KelabMama

Mengimbau Kenangan Raya Zaman Dahulu Yang Sangat Dirindui

Kredit gambar: Azami Adiputera / Shutterstock.com

Hari Raya tahun ini pastinya tak sama dengan tahun-tahun sebelum ini. Banyak perancangan yang bermain di minda hingga tidak terkejar rasanya hendak memenuhi semua kehendak. Mana taknya, sudah dua kali raya umat Islam di Malaysia tak dapat meraikan seperti kebiasaannya disebabkan PKP dan COVID-19. Alhamdulillah, ada sinar untuk kumpul beramai-ramai di pagi raya tahun ini, Insyaallah. 

Dalam kesibukan menyediakan persiapan raya, jauh di sudut hati, ada tercuit kenangan mengusik kalbu meriahnya suasana raya dulu-dulu. Mungkin faktor usia, atau mungkin kerana kurangnya kehidupan gajet dan kemudahan-kemudahan yang ada di zaman serba teknologi ini, suasana raya dulu jauh berbeza dengan raya sekarang. 

Mama Siti ingin mengambil kesempatan di ruangan ini untuk berkongsi detik-detik unik dan manis zaman raya waktu dahulu berbanding sekarang. Manalah tau, mungkin kita dapat menghidupkan semula tradisi berzaman agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Kenangan Raya Yang Sentiasa Dirindui & Dekat di Hati

Malam raya di rumah nenek yang sentiasa meriah dengan sanak-saudara

Kad Raya

Sememangnya raya ialah waktu untuk mengerat ukhwah dan saling bermaaf-maafan sesama kita, tak kira dekat ataupun jauh. 

Raya zaman dahulu, pasti ramai yang akan pergi membeli kad raya di kedai buku atau di pasar-pasar malam (ye, zaman dulu tiada bazar Ramadan)

Ada pelbagai corak, warna dan saiz kad raya, yang khusus untuk orang tertentu mahupun ucapan kad raya berbentuk umum. Bagi mereka yang berkemampuan, pasti tak teragak-agak hendak mencari kad raya yang boleh mengeluarkan muzik irama lagu raya yang mengasyikkan.  

Bagi sanak-saudara dan sahabat-handai yang berjauhan, kad raya dihantar melalui pos, memadai dengan setem 20sen untuk hantaran dalam negara. 

Seronok bila mendapat balasan kad raya. Kebiasaannya, kad raya akan digunakan untuk hiasan di ruang tamu bagi memeriahkan lagi hiasan raya di rumah. Mama Siti ingat lagi menulis kad raya untuk kawan-kawan sekelas, dan tak pernah ketinggalan untuk mengakhiri ucapan dengan pantun dua kerat:

Pecah kaca, pecah gelas,
Sudah baca, harap balas. 

Hari ini, budaya kad raya sudah terlalu asing bagi masyarakat kita. Hantaran e-kad melalui media sosial, emel dan hantaran mesej lebih memudahkan dan efisien bagi memastikan capaian yang lebih banyak dan menyeluruh. 

Namun, feel dapat kad raya fizikal dan e-kad memang tak sama. Mungkin sudah tiba masanya kita hidupkan semula tradisi ini. 

Baju Raya

Persiapan baju raya zaman dahulu pun berbeza dengan zaman sekarang. Jika dulu, rata-rata kaum adam hanya memakai baju melayu cekak musang atau teluk belanga, dipadankan dengan sampin dan songkok. Segak sungguh nampaknya. 

Raya sekarang, ada banyak fesyen dan gaya untuk kaum lelaki. Ada yang selesa dengan berjubah, kurta mahupun baju melayu yang hipster. 

Ha, yang lagi ketara bila bercerita tentang baju raya zaman dahulu dengan sekarang ialah warna pilihan. Jarang yang kita akan lihat satu keluarga sedondon berbaju raya dengan warna dan corak yang sama. Semuanya akan sibuk memilih warna pilihan masing-masing, hingga pening kepala ibu ayah mencari baju pilihan anak-anak yang pelbagai. 

Seronoknya bila tak sedondon ini, apabila pergi beraya di rumah saudara, bermacam-macam warna baju raya yang akan kelihatan. Sekaligus ia memberi warna di pagi raya.

Balik Raya

Suasana balik raya zaman dahulu juga jauh berbeza dengan alaf 2000 ini. Dahulu, bila mula sahaja puasa Ramadan, mulalah orang ramai pergi mengurumi Stesen Puduraya atau Stesen Putra untuk membeli tiket bas untuk pulang beraya. 

Mungkin hari ini, masih ada penduduk warga kota yang pulang beraya menaiki bas, tetapi suasananya pastinya berbeza berbanding pulang beraya di zaman dahulu. 

Alhamdulillah,dengan penambahbaikan mutu hidup rakyat Malaysia, ramai yang mampu memiliki kenderaan sendiri dan kemudahan lebuhraya pun lebih banyak dan baik berbanding dulu. 

Mama Siti ingat lagi perjalanan pulang beraya dengan keluarga dari Kuala Lumpur ke Jitra, Kedah pada tahun 1986 memakan masa hampir 10 jam. Ayah akan bertolak awal untuk mengelakkan kesesakan jalan terutamanya apabila masuk ke pekan-pekan kecil. Selalunya kami akan berbuka puasa di dalam perjalanan, makan apa yang sudah ibu siapkan bekalannya sebelum perjalanan. 

Hari ini, lebuhraya lebih sesak, terutamanya apabila tiba waktu perantauan kota pulang beraya di kampung. 

Malam Raya

Suasana malam raya juga berbeza waktu beraya zaman dahulu berbanding zaman sekarang. Malam raya di kampung memang hidup sehidup-hidupnya. Kaum ibu dan makcik-makcik sibuk memasak rendang ketupat, kaum bapa sibuk membakar lemang dan anak-anak kecil pula tak keruan berlari-lari kegembiraan dapat berkumpul bersama sepupu-sepupu yang lain sambil bermain bunga api. 

Malam raya malam untuk seisi keluarga bergotong-royong, menukar langsir dan sarung kusyen baru, menyapu dan mengemop lantai, mengisi balang kuih dan sebagainya. 

Dalam kesibukan bersiap itu, disulami juga dengan takbir malam raya ahli kariah masjid yang kebanyakkannya akan pergi rumah ke rumah untuk bertakbir raya. Syahdu betul bila mendengar takbir raya dilaungkan. 

Duit Raya

Apabila tiba di hujung-hujung Ramadan, pasti ramai orang-orang dewasa yang kalut beratur di bank untuk menukar duit raya. 

Mama Siti ingat lagi raya zaman dahulu, duit raya ini sudah menjadi satu kebahagian kepada semua anak-anak. Alhamdulillah, sekarang pun, kita masih berbagi duit raya. Jadi apa bezanya pemberian duit raya dulu dan sekarang?

Ha! Bezanya, duit raya dulu kebanyakkannya hanya duit syiling 20sen atau 50sen. Kalau ada rezeki, atau menziarahi tuan rumah yang berkemampuan lebih sedikit, bolehlah lah dapat sampul hijau bernilai RM1.  Mesti gembira bila dapat sampul hijau duit raya itu. 

Sampul duit raya dahulu pun, kebanyakkannya berwarna hijau dan tidak banyak corak seperti sampul duit raya sekarang. Sampul duit raya sekarang ada pelbagai warna dan corak. Kalau yang nak tambah unik lagi, siap ada sampul duit yang boleh cetak gambar keluarga sendiri. 

Kuih Raya

Kuih raya dulu pun berbeza juga dengan yang ada sekarang. Banyak kuih tradisi seperti kuih bahulu, kuih makmur, kuih bangkit, kuih sugi dan kuih kacang Mazola yang rata-rata diadun dan dibakar sendiri oleh ibu di rumah. Sedap betul dapat merasa air tangan ibu.

Tak ramai yang menjual kuih seperti zaman sekarang. Dan yang pastinya, pilihan kuih zaman sekarang lebih banyak berbanding dulu dan ia juga lebih mudah untuk didapati di mana-mana. 

Kenangan Raya Dahulu

Dalam kemeriahan menyambut raya, tak kira dahulu atau sekarang, ianya pasti akan meninggalkan pengalaman suka duka pahit manis untuk semua. 

Jika dulu kita pulang beraya meraikan hari mulia dengan atok nenek, ada di antara kita yang sudah kehilangan insan-insan tersayang dan merindui gelak tawa mereka di pagi raya. 

Kenangan manis bergurau-senda dan bermain-main dengan sepupu-sepapat mungkin sudah diganti dengan gelak-tawa anak-anak masing-masing. 

Waktu mendewasakan kita. Kenangan yang ada bukanlah untuk dilupakan atau dibuang jauh dari hati. Raikan kaum keluarga tercinta di hari berbahagia ini, supaya nanti kita dapat bercerita betapa seronoknya beraya di zaman kita muda dulu-dulu. 

Rindu bukan dengan kenangan raya ni? Di kesempatan ini juga, Mama Siti akhiri dengan ingatan tulus ikhlas, Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.