KelabMama

Tak Perlu Tunggu Malam Jumaat! Kelebihan Baca Surah Al-Kahfi Setiap Hari

Ada yang kata kena baca malam Jumaat. Ada pula yang kata nak baca bila-bila pun boleh. Yang mana satu ni? 

Mama Siti lebih suka melihat dari sisi anjuran membaca al-Quran. Maksudnya al-Kahfi boleh dibaca bila-bila masa dan masih tetap mendapat kelebihan yang sama seperti yang Mama Siti akan kongsikan nanti. 

Tetapi sebelum itu, ikuti dulu video berkaitan hadis membaca surah al-Kahfi dari Profesor Madya Dr Rozaimi Ramle.

Hadis Sahih Membaca Surah Al-Kahfi

“Kenapa Mama Siti kongsikan video ini? Ustaz tak ada cakap fasal al-Kahfi pun?”

Memang dalam video Mama fokuskan pada bahagian akhir sahaja. Tujuannya, Mama Siti harap Mama sama-sama dapat belajar cara hadis itu dilabel sahih atau sebaliknya. 

Hidup kita tak boleh selamanya bergantung pada orang lain untuk tentukan sah atau tidak. Diri sendiri kena belajar dan ambil tahu berkaitan agama sendiri!

Nota: Profesor Madya Dr Rozaimi Ramle ialah pakar hadis yang mendapat kelulusan dari University Of Jordan.

5 Kelebihan Surah Al-Kahfi Di Dunia

#1 Mendapat Ketenangan Jiwa

Kredit gambar: Carolina (OFC)

Mama perasan tak, sekarang ni boleh kata semua benda nak laju. Nak barang cepat sampai, nak makanan cepat masak, nak itu, nak ini. 

Purata tempoh perhatian (attention span) kita pun semakin hari semakin singkat; 8.25 saat sahaja. Akibatnya jiwa jadi meronta-ronta. Kadang-kadang, diri sendiri pun tak pasti apa sebabnya. 

Selain mengamalkan doa penenang hati, surah al-Kahfi pun boleh beri ketenangan hati dan jiwa kepada yang membacanya. 

#2 Dilindungi Dari Fitnah Akhir Zaman

Kredit gambar: Tribun

Ayat-ayat yang terdapat dalam surah al-Kahfi mengandungi cerita tentang kekuasaan dan kebesaran Allah. 

Dengan izin Allah, kalau Mama amalkan 10 ayat pertama dan terakhir surah ini akan terjaga dari ujian dan tipu daya Dajjal. 

Abu Darda’ iaitu sahabat nabi Muhammad SAW, mengatakan Baginda telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memelihara (iaitu memelihara bacaan dengan sentiasa membaca) 10 ayat pertama surah al-Kahfi, dia akan dilindungi daripada fitnah Dajjal.” 

(HR Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i dan At-Tirmizi)

Dari Abu Darda’, Nabi Muhammad SAW, bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 ayat terakhir surah al-Kahfi, dia akan dipelihara daripada fitnah Dajjal.” 

(HR Muslim dan An-Nasa’i. At-Tirmizi. Ibnu Kathir)

#3 Dirahmati Allah

Kredit gambar: Patheos

Ada satu kisah yang selalu menjadi andalan kepada kelebihan surah al-Kahfi iaitu;

Daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA katanya,

“Ada seorang lelaki membaca surah al-Kahfi dan disisinya seekor kuda yang diikat dengan dua utas tali, kemudian dia nampak awan menaunginya, dan awan itu juga menaungi kudanya, tetapi kudanya lari daripada lindungan awan itu. Keesokannya lelaki itu pergi berjumpa dengan Nabi SAW lalu menceritakan apa yang telah berlaku kepadanya”,

Baginda pun bersabda,

“Perkara yang berlaku kepada engkau itu adalah al-Sakinah (ketenangan dan rahmat yang disertai dengan para malaikat) yang turun untuk mendengar bacaan ayat-ayat al-Qur’an”.

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

#4 Dikurniakan Kesihatan

Kredit gambar: Freepik

Diambil dari naskah buku Kumpulan 7 Surah, oleh Zaki Shaari. Beliau menuliskan sebuah hadis dari Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam atau siang jumaat, maka diampunkan dosanya hingga Jumaat akan datang dan 70 ribu malaikat memohon rahmat kepada Allah hingga waktu Subuh dan dijauhkan Allah dari terkena wabak penyakit demam panas atau taun; penyakit sopak dan dijauhkan dari fitnah Dajjal.”

Insya Allah, tuhan akan melindungi Mama dari penyakit berbahaya seperti Covid-19, influenza dan selsema yang boleh membawa maut. 

#5 Diampunkan Dosa Hingga Jumaat Seterusnya

Kredit gambar: iStock

Seminggu tu!

Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, Dari Ibnu Umar Rasulullah SAW bersabda; 

“Siapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan terpancar cahaya dari bawah kakinya sampai ke langit, akan meneranginya kelak pada hari kiamat dan diampunkan dosanya antara dua Jumaat.” 

(Sunan Ad-Darimi)

Dengar Orang Baca Masih Boleh Dapat Kelebihan Yang Sama Tak? 

Bagi menjawab persoalan ini, Mama Siti perlukan rujukan yang lebih dipercayai. Untuk kali ini, Mama Siti dapatkan di laman sesawang Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan supaya keterangannya lebih diyakini. 

‘Fadhilat membaca sesuatu ayat atau surah dalam al-Quran tidak didapati dengan hanya mendengarnya sahaja’

Kesimpulan itu ialah berdasarkan tiga dalil hadis sahih dan salah satunya; 

Daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Lalu didapati di dalamnya ada seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ

Maksudnya: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Orang yang membaca dan mendengar bacaan al-Quran diberikan kelebihan yang berbeza contohnya pahala. Oleh itu, kalau Mama bukan dalam haid atau keadaan yang dilarang membaca al-Quran, lebih baik ikut sekali membaca surah al-Kahfi. 

Di akhir penjelasan itu juga, ada saranan agar kita ikut sekali menyebut ayat-ayat yang dibaca walaupun tak hafal dan tak tengok naskah al-Quran. 

Kredit gambar: elSholat

Sebenarnya, al-Kahfi tak perlu pun nak tunggu malam Jumaat baru dapat kelebihan yang disebutkan. Nak baca tiap-tiap hari pun, dengan izin Allah masih dapat fadilat yang sama. 

Semoga keterangan mengenai kelebihan surah al-Kahfi ini menjadi motivasi kepada kita semua agar lebih istiqamah membaca al-Quran. 


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.