KelabMama

Kanak-kanak 5 Tahun Meninggal Dunia Dipercayai Didera Bapa Tiri

Sejak akhir-akhir ni, banyak sangat kes dera yang berlaku. Lepas satu, satu. Semalam, lagi satu kes dera hingga menyebabkan kematian telah berlaku. Apa yang lebih menyayatkan hati adalah penderaan terhadap kanak-kanak dan bayi ini dilakukan oleh ibu bapa sendiri. Allahu apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran mereka sampai sanggup mendera. 

Mangsa Dera Ibu & Ayah Tiri

Petang semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun telah meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa dera bapa tiri dan ibunya. Kejadian tersebut berlaku di Pekan, Pahang.

Menurut laporan Bernama, kanak-kanak berkenaan, Muhammad Hafiz Abdullah telah dibawa ke Klinik Kesihatan Padang Rumbia, Pekan pada jam 4 petang untuk mendapatkan rawatan. Namun, setelah pemeriksaan dilakukan mangsa didapati telah meninggal dunia. 

Kesan Cucuh Api Rokok, Bibir Pecah, Lebam 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan berkata,

Pemeriksaan awal oleh doktor mendapati terdapat kesan cedera disyaki akibat penderaan iaitu kesan lebam baru di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam sebelah mata kanan serta luka-luka kecil baru di bahagian kening kanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nayan

Menurut maklumat terkini, punca kematian mangsa adalah kecederaan berganda di kepala dan limpa yang pecah, dipercayai didera bapa tirinya. 

Bapa Tiri Mengaku Memukul 

Difahamkan, setelah siasatan dilakukan, bapa tiri mangsa yang berusia 54 tahun mengaku memukul mangsa pada hari kejadian. Mayat kanak-kanak malang itu juga telah dibawa ke Hospital Tenku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi tujuan bedah siasat. 

Mayat kini berada di Hospital Pekan dan akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi tujuan bedah siasat pada untuk mengetahui punca kematian,

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nayan

Suspek Bercakap Boleh Kalahkan Ustaz

Dalam satu temu bual bersama bapa saudara mangsa, Mohamad Zazali Abdullah, suspek tidak pernah menunjukkan tanda-tanda yang dia boleh lakukan perbuatan seperti mendera anak sendiri.

Biasanya, kalau dia (suspek) bercakap… boleh kalah ustaz, baik sangat dan saya tidak nampak yang dia boleh melakukan perbuatan seperti ini. Sebab itulah saya tidak sangka benda macam ini boleh berlaku, apatah lagi hingga mengakibatkan kematian

Saya tidak sangka dia tergamak melakukan perbuatan itu (dera) hingga mengakibatkan kematian anak saudara saya,

Mohamad Zazali Abdullah, 23

Kedua-dua Suspek Ditahan

Polis telah menahan suspek bersama ibu kandung mangsa yang berusia 25 tahun bagi membantu siasatan, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ramai pasangan yang sudah berkahwin masih menantikan zuriat mereka sendiri. Ada sesetengah tu sampai dah bertahun menanti, masih belum dikurniakan rezeki zuriat. Namun, ada juga ibu bapa yang sudah diberikan zuriat, tapi sanggup mendera anak sendiri. Mungkin niat untuk mendidik, tapi ada beza tau mendidik dengan mendera! 

Harap Mama dan Papa sentiasa bersabar dengan karenah anak-anak. Ingat, keluarga yang bahagia dan harmoni itu datangnya dari cara didikan Mama dan Papa sendiri ;).