KelabMama

JIKA ANDA IBU BAPA YANG SERING MEMUKUL ANAK. BACA INI!

Sebagai  ibu bapa apakah sikap yang anda mahu ada pada anak, pembengis atau penyayang? Sebenarnya kedua-dua sikap ini bergantung kepada sikap ibu bapa itu sendiri pada anak. Ini kerana kajian menunjukkan kanak-kanak berumur setahun yang sering dipukul (pukulan atau tamparan seperti menepuk punggung, kaki atau tangan ketika melakukan kesalahan) oleh ibu atau bapa mereka akan menjadikan anak tersebut agresif dan tidak mencapai tahap yang baik ketika menjalani ujian kognitif. Keadaan tersebut sama sekali berbeza pada kanak-kanak seusia yang hanya dinasihati atau dimarahi secara lisan oleh ibu atau bapa apabila mereka melakukan kesalahan. Walaupun ibu bapa menganggap ‘pukulan kecil’ itu tidak mendatangkan mudarat kepada anak-anak, namun kajian mengesahkan pukulan kepada anak sekecil usia setahun mendatangkan kesan negatif kepada pembesaran tubuh dan minda mereka.

“Usia setahun adalah tempoh yang paling penting dalam mewujudkan kualiti hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Pukulan kepada anak-anak sekecil usia setahun akan menjadikan mereka kanak-kanak yang agresif seiring penambahan usia mereka,” jelas Lisa J. Berlin, seorang saintis penyelidik di Pusat Kanak-kanak dan Polisi Keluarga di Universiti Duke, Amerika Syarikat.

 

MENGHUKUM DENGAN PUKULAN

Kanak-kanak yang dipukul seawal usia setahun menjadi semakin nakal pada usia dua tahun dan apabila menjelang usia tiga tahun mereka tidak menunjukkan perkembangan yang baik terhadap daya pemikiran mereka.

                Mungkin anak-anak yang berusia dua tahun sudah menjadi semakin agresif jadi ibu semakin sukar mengawal sekali gus mereka kurang memukul anak tersebut, tapi itu bukanlah fakta yang ditemui sebenarnya. Adat memukul anak ketika mereka buat salah memang telah lama dilakukan oleh generasi terdahulu, tetapi keadaan tersebut semakin berkurangan seiring perubahan zaman. Begitu pun memang masih wujud golongan yang mempercayai bahawa pukulan adalah cara yang terbaik mendidik anak kerana mereka juga melalui fasa yang sama ketika kecil, maka sebab itulah tiada salahnya mereka meneruskan tradisi tersebut.

 

SERING DIPUKUL AKAN MENJADI PEMUKUL

Sementara itu, Professor Madya di Jabatan Pembangunan Manusia dan Sains Keluarga di Universiti Texas di Austin, Elizabeth T. Gershoff, berkata, kajian menunjukkan tubuh kanak-kanak yang sedang membesar memang tidak sesuai menerima hukuman pukulan. Boleh dikatakan semua kajian berkaitan amalan memukul anak kecil memberikan impak negatif terhadap tumbesaran anak-anak tersebut, ia hanya membuatkan anak-anak tersebut berhadapan dengan masalah kepada kesihatan mental mereka. Lebih kerap anak kecil itu dipukul semakin berisiko untuk didera oleh ibu bapa.

“Saya tidak mengatakan setiap ibu bapa yang memukul anak-anak itu mendera namun risikonya tetap ada,” ujar Gershoff.

 

PERINGKAT DIDIK ANAK

Kanak-kanak secara semula jadinya akan belajar menerusi apa yang mereka alami dan lihat pada persekitaran, jadi mereka juga akan membesar menjadi seorang yang pembengis. Hakikatnya masyarakat terutama ibu bapa perlu sedar bahawa mendidik anak juga memerlukan pengetahuan mencukupi. Ini kerana ibu bapa akan menjadi contoh kepada anak untuk mengenal kehidupan, dalam erti kata lain, menjadi ‘role model’ kepada anak-anak.

0 Hingga 6 Tahun

7 Hingga 14 Tahun

15 Hingga 21 Tahun

21 Tahun Ke Atas

 

 

 

 

 

 

Sumber  HealthDay News & Utusan