KelabMama

Kanak-kanak 4 Tahun Sesak Nafas Selepas Makan Roti, Meninggal Dunia di Hadapan Hospital

Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun dilaporkan sesak nafas selepas makan roti, sebelum meninggal dunia pada jam 5 petang semalam. Dalam satu laporan yang dikeluarkan Sin Chew Daily, kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Lim Zhi Han, mengalami sesak nafas selepas ibunya suapkan roti kepadanya pada 25 Mac yang lalu.

Mendiang Merupakan Anak Istimewa

Difahamkan, Lim yang dilahirkan Down Syndrome juga telah mengalami demam panas selepas sesak nafas. Sejurus itu, ibunya, Puan Zhang telah membawa anaknya berjumpa doktor. Walau bagaimapun, demam yang dialami Lim masih sama, tidak berubah. Suhu badannya masih turun naik walaupun telah berjumpa doktor.

“Dia tidak habiskan susu yang diminumnya, jadi saya berikan dia sedikit roti. Selepas baru menjamah dua tiga mulut, tiba-tiba dia mula menangis dan menjerit-jerit. Saya perasan dia seperti sesak nafas, dan saya terus telefon ayah saya.”

Puan Zhang

Tidak lama selepas itu, nenek kepada Lim, baru pulang daripada mengambil abangnya yang berusia enam tahun. Melihatkan keadaan cucu perempuannya yang teruk, Puan Zhang dan ibunya segera bawa Lim ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Berhenti Bernafas di Hadapan Hospital

Lebih malang lagi apabila kanak-kanak itu dilaporkan berhenti bernafas sebaik sahaja mereka tiba di lampu isyarat di hadapan hospital. Ujar nenek kepada mangsa,

Ketika kami tiba di lampu isyarat di hadapan hospital, cucu saya memegang erat lengan saya dan kemudiannya dia berhenti bernafas. Doktor cuba untuk menyelamatkannya, tetapi dia sudah tiada.

Nenek mendiang.

Mayat mendiang Lim akan dibedah siasat untuk menentukan punca kematian. Sumber melaporkan, Puan Zhan menyalahkan dirinya kerana kematian anak perempuannya. Beliau mengatakan kejadian ini boleh dielakkan jika beliau tidak memberi anaknya makan roti itu. Keluarga kecil Puan Zhang tinggal bersama dengan ibu bapanya selepas suaminya meninggal dunia tahun lalu akibat tekanan darah tinggi. Anak-anaknya akan dijaga datuk dan nenek mereka ketika Puan Zhang bekerja.

Ujar Mama Siti,
Takziah Mama Siti dan team KelabMama ucapkan kepada Puan Zhang dan keluarga. Kepada Mama dan Papa yang lain, jika kejadian yang sama berlaku pada anak-anak kita, jangan sesekali salahkan diri sendiri. Mama Siti faham betapa sedihnya jika kehilangan orang tersayang. Tetapi, janganlah sampai menyalahkan diri sendiri. Kuatkan hati, positifkan diri.