KelabMama

KANAK-KANAK 5 TAHUN TIDAK PERNAH KENYANG

Molly tidak pernah kenyang dan sering bertanya bilakah waktu makan seterusnya biarpun baru selesai makan. JAM menunjukkan angka 2 pagi. Molly Bywater turun daripada katilnya lalu berjalan laju ke katil ibunya, Jo Bywater, 29, yang sedang lena diulit mimpi. Dia menepuk bahu ibunya perlahan, cuba untuk mengejutkan wanita itu daripada lena, lalu bertanya, “Adakah waktu sarapan pagi sudah tiba?”

            Begitulah rutin harian Molly yang menyebabkan ibunya cukup risau. Molly hanya berusia lima tahun, namun kanak-kanak itu makan dengan banyaknya setiap hari. Dia menghidap satu keadaan pelik dinamakan sindrom Prader-Willi iaitu satu keadaan dia tidak pernah berasa kenyang walaupun telah makan dengan amat banyak dan boleh makan sehingga perutnya berkemungkinan pecah. Lebih buruk lagi, penyakit genetik itu juga menyebabkan Molly sukar untuk belajar dan mengalami masalah pembesaran sehinggalah dia meningkat dewasa kelak.

 

Penyakit Genetik

            Molly disahkan menghidap sindrom Prader-Willi pada Mac 2011 semasa baru berusia tiga minggu.Penyakit tersebut membuatkan nafsu makan seseorang menjadi tidak terkawal dan membuak-buak selain turut mengganggu tumbesaran pesakit.Puncanya adalah kecacatan pada kromosom 15 dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengira jantina.Ibu bapa yang memiliki anak yang mempunyai sindrom Prader-Willi perlulah sentiasa mengawal pemakanan anak-anak dan memberi mereka makan makanan yang berkhasiat sahaja dan dalam kuantiti yang sedikit.Jo berkata, tabiat pemakanan anak perempuannya itu cukup membimbangkan kerana dia tidak pernah kenyang, walaupun selepas makan dengan amat banyak.

            “Saya terpaksa mengunci peti ais di rumah bagi mengelak Molly daripada terus-terusan mengambil semua makanan yang ada di dalamnya. Saya juga memasang pagar pada pintu masuk dapur agar Molly tidak boleh masuk ke dapur untuk makan dengan kerap,” ujarnya tentang cabaran membesarkan anak perempuannya itu.

            JO  berkata, penyakit anaknya itu juga menyebabkan Molly menjadi degil dan sering mengamuk.Jo yang juga merupakan seorang pembantu pemasaran dari Cheshire, England berkata, Molly bukan sahaja mahu makan makanan, malah dia juga akan mencapai apa sahaja yang ada di depannya dan makan benda-benda tersebut.

            “Pernah suatu ketika, dia terjumpa makanan berkulat di bawah sofa dan terus memasukkan makanan itu ke dalam mulutnya kerana terlalu lapar. Dia akan makan apa sahaja dan ia sudah semestinya amat membahayakan nyawanya,” ujar Jo.

            Masalah kelaparan melampau Molly amat mengganggu ibunya kerana kanak-kanak tersebut akan bertanya bilakah waktu makan tengah hari atau bilakah waktu makan malam sebaik sahaja dia selesai makan.

 

Amat Degil

            Molly juga akan mengamuk apabila tidak diberi makan dan lebih buruk lagi, dia akan menggaru kulitnya sehingga berdarah kerana terlalu marah.Sindrom Prader-Willi juga menyebabkan Molly amat degil dan Jo risau anaknya itu akan berkelakuan begitu sehinggalah dia meningkat dewasa kelak.Menurut Jo, dia tidak menyangka kerana bukan sahaja terpaksa berdepan dengan selera makan melampau anaknya, malah wanita itu juga perlu mengawal sikap degil Molly.

            Buat masa ini, penyakit tersebut tiada penawar dan kanak-kanak itu tidak boleh dibiarkan bersendirian walaupun sesaat kerana dia akan mencapai apa sahaja yang ada di hadapannya dan mula makan benda tersebut.Ke mana sahaja Molly pergi, perkara pertama yang akan dilakukan oleh kanak-kanak berambut perang itu adalah mencari makanan atau apa sahaja yang boleh dimasukkan ke dalam mulutnya.Jo berkata, dia amat khuatir keadaan Molly akan bertambah buruk apabila dia meningkat dewasa kelak kerana anaknya akan lebih mudah untuk mendapatkan makanan.

            “Sekarang Molly masih kecil dan kami sekeluarga masih mampu mengawalnya, namun apabila dia sudah besar nanti, saya tidak rasa saya mampu untuk mengawalnya lagi dan perkara itu amat membimbangkan saya,” kata ibu muda itu.