KelabMama

Kelebihan Bersedekah: Pelaburan Mustahil Tak Untung

Kelebihan bersedekah sering diceritakan dan sangat menakjubkan! Bagaimana satu amalan yang diberikan kepada manusia dan bukannya amalan penyerahan diri seperti solat, puasa, dan berzikir mempunyai pahala yang sangat besar?

Sedekah bukanlah satu perkara yang susah dan tidak memerlukan usaha atau nilai wang ringgit yang banyak. Ia hanya perlu kepada keikhlasan dan ketulusan ingin membantu hamba ALLAH yang lain untuk meringankan beban mereka walaupun sedikit.

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Yang bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 271)

10 Kelebihan Bersedekah

1. Menghapuskan Dosa 

Kelebihan bersedekah adalah ia boleh menghapuskan dosa dan kesalahan anda yang lepas. Tetapi anda perlulah bertaubat agar tidak melakukan perkara itu lagi.

Perkara ini boleh dilihat di mana Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sedekah itu dapat menghapus dosa sebagaimana air itu memadamkan api”

2. Mendapat Pahala

bersedekah dengan ikhlas juga akan memberi anda ganjaran pahala. Setiap amalan baik akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Ini boleh dilihat di dalam Al-Quran di mana Allah berfirman:

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali dari bisikan-bisikan orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat kebaikan atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kami akan memberinya pahala yang besar.”

(Surah an-Nisa:114)

3. Rezeki Akan Bertambah

Kelebihan bersedekah seterusnya ialah, rezeki anda juga akan bertambah dengan banyak jika anda bersedekah. Amalan ini akan membuka pintu rezeki ajik kerana anda berkongsi rezeki dengan orang yang memerlukan.

Ini boleh dilihat di mana Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah, kecuali bertambah, bertambah dan bertambah.”

Dalam Al-quran pula ALLAH SWT menjanjikan balasan 700 kali ganda seperti dalam firmanNYA:

“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

(Surah al-Baqarah: 261)

4. Mendekatkan Diri Kepada Allah SWT

Apabila kita berkongsi rezeki yang kita memperolehi dan menggunakan kelebihan yang direzeikikan kepada kita untuk membantu orang lain, ianya pasti boleh mendekatkan diri kita dengan Allah kerana Allah menyayangi mereka yang suka menolong antara satu sama lain.

Maka rahmat dan kasih sayang ALLAH akan bertambah dan dimudahkan lagi jalan untuk membuat kebaikan dan bersedekah.

5. Dapat Memadamkan Kepanasan Alam Kubur

Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan kematian. Kelebihan bersedekah sterusnya ialah, dapat memadamkan kepanasan alam kubur melalui amalan mulia ini.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya sedekah itu benar-benar akan dapat memadamkan panasnya alam kubur bagi penghuninya, dan orang mukmin akan bernaung dibawah bayang-bayang sedekahnya.”

6. Mendapat Naungan Pada Hari Akhirat

Seseorang yang ikhlas memberi sedekah akan diberi ganjaran di hari akhirat di mana Allah akan memberi naungan kepada. Ini boleh dilihat di dalam sebuah hadis yang menceritakan beberapa golongan yang mendapat naungan di padang Mahsyar antaranya ialah:

“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, maka ia menyembunyikan amalnya itu sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.”

7. Umur Dipanjangkan

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya sedekahnya orang muslim itu dapat menambah umurnya, dapat mencegah kematian yang buruk, Allah akan menghilangkan darinya sifat sombong, kefakiran dan sifat bangga pada diri sendiri.”

8. Menjauhkan Diri Dari Sifat Kedekut

amalan ini mengajar anda untuk selalu berkongsi rezeki anda.

Bersedekah bukan sahaja dilakukan dengan duit sahaja, daging korban juga boleh disedekahkan kepada golongan fakir miskin.

Ibadah korban mengajar kita untuk selalu berterima kasih dan bersyukur tentang kehidupan kita.

Dengan bersedekah, kita belajar untuk tidak kedekut dan selalu menolong mereka yang memerlukan bantuan.

9. Memberi Ketenangan Kepada Hati Anda

Melalui bersedekah, kita juga akan berasa tenang dan bahagia kerana kita dapat membantu mereka yang memerlukan.

Ini juga boleh memberi kebahagiaan kepada kita dan boleh mencuci hati kita. Kita tahu bahawa jika kita bersedekah, duit itu akan digunakan untuk tujuan yang bagus dan bermanfaat.

10. Lindungi Kita Dari Bahaya

Rasulullah SAW bersabda:

“Bersegeralah untuk bersedekah. Kerana musibah dan bencana tidak bisa mendahului sedekah.”

Amalan ini boleh menjadi penolak bala untuk kita dan boleh membantu kita hidup dalam keadaan yang selesa dan tenang.

6 Amalan Sedekah Yang Mudah

1. Beri Makan Kepada Haiwan

Contoh paling mudah ialah kucing. Selalu di kedai-kedai makan, mesti ada kucing-kucing yang minta makanan. Tidak perlu banyak, sisa2 makanan kita pun dah boleh kenyangkan mereka.

Bukan sahaja mendapat pahala bersedekah, haiwan juga mampu mendoakan kepada kita, dan ALLAH SWT menyayangi hamba yang berbuat baik kepada hamba ALLAH yang lain.

2. Buat Simpanan Untuk Bersedekah

Buatkan simpanan dalam tabung untuk bersedekah setiap hari walaupun sedikit. Hal ini kerana amalan yang kita sentiasa buat dan konsisten sehingga hujung usia. Hal ini kerana amalan yang paling dikasihi ALLAH ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.

عن عائشة قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
Daripada Aisyah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.”

(HR. Bukhari no: 6465)

3. “Keep The Change

Ini adalah salah satu amalan yang mudah dilakukan iaitu enggan menerima baki sebagai sedekah kepada peniaga, atau boleh juga sebagai tips kepada pekerja restoran. Perkara ini juga boleh dijadikan kebiasaan dan amalan yang berterusan.

4. Air

Saad bin Ubadah RA bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, sedekah apa yang paling utama?” Beliau menjawab, “Memberi air.”

(Shahih Abu Daud)

Air merupakan salah satu keperluan manusia yang paling penting. Seseorang boleh tahan untuk hidup tanpa makanan selama 2 atau 3 bulan, tapi tanpa air badan manusia normal hanya mampu tahan selama 1 minggu. – Sumber: healthline

5. Sedekah Kepada Ahli Keluarga

“Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.”

(Riwayat Abu Daud)

“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”

(Al-Isra’:26 )

Ayat ini mendahulukan kerabat kemudian diikuti dengan orang miskin dan asnaf yang lain. Hadis di atas juga adalah suruhan supaya kita berbuat baik kepada Ahli keluarga.

Sedekah kepada ahli keluarga bukan sahaja merupakan amalan sedekah terbaik, namun ianya juga dapat mengeratkan hubungan antara keluarga, meringankan beban yang ditanggung, dan sebagainya.

6. Halalkan/Tangguhkan Hutang

Perkara ini agak sukar dilakukan kerana ianya amat berat, tetapi amat besar pahalanya seperti yang dijanjikan ALLAH SWT dalam firmanNYA:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

(Surah al-Baqarah: 280)


Untuk lebih banyak panduan amalan & doa klik SINI.