KelabMama

Atasi Kerak Kepala Bayi Dengan 9 Tips Ini

Kerak kepala atau turut disebut sebagai cradle cap adalah suatu yang sinonim tumbuh di atas kepala bayi. Ianya bukanlah bendasing dan perkara ini normal bagi bayi berusia lingkungan dua hingga ke enam minggu.

Namun, tidak dinafikan kerak kekuningan ini adakalanya sedikit menganggu penglihatan Papa dan Mama lantaran melihatkan kepala si manja yang masih lagi kecil berwarna kemerah-merahan seolah dilitupi dengan sisik seperti kelemumur.

Selain di kulit kepala, cradle cap ini kebiasaanya turut menjalar di bahagian belakang telinga, kelopak mata atau bahagian lipatan tubuh bayi.

Justeru, menjadi persoalan adakah kerak ini perlu dibuang atau ia akan hilang dengan sendirinya?

Walaupun tidak berbahaya, tapi jika dibiarkan, sisik kulit kepala ini boleh menjadi semakin tebal, berminyak dan berwarna putih kekuningan.

Lama-kelamaan, kerak kepala tadi boleh bertambah keras selain sisiknya juga berisiko melekat pada rambut. Menurut Portal MyHealth, kondisi ini dikenali sebagai infantile seborrheic dermatitis.

Pasti Mama tertanya-tanya apa sebenarnya punca kerak kepala bayi ini terjadi dan bagaimana kaedah selamat untuk menghilangkan masalah berkenaan?

Punca Kerak Kepala Bayi

Menurut laman web Nemours Kids Health, cradle cap ini muncul kerana pengeluaran minyak yang berlebihan pada bahagian kepala bayi dan kemudiannya akan mengering serta mengelupas.

Selain itu, ada juga yang berpendapat gejala ini terjadi akibat daripada hormon yang berlebihan diterima bayi ketika ibunya hamil sekaligus menjadi punca terjadinya masalah tersebut.

Kajian turut menunjukkan bahawa bayi yang mempunyai kerak kepala mempunyai keluarga dengan sejarah ekzema.

9 Tips Menghilangkan Kerak Kepala Bayi

Lantaran ia perlu diberi perhatian, maka adalah pentin untuk Mama ketahui cara selamat yang boleh dilakukan bagi mengawal atau menghilangkan kerak kepala si kecil. Berikut adalah tips sesuai:

1. Gunakan minyak atau krim

Mama boleh gunakan minyak rambut bayi atau minyak kelapa dan gosok lembut pada kulit kepala mereka dengan menggunakan tuala lembut. Biarkan selama 20 minit hingga ke satu jam kemudian berus dengan menggunakan berus bayi.

Buat secara perlahan dan lemah lembut. Mama mungkin rasa emosi apabila melihat kerak kepala bayi yang banyak, namun perlu hati-hati kerana menggosok terlalu kasar boleh buat bayi tak selesa seterusnya berlaku iritasi.

Sebaiknya, rujuk doktor dan dapatkan krim khas untuk membantu merawat kulit kepala bayi sebagai alternatif.

2. Gunakan syampu

Basuh rambut bayi ini pun bagus sebab Mama boleh longgarkan sikit keraknya, lebih mudah untuk bersihkan. Cuma pastikan Mama menggunakan syampu yang sesuai dengan bayi dan jangan sesekali guna syampu untuk orang dewasa.

Basuh rambut si manja dengan menggunakan syampu sekerap yang mungkin dan gunakan sikat atau berus lembut dengan perlahan dan cermat.

3. Lap kepala

Satu lagi cara adalah dengan meletakkan minyak pada kain atau towel kecil. Kemudian gosok atau lapkan perlahan-lahan pada bahagian kepala bayi yang berkerak.

Memang terasa ‘geram’ bila tengok keruping-keruping pada kepala bayi. Kalau boleh nak kopek-kopek dengan jari, kan? Sebenarnya perbuatan ini perlu dielakkan sebab ia boleh menjadi punca berlakunya jangkitan atau iritasi. Jangan pula terlalu kasar menggosok  kepala bayi kerana ia masih lembut. Takut nanti melecet dan semakin teruk sekiranya terluka.

Sebaiknya, gosok lembut dan biarkan kerak tadi tertanggal sedikit demi sedikit.

4. Cukur rambut

Ini yang paling mudah dan sangat dituntut dalam Islam. Mencukur rambut bayi adalah sedekah yang digalakkan dalam menyambut kelahiran si kecil. Namun, mesti ramai tak perasa bahawa cukur rambut mereka juga turut menjamin kebersihan kepala sekaligus menyingkirkan kerak tadi.

Apabila rambut tiada, keradangan mudah diatasi dikesan dan dapat diatasi dengan cepat.  Tetapi kalau bayi ada rambut, ia menyukarkan lantaran kerak tadi boleh tersorok di bawah rambut-rambut tebal sekaligus nebgakibatkan keradangan.

5. Elak bedak

Elakkan meletak bedak di kepala bayi atau berhampiran kawasan yang berkerak yerr Mama! Contohnya di kening atau telinga.

Ia boleh menyebabkan berlakunya pengumpulan bedak yang tersangkut pada bahagian hujung terbentuknya kerak.

6. Jangan korek kerak kepala bayi

Sewaktu bersihkan kerak kepala bayi, mesti timbul rasa nak korek kuping tersebut. Namun, Mama tolong jangan buat begitu ya! Ini kerana kulit kepala bayi sangat rapuh dan tidak seperti orang dewasa.

7. Tidak memakai topi

Dalam usaha nak memastikan cradle cap ini berkurangan, aksesori baby yang Mama perlu elak adalah topi. Meskipun nampak comel, jangan selalu pakaikan bayi dengan topi kerana kulit kepala bayi boleh menjadi lembab dan berpeluh.

Usahakan juga agar suhu bilik sentiasa berangin dan tidak terlalu panas. Hal ini boleh menjadi punca ketidakselesaan dan kegatalan serta boleh menimbulkan keradangan.

8. Berjumpa doktor

Sekiranya kerak kepala bayi terlalu tebal dan membimbangkan, bawalah bayi berjumpa doktor. Doktor akan memberikan krim khas yang sesuai untuk merawat kulit kepala bayi.

Dalam kes-kes teruk di mana kerak kepala telah menjadi radang atau mendapat infection, doktor mungkin akan turut memberikan krim anti-fungus untuk menanganinya.

9. Menjaga kebersihan kepala bayi

Pastikan Mama sentiasa menjaga kebersihan di kepala mereka dan jadikan ia rutin seharian iaitu:

Meskipun tidak berbahaya kerana kerak kepala bayi ini boleh hilang dengan sendiri dalam beberapa bulan, namun penjagaan dan rutin yang tepat perlu dititik beratkan.

Jangan ambil mudah dan mengabaikan penjagaannya. Dan sekiranya muncul keadaan bertambah teruk, segera ke hospital ye Mama.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Untuk mengetahui lebih banyak lagi tentang kesihatan si manja Mama, boleh klik di SINI!