KelabMama

15 Kelebihan Solat Dhuha dan Amalan Lain Untuk Rezeki, Jiwa Tenang dan Wajah Berseri

Kita selalu dengar yang solat dhuha ni adalah untuk menjemput rezeki. Namun sebenarnya, ada 15 kelebihan solat dhuha bagi mereka yang melazimi solat sunat ini. 

Berikut, Mama Siti kongsikan 15 kelebihan solat dhuha serta amalan-amalan yang boleh dilakukan untuk menjemput rezeki yang baik, ketenangan jiwa dan keserian wajah.  

15 Kelebihan Solat Dhuha

#1 Allah Suka!

Kredit gambar: Adobe

Kelebihan buat orang yang rajin buat solat dhuha ialah mereka disayang Tuhan. 

Apa lagi yang kita harapkan di dunia ini selain perhatian Allah kan? Untung betul mereka yang konsisten solat dhuha. 

“Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan oleh pelakunya walaupun ia sedikit.”

(Hadis riwayat Muslim)

#2 Sebagai Sedekah

Mama Siti ingat lagi dalam subjek pendidikan Islam sekolah menengah ada satu hadis iaitu;

“Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (Subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. 

Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat dhuha.”

(Hadis riwayat Muslim)

Solat dhuha ialah salah satu dari cabang yang kita semua boleh lakukan selain meringankan beban orang lain melalui kudrat dan wang ringgit. 

#3 Dikurniakan Kesihatan Yang Baik

Kelebihan solat dhuha yang seterusnya ialah dia akan diberikan kesihatan yang baik agar dapat terus menjalani hidup dengan lancar. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda mu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” 

(Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

#4 Pahala Berganda

“Apa lagi kelebihan solat dhuha?”

Orang yang solat dhuha dapat pahala berlipat kali ganda walaupun dengan melakukan dua rakaat solat sahaja. 

Dalam dunia yang bergerak pantas, kadang-kadang kita rasa tertekan sebab tak sempat nak buat banyak ibadah lain. 

Jadi, Mama Siti rasa solat dhuha ialah strategi kita dapatkan banyak pahala dengan ibadah yang mudah.  

#5 Dosa Diampunkan

Kredit gambar: iStock

Kita kena minta maaf banyak-banyak dekat Allah SWT terhadap dosa yang kecil dan yang besar. 

Ke mana arah kita di akhirat nanti berpandukan berat timbangan kebaikan dan keburukan. Jadi, selagi ada masa, ayuh kita buat solat dhuha. 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang menjaga sembahyang dhuhanya, nescaya diampuni Allah baginya segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

#6 Rumah Di Syurga

Tempat kembali terbaik semestinya di syurga. Solat dhuha mempunyai kelebihan iaitu akan dibina sebuah rumah di syurga jika dia mendirikan solat dhuha empat rakaat.  

#7 Kecukupan Setiap Hari

Kredit gambar: WSJ

Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata;

“Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepadaKu dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”

(Hadis Riwayat Abu Dawud)

#8 Keuntungan Besar

Kita berharap tetapi hanya Allah yang menentukan. Mama Siti pun begitu juga. 

Maka beruntunglah orang-orang yang dikurniakan keuntungan yang besar melalui ibadahnya dalam solat sunat dhuha. Insya Allah. 

#9 Pahala Seperti Menunaikan Umrah

Kredit gambar: ISMAweb

Solat dhuha juga mempunyai kelebihan seperti kita menunaikan umrah. Sungguh, Allah itu maha baik dengan mengurniakan kita pahala bak ibadah umrah di Mekah.  

#10 Menenangkan Hati

Semakin kita dewasa, kita mulai sedar bahawa rasa tenang itu diperlukan dalam menjalani kehidupan sehari-hari. 

Jadi, antara cara mendapatkan rasa nyaman atau tenang itu adalah dengan melakukan solat dhuha. 

#11 Masuk Syurga Dari Pintu Istimewa

Istimewanya solat dhuha sehinggakan wujudnya syurga khusus buat mereka yang melazimi amalan sunat tersebut. 

Ianya disahkan melalui sebuah hadis:

“Sesungguhnya dalam syurga, terdapat sebuah pintu bernama pintu dhuha. Apabila kiamat telah tiba, maka akan ada suara yang berseru:”

“Dimanakah orang-orang yang semasa hidup di dunia selalu mengerjakan solat dhuha? Ini adalah pintu buat kalian, masuklah dengan rahmat Allah SWT.”

(Hadis Riwayat at-Tabrani)

#12 Dimudahkan Urusan 

Kredit gambar: donna.com.my

Satu lagi kelebihan solat sunat dhuha ialah setiap urusan yang dilakukan akan dibantu Allah. Dalam makna kata lain, proses kehidupannya menjadi lancar dan dimudahkan. 

Nu’aim bin Hammar Al-Ghathafani, beliau mendengar Rasulullah SAW  bersabda,

“Allah Ta’ala berfirman: Wahai anak Adam, janganlah engkau tinggalkan empat raka’at solat di awal siang (di waktu dhuha). Maka itu akan mencukupimu di akhir siang.”

(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi)

#13 Minda dan Aura Positif

Kelebihan solat dhuha yang seterusnya ialah ia mampu menarik minda dan aura positif seseorang. 

Dikatakan jika kita menjadikan solat sunat dhuha sebagai rutin, kita akan bersikap lebih tenang, yakin dan disenangi orang-orang sekeliling. 

#14 Dikabulkan Doanya

Kredit gambar: 5Pillars

Allah janji Dia akan tunaikan permintaan dalam doa-doa hambaNya. Seperti yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah, ayat 186;

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لِى وَلْيُؤْمِنُوا۟ بِى لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ( ١٨٦)

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

Lebih banyak kita berusaha dekatkan diri dengan Allah SWT, mudah-mudahan Dia mustajabkan doa-doa kita yang baik. 

#15 Ibadah Mudah, Ganjaran Besar

Solat dhuha lebih mudah didirikan jika dibandingkan dengan solat sunat di waktu malam seperti solat tahajud.

Ini kerana waktu siang ialah waktu manusia berjaga dan malam ialah waktu untuk tidur. 

Walaupun begitu, solat dhuha ialah antara ibadah yang mudah tetapi mempunyai ganjaran yang besar. 

Amalan Waktu Pagi, Baik Untuk Rezeki, Jiwa Tenang & Wajah Berseri

Kredit gambar: selsun.com.my

Amalan aling utama dan mungkin juga paling susah antara yang lain ialah bangun seawal waktu subuh. 

Selepas itu, jangan berlengah dan terus pergi mandi. Secara saintifiknya, mandi di waktu pagi dapat memberikan kesegaran serta menyumbang kepada kesihatan disebabkan oleh kandungan gas ozon yang wujud pada waktu itu. 

Selesai solat subuh, ambil masa untuk berzikir dan berdoa kepada Allah. Dalam Islam, amalan ini disebut ibadah tetapi dalam konteks yang lebih luas ianya turut dikenali dengan istilah meditasi

Selanjutnya, Mama Siti yakin rata-rata akan duduk di hadapan cermin dan mula bersiap untuk pergi bekerja. 

Jadi, amalan di waktu pagi yang seterusnya ialah mengucap syukur dan memuji tuhan atas kesempurnaan wajah yang diberikan.  

Dalam perjalanan ke tempat kerja, senyumlah kepada pengawal keselamatan, jiran atau penjual nasi lemak agar aura positif terpancar dari diri kita. 

Selesai solat dhuha, elakkan kembali ke bilik tidur tetapi lakukan aktiviti aktif seperti bersenam, bercucuk tanam atau mengemas halaman rumah. 

Mama Siti sarankan agar Mama mengutamakan aktiviti yang terdedah dengan cahaya matahari waktu pagi untuk mendapat khasiat vitamin D. 

Jangan lupa untuk sediakan waktu membaca al-Quran walaupun satu muka surat setiap hari. Ingat! Kita bukan baca al-Quran bila sempat, tapi kitalah yang cipta waktu untuk membacanya. 

Baik kan Allah, selama ini kita ingat solat dhuha cuma untuk rezeki sahaja. Rupanya kelebihannya lebih dari itu. 

Lebih bagus lagi kalau kita dapat amalkan beberapa amalan lain waktu pagi untuk dapatkan rezeki yang baik, ketenangan dan wajah berseri. 

Mudah-mudahan kita terus istiqamah buat solat dhuha sekurang-kurangnya dua rakaat. 


Dapatkan lebih banyak tips, cerita dan panduan keagamaan di SINI.