KelabMama

“Kenapa IKN Larang Bawa Bunga Hidup?” Meh Mama Siti Explain

jangan bawa buku hidup melawat orang sakit

Bila Mama Papa dengar kawan atau ahli keluarga sedang dirawat di hospital, memang automatik kita terfikir nak bawa bunga nak bagi semangat, nak bagi ceria suasana.

Tapi sebenarnya, pemberian bunga tidak begitu digalakkan. Dan di Institut Kanser Negara (IKN) pula, memang langsung tak dibenarkan bawa masuk bunga segar, bunga dalam pasu atau apa-apa tumbuhan hidup.

Nampak macam perkara remeh je kan? Tapi percayalah Mama Papa, larangan ni bukan saja-saja. Ada sebab yang sangat penting di sebaliknya.

Kenapa IKN Melarang Pengunjung Membawa Bunga Hidup?

Memang betul bunga tu cantik, tapi debunga dan spora halus pada kelopaknya boleh jadi bahaya untuk pesakit kanser yang sistem imun mereka sangat lemah. Kita tak nampak pun kuman tu, tapi untuk mereka, partikel kecil macam ni pun boleh jadi punca jangkitan serius.

Kadang-kadang benda yang nampak simple je, tapi kesannya besar pada tubuh mereka yang tengah bertarung nak pulih. Tambah pula, air dalam pasu dan tanah yang lembap memang ‘rumah’ untuk bakteria, kulat dan spora. Untuk orang sihat mungkin tak ada apa-apa, tapi untuk pesakit kanser, mikroorganisma ni boleh buat mereka cepat jatuh sakit.

Itulah sebabnya IKN sangat berhati-hati, mereka tak nak biarkan walau risiko sekecil zarah pun menghampiri pesakit. Lagi satu, pesakit yang sedang jalani kemoterapi biasanya sangat sensitif dengan bau.

Bunga yang wangi untuk kita, kadang boleh jadi punca pening, loya atau muntah untuk mereka. Niat kita nak bagi ceria, tapi kalau bau bunga tu buat pesakit tak selesa, lebih baik elakkan supaya mereka boleh berehat dengan tenang.

Apa Lagi Hadiah yang TAK Sesuai?

Selain bunga hidup, sebenarnya banyak lagi benda yang nampak comel atau wangi tapi tidak sesuai dibawa untuk pesakit kanser. Dan antaranya:

  1. Belon
    Belon lateks atau getah mungkin tak dibenarkan sebab boleh sebabkan alahan. Tambahan pula, belon metallic atau mylar mungkin tak dibenarkan di ICU kerana boleh mengganggu sesetengah peralatan perubatan.
  2. Lilin Aromaterapi atau Minyak Wangi
    Bau yang kuat boleh buat pesakit pening, loya atau muntah. Pesakit yang tengah jalani kemoterapi atau radioterapi memang sangat sensitif pada aroma.
  3. Makanan Mentah atau Kurang Masak
    Sushi, telur separuh masak, daging mentah atau seafood mentah boleh membawa bakteria atau parasit. Pesakit kanser yang sistem imun lemah sangat berisiko dijangkiti kuman dari makanan sebegini.
  4. Makanan Tinggi Karbohidrat Tertapis
    Contohnya pasta putih, roti putih, nasi putih bukan bermasalah dari segi bakteria, tapi kurang baik untuk tenaga dan nutrisi mereka. Sebaiknya pilih makanan ringan yang selamat dan dibenarkan jika nak bawa makanan.
  5. Barang Berbau atau Berwarna Terlalu Terang
    Contohnya sabun berperisa, losyen beraroma, atau dekorasi yang terlalu kuat baunya. Sesetengah pesakit mudah loya atau sensitif kepada bau-bauan ini.
  6. Mainan atau Barangan Yang Sukar Dibersihkan
    Jika mainan mempunyai kain, plush atau toys yang sukar dibersihkan, ia boleh jadi sarang bakteria dan kumpul habuk. Ini bahaya terutamanya untuk kanak-kanak yang imun lemah.

Tip Mama Siti: Pilih hadiah yang selamat, bersih, dan memberi keselesaan. Contohnya kad ucapan, selimut lembut, stokin comfy, coloring book, puzzle atau buku untuk bacaan santai.

Kalau Mama Papa nak bawa makanan juga, jangan lupa call dulu tanya apa jenis makanan yang mereka dibenarkan makan.

IKN larang bawa bunga hidup bukan bermaksud kita tidak boleh menunjukkan kasih sayang melalui hadiah. Sebenarnya, peraturan ini diwujudkan untuk menjaga keselamatan pesakit yang sangat sensitif terhadap jangkitan.

Walaupun bunga dan hadiah tertentu tidak dibenarkan, Mama Papa masih boleh beri sokongan dengan cara yang selamat dan bermanfaat. Pilih hadiah yang praktikal, beri perhatian ikhlas, dan pastikan pesakit rasa selesa sepanjang lawatan.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan pelbagai lagi informasi menarik dan yang trending di SINI!