Ketika musim Piala Dunia FIFA 2026 sedang berlangsung di pentas bola sepak global, ramai atlet dan pemain rekreasi kini kembali ke padang dan berhadapan risiko untuk mendapat tekanan berulang akibat larian, pergerakan berhenti secara mengejut dan tendangan yang kuat.
Walaupun bola sepak terus menjadi antara sukan yang paling banyak dimainkan dan diikuti di Malaysia, tuntutan fizikal permainan ini boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kecederaan, terutamanya bagi mereka yang kembali menjalani aktiviti berintensiti tinggi seperti ini tanpa persediaan fizikal yang konsisten.
Apabila bercakap mengenai kecederaan berkaitan bola sepak, masalah lutut dan buku lali sering menjadi perkara pertama yang terlintas di fikiran kerana ia boleh menjejaskan pergerakan atlet di padang secara serta-merta.
Namun begitu, hamstring juga merupakan salah satu bahagian tubuh yang paling terdedah kepada kecederaan dalam sukan ini kerana ia memainkan peranan penting dalam menyokong kelajuan, kawalan dan kestabilan tubuh sepanjang permainan.
Media baru baru ini turut menceritakan tentang kecederaan hamstring yang dialami pemain bola sepak kebangsaan, Arif Aiman, serta pembedahan yang dijalaninya. Ini menunjukkan bahawa atlet yang terlatih juga tidak terkecuali daripada mengalami kecederaan ini.
Pakar Perunding dan Pakar Bedah Ortopedik,
Trauma dan Sukan
Hal ini juga boleh dilihat melalui kes-kes yang dirawat oleh Dr Aminudin Mohamed Shamsudin, Pakar Perunding dan Pakar Bedah Ortopedik, Trauma dan Sukan di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), yang menyatakan bahawa kecederaan hamstring dianggarkan boleh menjejaskan antara 10% hingga 30% atlet sukan, dan menyumbang kepada hampir 35%daripada semua kecederaan otot dalam kalangan atlet profesional.
Memahami Kecederaan Hamstring Melangkaui Kecederaan “Terseliuh Otot” Biasa
Untuk memahami mengapa hamstring mudah untuk tercedera, adalah penting untuk terlebih dahulu melihat bagaimana otot ini berfungsi semasa bersukan. Hamstring terdiri daripada tiga kumpulan otot yang terletak di bahagian belakang paha, bermula dari pinggul hingga ke bawah lutut.
Ia membantu untuk membengkokkan lutut, meluruskan pinggul serta mengawal pergerakan kaki, terutamanya semasa aktiviti yang memerlukan tenaga yang tinggi.
Dr Aminudin menggambarkan hamstring seperti sistem brek dan pemecut utama badan semasa bersukan kerana ia membantu menyerap daya, mengawal pergerakan dan menghasilkan kuasa. “Apabila otot-otot ini dikenakan tekanan yang melampau, serat otot boleh meregang melebihi hadnya, menyebabkan ia mengalami regangan, koyakan separa atau, dalam kes yang lebih serius, terpisah sepenuhnya daripada tulang,” jelas beliau.
Menurut Dr Aminudin, kecederaan hamstring secara amnya boleh dikategorikan sebagai ringan, sederhana atau teruk. Kecederaan ringan mungkin melibatkan kerosakan pada sebahagian serat otot, dengan kesakitan dan ketidakupayaan yang bersifat sementara, dan biasanya memerlukan pemulihan sekitar empat hingga enam minggu sebelum atlet boleh kembali bersukan.
Kecederaan sederhana pula mungkin melibatkan koyakan otot yang lebih besar, dengan lebam yang lebih ketara dan kadangkala turut mempunyai ketulan sensitif yang boleh dirasai, sekaligus memanjangkan tempoh pemulihan kepada sekitar tiga hingga empat bulan.
Kecederaan hamstring yang teruk pula boleh menyebabkan kesakitan yang ketara, kehilangan fungsi yang jelas serta memerlukan tempoh rehat yang lebih lama daripada aktiviti sukan. Dalam sesetengah kes, tendon hamstring boleh tertarik dan terpisah daripada tulang, dan ini dikenali sebagai kecederaan avulsi serta memerlukan pembedahan untuk membaikinya.
Perbezaan tahap keterukan ini menjelaskan mengapa kecederaan hamstring tidak seharusnya dianggap sebagai satu jenis kecederaan yang sama, walaupun ia bermula dengan simptom seperti kesakitan atau ketegangan yang serupa.
Sesetengah kes mungkin pulih dengan rehat dan rehabilitasi, manakala kes lain boleh melibatkan koyakan yang lebih dalam, penarikan tendon atau kecederaan avulsi yang memerlukan ujian pengimejan, serta penilaian doktor pakar dan pelan pemulihan yang lebih spesifik.
Atlet Muda Juga Boleh Berisiko Menapat Kecederaan Hamstring
Walaupun kecederaan hamstring sering dibincangkan dalam konteks atlet dewasa, kanak-kanak dan remaja yang sedang menjalani latihan sebagai atlet, pemain bola sepak, futsal atau sukan padang lain juga boleh terjejas, dan kecederaan yang mereka alami mungkin berbeza daripada regangan otot biasa yang dialami orang dewasa.
Pakar Perunding dan Pakar Bedah Ortopedik, Trauma
dan Ortopedik Kanak-Kanak
Menurut Dr Maria Shelynn Wong, Pakar Perunding dan Pakar Bedah Ortopedik, Trauma dan Ortopedik Kanak-Kanak di SMCV, atlet muda mungkin mengalami kecederaan berkaitan hamstring secara berbeza kerana tulang mereka masih dalam proses pertumbuhan.
Hal ini amat penting bagi mereka yang berumur antara 13 hingga 15 tahun, apabila tulang duduk (sit bone) di bahagian bawah pelvis, tempat tendon hamstring melekat, masih dalam proses mengeras untuk menjadi tulang yang matang.
Pada peringkat ini, plat pertumbuhan mungkin lebih lemah berbanding tendon dan ligamen di sekelilingnya, menjadikannya lebih terdedah kepada kecederaan semasa pergerakan yang mengejut dan berdaya tinggi.
Dalam sesetengah keadaan, tarikan kuat secara tiba-tiba daripada hamstring boleh mencederakan plat pertumbuhan dan bukannya mengoyakkan otot itu sendiri. Ini boleh menyebabkan sebahagian kecil tulang tertarik dan terpisah daripada pelvis, yang dikenali sebagai fraktur avulsi apofisis dalam istilah perubatan.
Walaupun kecederaan jenis ini jarang berlaku dan hanya mewakili sekitar 1.4% hingga 4% daripada semua kecederaan hamstring, Dr Maria menegaskan bahawa ia penting untuk dikenal pasti kerana memerlukan penilaian dan pendekatan rawatan yang berbeza.
Kecederaan ini lazimnya berlaku antara tempoh akil baligh hingga lewat remaja, sebelum plat pertumbuhan bercantum sepenuhnya, dan lebih berkemungkinan berlaku dalam kalangan atlet remaja yang terlibat dalam sukan yang memerlukan pergerakan serta penggunaan hamstring yang tinggi.
Oleh kerana kecederaan ini mungkin tidak kelihatan serius pada peringkat awal, atlet muda mungkin akan terus bermain walaupun mengalami kesakitan, manakala ibu bapa dan jurulatih mungkin menganggap ia sebahagian daripada rutin biasa ketika bersukan. Namun begitu, simptom yang berlarutan atau menjejaskan pergerakan tidak seharusnya diabaikan.
“Tanda amaran yang orang ramai perlu tahu termasuklah sensasi bunyi ‘pop’ atau koyakan secara tiba-tiba di bahagian punggung atau belakang paha, kesakitan dan bengkak setempat pada sit bone, kesukaran berjalan atau meluruskan lutut, serta rasa kebas dan kesemutan yang menjalar ke kaki,” kata Dr Maria.
Memandangkan tanda-tanda ini boleh menunjukkan kecederaan yang lebih serius, ujian pengimejan menjadi penting untuk mengesahkan sama ada terdapat patah tulang ataupun tidak. Ujian sinar X boleh membantu mengenal pasti kecederaan tulang pada plat pertumbuhan, manakala ujian CT atau MRI mungkin diperlukan untuk penilaian lanjut.
Berdasarkan penemuan tersebut, doktor pakar boleh menentukan pelan pemulihan yang paling sesuai berdasarkan tahap peralihan tulang, umur pesakit serta tahap aktiviti mereka.
Dalam kebanyakan kes, kecederaan ini boleh dirawat secara konservatif melalui rehat dan fisioterapi, manakala pembedahan biasanya hanya diperlukan bagi kes patah tulang yang ketara atau atlet berprestasi tinggi.
Apabila Rehat Sahaja Tidak Mencukupi
Pembedahan mula dipertimbangkan apabila kecederaan hamstring melibatkan kerosakan struktur yang mungkin tidak sembuh dengan baik secara semula jadi. Ini termasuk koyakan lengkap di mana otot atau tendon telah tertarik keluar daripada kedudukan asalnya, atau kecederaan avulsi di mana tendon telah terpisah daripada tulang.
Dalam situasi ini, kebimbangan bukan hanya tertumpu kepada pengurangan kesakitan, tetapi juga sama ada struktur yang cedera boleh mendapatkan semula panjang, kekuatan dan kestabilan yang mencukupi untuk pergerakan yang selamat.
Bagi kes kecederaan hamstring yang serius, pembedahan bertujuan memulihkan panjang otot dan kecekapan biomekanik, kata Dr Aminudin. Untuk kecederaan avulsi pula, pembedahan mungkin diperlukan bagi menyambungkan semula tendon atau tulang yang terjejas.
Walaupun laluan rawatan mungkin berbeza antara atlet profesional dan pemain rekreasi bergantung pada tahap aktiviti yang ingin mereka kembali lakukan, matlamat utamanya tetap sama iaitu menyokong proses penyembuhan, memulihkan fungsi dan mengurangkan risiko kecederaan untuk berulang.
Dr Aminudin turut menambah bahawa walaupun pembedahan diperlukan, ia hanyalah sebahagian daripada keseluruhan proses pemulihan.
“Pembedahan membaiki struktur mekanikal, tetapi ia tidak secara automatik memulihkan fungsi hamstring,” katanya. “Pemulihan masih memerlukan pengurusan kesakitan dan bengkak, diikuti dengan latihan pengukuhan serta pengkondisian hamstring secara berperingkat supaya tisu tersebut mampu menahan tekanan berkaitan permainan pada masa hadapan dengan selamat.”
Kembali Bersukan Dengan Selamat, Bukan Hanya Dengan Cepat
Setelah pendekatan rawatan yang sesuai dikenal pasti, proses pemulihan perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada pengurangan kesakitan, tetapi juga kepada pemulihan kekuatan, fleksibiliti dan kawalan yang diperlukan untuk kembali bersukan.
Pelan rehabilitasi yang baik biasanya merangkumi pemulihan julat pergerakan, pengukuhan semula hamstring dan otot gluteal, penambahbaikan kawalan teras badan dan pelvis, serta pengenalan semula pergerakan khusus sukan secara berperingkat berdasarkan tahap kecederaan dan kemajuan pesakit.
Pendekatan beransur-ansur ini penting kerana apabila pesakit sudah tidak merasakan kesakitan, ia tidak semestinya bermaksud otot sudah bersedia untuk kembali bermain bola sepak, futsal atau berlari. Menurut Dr Aminudin, kesakitan boleh hilang sebelum hamstring benar-benar memperoleh semula kekuatan, fleksibiliti dan kuasa penuh, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan berulang sekiranya atlet atau pemain rekreasi kembali bermain terlalu awal.
Perkara ini amat relevan bagi pemain rekreasi yang mungkin tidak menjalani latihan secara konsisten tetapi kembali menyertai perlawanan berintensiti tinggi sebelum hamstring mereka benar-benar bersedia untuk menahan pergerakan eksplosif secara tiba-tiba.
Langkah berjaga-jaga yang sama turut terpakai kepada atlet muda yang kembali menyertai sukan sekolah atau latihan akademi, kerana mendapat kebenaran daripada ibu bapa atau jurulatih tidak semestinya bermaksud mereka sudah bersedia dari sudut perubatan untuk kembali bersukan.
Dr Maria menjelaskan bahawa bagi kecederaan hamstring dan plat pertumbuhan dalam kalangan pesakit pediatrik, tempoh pemulihan boleh mengambil masa sekitar tiga hingga enam bulan, bergantung kepada tahap kecederaan, jenis rawatan serta kemajuan fisioterapi.
Sama ada pesakit merupakan atlet profesional, pemain rekreasi atau pemain bola speak di usia masih bersekolah, keputusan untuk kembali bersukan perlu disekalikan dengan program pengkondisian secara berperingkat dan nasihat perubatan, bukannya melalui tekanan untuk kembali bermain dengan segera.
Akhirnya, kecederaan hamstring tidak seharusnya dipandang ringan apabila simptom yang dialami adalah teruk, berpanjangan atau berulang. Apa yang bermula sebagai tarikan otot semasa bermain mungkin sebenarnya melibatkan koyakan yang lebih serius atau, dalam kalangan atlet muda, kecederaan plat pertumbuhan yang memerlukan penilaian dan rawatan
yang berbeza.
Diagnosis awal, ujian pengimejan apabila diperlukan, penilaian pakar ortopedik serta rehabilitasi yang tersusun dapat membantu pesakit pulih dengan lebih selamat dan mengurangkan risiko kecederaan berulang, sekali gus membolehkan atlet di semua peringkat kembali bersukan dengan keyakinan dan kesiapsiagaan yang lebih baik.
Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk pertanyaan, sila hubungi +603 9772 9191 atau e-mel smcv-enquiry@sunway.com.my. Untuk maklumat lanjut atau untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sunway Medical Centre Velocity, layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!
