KelabMama

Kalendar Akademik Sekolah 2026 Kembali Bermula Bulan Januari

Sesi Persekolahan Sesi 2026 Kembali Bermula Januari

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan kepada Januari 2026 seperti sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Koh Woh berkata, KPM sudah mula menyusun dan mengawal kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2025 supaya dapat dimulakan pada Februari 2025.

“Kawalan dan perancangan ini dibuat bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun 2026 dapat bermula pada bulan Januari sehingga Disember.”

Menurut beliau lagi, usaha yang dilakukan untuk memastikan sesi persekolahan bagi 2026 dapat dimulakan semula bermula Januari hingga Disember.

“Pada masa sama, KPM perlu pastikan bahawa penyediaan kalendar akademik adalah berdasarkan peraturan-peraturan pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.”

Kah Woh berkata, seperti penyediaan kalendar akademik tahun sebelum ini, KPM akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.

“Iaitu kesatuan atau persatuan keguruan termasuk Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah untuk mendapatkan maklum balas berhubung penyediaan draf kalendar akademik tahun 2025 dan draf kaalendar akademik tahun 2026 sebelum diangkat untuk perwartaan” katanya.

Beliau juga turut menyatakan KPM akan memastikan kalendar akademik yang disediakan akan memenuhi tempoh pengajaran dan pembelajaran secara optimum iaitu antara 32 hingga 36 minggu.

Jelasnya lagi, ini untuk memastikan kokurikulum persekolahan dapat diselesaikan dengan baik dan dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam masa yang sama, takwim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kemasukan Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan turut diselaraskan sepenuhnya juga.

Kredit Gambar: mStar

Jadi, anak Mama Papa akan mulakan sesi persekolahan 2026 pada Januari semula dan bukan lagi pada bulan Mac seperti sekarang yang disebabkan pandemik COVID-19 sebelum ini.

Mama Papa pun boleh kembali bertenang apabila sekolah bermula Januari nanti – tak payah pening-pening fikirkan bajet sekolah & Ramadan. Maklumlah tahun ni pun sekolah bermula pada awal Ramadan juga, sama seperti tahun lepas.


Dapatkan lebih banyak berita dan viral yang trending di SINI.