KelabMama

Kanak-kanak 7 Tahun Ditinggalkan Berseorangan Tanpa Makanan Oleh Ibu Sendiri

kanak-kanak ditinggalkan berseorangan

Minggu ini, kecoh mengenai seorang kanak-kanak perempuan ditinggalkan berseorangan dalam rumah dengan pintu berkunci. Lebih mengejutkan, kanak-kanak berkenaan, Nur Aleesya Zara Abdullah, ditinggalkan berseorangan oleh ibunya sendiri! Allahu, kenapa sampai macam tu…

Menurut laporan Harian Metro, kanak-kanak tersebut dikatakan menangis sepanjang masa di tingkap rumahnya sejak hari pertama ditinggalkan.

“Saya hanya mengetahui kanak-kanak itu dikurung selepas heboh satu kawasan memberitahu kanak-kanak itu menangis sepanjang masa di tingkap rumah pada hari pertama ditinggalkan. Jiran terdekat yang terdengar tangisan kanak-kanak itu sering mengunjunginya dan memberi makan setiap waktu kerana kasihankannya. Sehinggakan jiran terbabit dilihat sering menemaninya dari luar tingkap rumah supaya dia tidak rasa berseorangan,” 

ujar seorang jiran yang tidak mahu dikenali.
Sumber: Harian Metro

Si Ibu Suka Menyendiri

Difahamkan, ibu kepada kanak-kanak tersebut, berusia 31 tahun, merupakan seorang ibu tunggal yang lebih suka menyendiri dan tidak bergaul dengan penduduk setempat. Jiran-jiran yang terdekat juga tidak pernah mengetahui latar belakang dan pekerjaan wanita tersebut.

Sumber juga melaporkan bahawa kehidupan seharian dua beranak itu lebih tertumpu di luar rumah dan dia hanya berada di rumahnya sesudah pulang bekerja. Ibu bapa kanak-kanak berkenaan dikatakan sudah bercerai dan wanita terbabit meninggalkan anaknya tanpa makanan!

Menurut sumber yang dilaporkan Harian Metro,  kanak-kanak tersebut telah diselamatkan setelah menerima laporan daripada jiran yang risau akan keadaannya. Polis yang tiba di rumah berkenaan di Taman Hijrah, Kangar, terpaksa memotong mangga pintu rumah terbabit untuk menyelamatkan kanak-kanak malang itu.

“Sejurus kanak-kanak itu diselamatkan dia dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan dan pemeriksaan ke atasnya mendapati tiada sebarang kecederaan yang dialami. Kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” 

Ketua Polis Perlis, SAC Datuk Noor Mushar Mohamad 

BACA: Hati-hati Guna Katil Bayi, Dalam Kebaikan Ada Keburukan

Jiran Yang Prihatin

Dalam kenyataan kepada media melalui aplikasi WhatsApp, Datuk Noor Mushar turut berkata, jiran-jiran berdekatan telah memberi makan kepada kanak-kanak itu melalui tingkap rumah sejak beliau dikurung.

Ibu kanak-kanak terbabit juga telah ditahan di tempat tinggalnya di Kampung Surau, Utan Ali, Kangar bagi membantu siasatan.