KelabMama

Kenapa Kanak-kanak di Malaysia Kini Lebih Mudah Stress?

Baru-baru ini terdapat kes seorang kanak-kanak sekolah rendah bertindak ingin terjun dari tingkat tiga sebuah sekolah kerajaan. Menurut sumber, tindakannya berpunca daripada tekanan yang dihidapinya. Perkara ini sangat membimbangkan kerana usia sepertinya seharusnya sedang bergembira tanpa perlu memikirkan pelbagai masalah yang rumit dan mengelirukan. Namun itu menunjukkan bukti semakin ramai kanak-kanak menghadapi masalah mental. Senario yang sukar untuk diterima akal tetapi itulah hakikat yang sedang berlegar dalam masyarakat hari ini.

Mengikut laporan, lebih 20 peratus kanak-kanak berumur antara lima dan 15 tahun di negara ini dikesan menghadapi masalah mental berikutan tekanan hidup dan didiskriminasi akibat keadaan persekitaran.

PUNCA UTAMA: DIDIKAN IBU BAPA

                Masalah kanak-kanak banyak berpunca daripada cara didikan ibu bapa itu sendiri yang menyebabkan golongan ini membesar dengan keadaan yang negatif. Kanak-kanak ini kadangkala tertekan dengan cara didikan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna. Malangnya, cara didikan itu salah menyebabkan anak-anak ini terpaksa menurut peraturan yang diberikan oleh ibu bapa tanpa perlu disoal banyak atau dengan kata lain perlu akur atas setiap ketetapan yang ditentukan.

                Inilah masalahnya apabila ibu bapa hanya menetapkan hukum tanpa ada penerangan. Kadang-kadang anak-anak ini tidak tahu mengapa mereka perlu berbuat sesuatu perkara tanpa didedahkan mengenai kepentingannya.

                Ibu bapa yang membuat peraturan dan undang-undang sendiri tanpa boleh dipersoal oleh anak-anak, kononnya untuk mendisiplinkan mereka, tetapi pada masa yang sama tidak menerangkan kenapa dan mengapa sehingga anak-anak terpaksa akur, sebenarnya boleh merosakkan jiwa anak-anak.

Ini terutama bagi kanak-kanak yang berada dalam golongan awal remaja iaitu umur 11 dan 15 tahun. Pada peringkat usia sebegini anak-anak memerlukan lebih banyak perhatian memandangkan mereka sedang membesar dengan alam pesekitaran yang membolehkan mereka mengikut sesuatu dengan membabi-buta. Sekiranya umur sudah meningkat sehingga belasan tahun, pasti menyukarkan lagi mereka untuk merubah perlakuan sekiranya tindakan awal oleh ibu bapa tidak dilakukan.

GAJET & MEDIA SOSIAL

Selalunya apabila golongan remaja terlibat dengan perkara yang tidak bermoral, masalah itu datang daripada peringkat kanak-kanak lagi, justeru dalam hal ini ibu bapa perlu peka dengan keadaan anak-anak mereka. Sebagai contoh, dalam keadaan sekarang ibu bapa lebih bergantung kepada gajet untuk memastikan anak-anak mereka lebih berada di rumah atas alasan mereka bekerja dan balik lewat malam.

Ini juga sebenarnya perkembangan yang tidak sihat kerana merasakan anak mereka yang tidak keluar rumah kerana leka dengan gajet adalah lebih baik daripada melepak tidak tentu hala di luar. Sedangkan di sini anak-anak mereka sebenarnya telah terlibat dengan masalah mental apabila mereka tidak lagi bersosial dengan masyarakat. Jangan ingat apabila mereka bersosial di dalam media sosial itu adalah satu perkara yang baik kerana secara realitinya kehidupan mereka perlu bergaul dengan masyarakat. Mereka juga akan terikut-ikut dengan gaya perlakuan di dalam media sosial berkenaan tanpa memerlukan nasihat daripada ibu bapa yang banyak mengabaikan diri mereka.

UBAH SEGERA & BERTINDAK!

Salah satu hak anak ialah dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Ini bermakna ibu bapa yang membesarkan anak-anak dengan kebencian, pergaduhan, merasa tertekan dan takut akan mengakibatkan anak-anak mengalami gangguan emosi. Gangguan emosi seperti ini mengambil masa untuk menunjukkan kesan dan yang paling biasa ialah anak-anak mengalami kemurungan, ponteng sekolah dan sakit. Sakit yang paling biasa dialami ialah muntah-muntah, sakit kepala dan demam.

Hari ini, kebanyakan ibu bekerja dan dalam kesibukan menjalankan tugas, ibu perlu memberi ruang masa kepada anak-anak untuk bercerita dan mendapat simpati. Dengan itu anak tidak perlu mendapat pandangan atau nasihat rakan-rakan sebayanya dalam menyelesai masalah di samping rasa mereka disayangi. Zaman berubah, kini ramai anak-anak menghabiskan masa di pusat jagaan. Menambahkan lagi keterbatasan masa ibu bapa bersama dengan anak-anak. Ibu bekerja menghadapi masalah kekangan masa untuk melayan anak-anak. Sepanjang hari bertugas, bila pulang, mereka sibuk dengan urusan di rumah (bagi yang tiada pembantu). Badan menjadi bertambah letih dan apabila anak bercerita, ibu tidak dapat memberi perhatian. Akhirnya anak rasa tidak dihargai atau disayangi.