsung dengan wabak tertentu.
Bila tengok taburan negeri pula, Selangor mencatat kes tertinggi dengan 27.2%, diikuti Johor (9.9%), Perak (9.4%), Kelantan (7.2%) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (6.9%).
Apa yang buat Mama Siti lagi risau, sebanyak 2,649 wabak telah direkodkan setakat ini dan jumlahnya jauh lebih tinggi berbanding 1,339 wabak pada tahun 2024, menunjukkan peningkatan sebanyak 49%.
Kebanyakan wabak berlaku di tempat penjagaan awal kanak-kanak seperti di taska sebanyak 578 kes, di tadika 480 kes, di tabika pula 292 dan terakhir di prasekolah 251 kes. Ini menandakan penularannya semakin aktif dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya di tempat yang ramai.
Pihak KKM juga telah mengambil langkah pantas dengan menjalankan pemeriksaan ke atas 38,000 premis di seluruh negara, termasuk rumah kediaman. Hasilnya, sebanyak 1,140 premis diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, manakala 430 premis lagi ditutup secara sukarela.
Walaupun jumlah kes HFMD semakin meningkat dari hari ke hari, namun sehingga kini masih belum ada kematian yang dilaporkan akibat jangkitan ini.
Tetapi KKM tetap tidak mengambil ringan dengan wabak ini, pelbagai usaha kawalan dan langkah pendidikan kesihatan terus digiatkan bagi memastikan penularan dapat dikawal dan kesedaran masyarakat dipertingkatkan.
Antara inisiatif termasuk 220 sesi taklimat kesihatan yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh negara untuk beri kesedaran kepada Mama Papa, penjaga dan pengusaha pusat jagaan kanak-kanak.
Tanda-Tanda HFMD yang Mama Papa Perlu Perhatikan
- Demam mendadak.
- Ulser dalam mulut atau lidah.
- Ruam merah atau lepuh kecil di tapak tangan, kaki dan sekitar mulut.
- Anak Mama tak lalu makan dan kuat meragam.
- Kadang-kadang anak mengalami cirit-birit atau muntah.
Mama Siti nak ingatkan, pencegahan bermula dari rumah. Pastikan anak-anak mencuci tangan dengan betul, terutamanya sebelum makan dan selepas ke tandas.
Mainan, bilik air dan barang yang sering disentuh pun perlu dibersihkan selalu sama ada guna sabun, air atau cecair pembasmi kuman.
Selain menjaga kebersihan diri dan persekitaran, elakkan juga daripada berkongsi barang peribadi seperti cawan, tuala atau berus gigi. Kalau anak Mama mula menunjukkan tanda-tanda jangkitan HFMD, segera bawa mereka berjumpa doktor.
Paling penting, JANGAN HANTAR mereka ke pusat jagaan, ELAKKAN berkumpul bersama ahli keluarga dan JAUHI tempat awam untuk mencegah penularan kepada kanak-kanak yang lain.
Sekiranya anak Mama Papa disahkan menghidap HFMD patuhilah arahan doktor sepenuhnya sama ada perlu dimasukkan ke hospital atau dikuarantin di rumah.
Sama-sama kita menjaga kesihatan anak-anak dan elakkan HFMD terus menular. Jangan ambil mudah ya, Mama Papa semua!
Apa penyebab lelangit anak Mama tiba-tiba bengkak? Klik di SINI.