KelabMama

10 Kelebihan Surah Ar-Rahman: Baik Untuk Jodoh dan ‘Anxiety’

kelebihan surah Ar-Rahman

Surah ar-Rahman untuk apa? Dulu ketika Mama Siti di sekolah, surah ini kerap menjadi pilihan warga sekolah terutamanya pelajar. Namun, masih ramai yang belum tahu kelebihan surah Ar-Rahman ini.

Seiring berjalannya waktu, Mama Siti sedar yang surah ini ada kelebihan lebih besar dari sekadar nak cepat pandai. 

Oleh itu, terhasil lah artikel ini agar kita semua lebih bermotivasi membaca surah ini selepas mengetahui dan memahami pelbagai kelebihan surah Ar-Rahman kepada kita sebagai umat Islam.

10 Kelebihan Surah Ar-Rahman

Kredit gambar: Discover Islam

#1 Dapat Pertolongan di Akhirat

Setelah habis kiraan amalan baik, apalah lagi yang boleh kita harapkan selain syafaat dari Rasulullah SAW. 

Semakin kerap membaca surah ini, mudah-mudahan semakin besar kebarangkalian kita mendapat keistimewaan selepas mati nanti. 

#2 Kelebihan Surah Ar-Rahman disisi Allah SWT 

Kita ialah hamba Allah yang didefinisikan dengan cara yang istimewa. Kita tidak seperti istilah hamba yang diguna pakai manusia di bumi. 

Di mata Allah, walaupun kita seorang hamba, kita masih boleh meminta dan salah satunya agar Allah mencintai diri ini. 

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa membaca surat ar-Rahman, Allah akan menyayangi kelemahannya dan meredai nikmat yang dikurniakan kepadanya.”

#3 Peringatan Agar Bersyukur

Bila diberikan nikmat kita gembira tetapi bila diberikan kesusahan, ada yang berkata “Allah tak sayang aku lagi”

Bukan begitu Mama, walau apa pun keadaan yang sedang berlaku dalam hidup ketika ini, kita perlu melatih diri supaya fikirkan yang baik-baik sahaja. 

Kalau ini kifarah, maknanya dosa-dosa kita akan diampunkan. Kalau ini ujian, mungkin Allah nak kita kembali kepadaNya. Sesungguhnya, ilmu pengetahuan manusia itu sangat terbatas. 

#4 Mengingati Makhluk Allah

Membaca surah Ar-Rahman boleh jadi sebagai peringatan kepada kita tentang kewujudan makhluk lain seperti jin. 

Ia ialah peringatan agar kita sedar bahawasanya, manusia dan jin itu berkongsi alam. Cumanya kita berada di dimensi yang berbeza. 

#5 Kelebihan Surah Ar-Rahman yang Berkaitan Dengan Jodoh

Kredit gambar: MuslimMatters.org

Nak jodoh yang baik, nak cepat dapat jodoh, nak mudahkan urusan jodoh. Semuanya boleh dibantu dengan bacaan surah ar-Rahman. 

Mengambil makna dari 99 nama Allah itu sendiri, ar-Rahman bermaksud pemurah. Mudah-mudahan Allah kurniakan kita rezeki jodoh dengan kadar segera berserta ciri-ciri yang bersesuaian dengan diri ini. 

#6 Tenangkan Diri Daripada Rasa Cemas

Pantasnya kehidupan di dunia ini acapkali membuat seseorang rasa ketinggalan dalam beberapa hal. Kelebihan surah ini ialah dapat menghilangkan rasa cemas dalam diri. 

Dalam istilah sains, istilah anxiety atau kebimbangan sudah kerap kali kita dengarkan. 

Mama Siti nasihatkan agar berjumpa dengan doktor segera dan dalam masa yang sama, banyakkan membaca surah ar-Rahman.

#7 Eratkan Hubungan Keluarga

Kredit gambar: Prudential BSN Takaful

Saling tidak bertegur sapa boleh terjadi dalam keluarga. Ia boleh berlaku dalam keluarga kecil atau besar. 

Keadaan itu sangat bercanggah dengan saranan Nabi SAW;

“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan).” 

(Hadis Riwayat Muslim)

Insya-Allah hubungan kekeluargaan dapat dipulihkan semula dengan membaca surah ar-Rahman dan diniatkan kerana ingin tali persaudaraan ini kembali baik. 

#8 Ganjaran Mati Syahid

Salah satu kelebihan membaca surah Ar-Rahman adalah dikurniakan mati syahid dan kelebihan mati syahid pula ialah diberikan 100 syurga yang ada 100 darjat. Antara setiap darjat sejauh langit dan bumi.

Imam Ja’far Ash-shadiq (sa) pun ada berkata:

“…jika saat membacanya itu pada malam hari kemudian ia mati, maka matinya seperti matinya orang yang syahid; jika membacanya di siang hari kemudian mati, maka matinya seperti matinya orang yang syahid.”

(Tsawabul A’mal, hlm 117)

#9 Dapat Nikmat Kesihatan

Kredit gambar: Alodokter

Hari ini sesiapa yang masih sihat mentalnya, dikira sebagai seorang yang beruntung. Alangkah baiknya kalau ramai mengetahui untuk pulih dari sakit mental itu perlukan masa dan perjuangan. 

Sama ada Mama sedang sakit atau masih sihat, boleh amalkan surah ar-Rahman. Surah ini memberi nikmat kesihatan fizikal, mental dan rohani.

#10 Diberi Kebijaksanaan

Sedarkah kita, bahawa sesungguhnya mendapat kefahaman itu bergantung kepada izin tuhan. Ada kalanya, kita direzekikan akses mendapat ilmu tetapi itu belum tentu kita diberikan kefahaman ilmu tersebut. 

Banyakkan membaca surah ar-Rahman dengan harapan agar Allah izinkan kita faham ilmu yang dipelajari. 

Kredit gambar: Berita Utama

Mama Siti harap artikel ini membantu Mama lebih bermotivasi membaca surah ini. Serta diharap agar perkongsian ini meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT. 


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.