KelabMama

Kerana Pilihan Ibu Bapa, Bayi Berusia 3 Bulan Dijangkiti Virus Polio

Kerana Pilihan Ibu Bapa, Bayi Berusia 3 Bulan Dijangkiti Virus Polio

Virus polio merupakan penyakit yang wajib dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Untuk pastikan Malaysia bebas daripada wabak polio, kerajaan telah jalankan pemantauan AFP kepada kanak-kanak berumur kurang daripada 15 tahun di semua fasiliti kesihatan di Malaysia.

Tapi, mama dah dengar ke? Seorang bayi lelaki dari Tuaran, Sabah telah dijangkiti penyakit ini!

Virus Polio Kembali!

Setelah hampir 3 dekad Malaysia bebas daripada wabak polio, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah melakar sejarah apabila disahkan dijangkiti virus tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Public Health Malaysia berkenaan virus polio yang kembali menular di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa didapati mengalami demam diikuti dengan lemah anggota badan, dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), Jumaat lalu.

Beliau berkata, bayi itu kini dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil, namun masih memerlukan bantuan pernafasan. Orang ramai dan pihak media dipohon untuk tak mengganggu waris atau petugas kesihatan di hospital memandangkan pesakit masih memerlukan rawatan rapi.

“Hasil ujian pengesahan dijalankan Makmal Polio Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia, mendapati virus terbabit ada perkaitan genetik dengan virus polio dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di Filipina. VDPV1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV1).

Berasal Dari Virus Polio Yang Sudah Dilemahkan

Beliau berkata lagi “Circulating vaccine-derived poliovirus (cVDPV) berasal daripada virus polio yang sudah dilemahkan di dalam vaksin polio yang diberi secara oral.

“ Virus dilemahkan ini dikumuhkan oleh badan melalui najis. Dalam persekitaran tak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95%,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah bahawa, bila virus itu tersebar dalam komuniti berkenaan, ia mengalami mutasi genetik sehingga menjadi virus yang kembali aktif.

“Virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis. Namun, mereka yang divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit itu,” katanya.

Polio atau poliomyelitis adalah akibat jangkitan virus polio yang merosakkan sistem saraf pusat.

Hasil Siasatan, Tak Terima Vaksin Polio

Mengulas lanjut, setakat Khamis lalu, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal mangsa, mendapati 23 daripada 199 orang (11.6%) berusia antara dua bulan hingga 15 tahun, tak menerima vaksin polio.

Katanya, ia satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVDPV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio.

Ibu bapa perlu peka dengan kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio.

Namun begitu, mereka telah berjaya memujuk ibu bapa kanak-kanak terbabit untuk diberi vaksin polio hasil dari penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan tersebut.

“Aktiviti pencarian kes acute flaccid paralysis (AFP), proksi kepada poliomyelitis di kawasan tempat tinggal kanak-kanak itu juga dijalankan.

“Hingga Khamis lalu, seramai 646 orang diperiksa dan tiada orang bergejala AFP dikesan. Siasatan masih diteruskan di kawasan berkenaan, termasuk pengambilan sampel najis daripada kontak rapat kanak-kanak itu serta sampel persekitaran bagi pengesanan virus polio,” katanya.

Aktiviti Pemberian Imunisasi Polio Diteruskan

Beliau berkata, aktiviti pemberian imunisasi polio akan diteruskan di kawasan tempat tinggal kes dan diperluas ke kawasan lain yang berisiko untuk pastikan virus polio ini tak terus menular di Malaysia. Risiko untuk mereka mendapat poliomyelitis meningkat terutama bagi mereka yang tak ada lagi imuniti terhadap jangkitan polio.

“Ia bagi memastikan liputan imunisasi polio yang tinggi, iaitu melebihi 95%,” katanya.

Rakyat Malaysia harus mengambil langkah pencegahan mengikuti jadual imunisasi kebangsaan untuk membasmi wabak polio.

KKM juga memaklumkan bahawa penyakit polio ini ditularkan melalui “fecal oral route” seperi mana penyakit lain tersebar. Penduduk dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai gejala AFP atau maklumkan saja kepada pihak Kementerian Kesihatan sekiranya ada kes sedemikian yang tak mendapatkan rawatan.

“Untuk makluman, kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada 1992. Pada Oktober 2000, Malaysia bersama negara Rantau Pasifik Barat diisytiharkan bebas daripada penyakit polio,” katanya.

Sumber : Berita HarianKementerian Kesihatan Malaysia

BACA JUGA POLIO KEMBALI MENJAJAH FILIPINA SETELAH 19 TAHUN DISAHKAN ‘PUPUS’

Pesan Mama Siti:

Kerana pilihan kita anak-anak menderita. Mama Siti menggesa, ambillah vaksin polio tu. Tak payah joinlah kumpulan anti vaksin tu, kesihatan anak kita yang lebih penting. Sekarang polio dah kembali menjajah Malaysia, seorang bayi dah dijangkiti. Nak tunggu anak mama pula ke baru nak insaf?