KelabMama

Ibu Gementar Ketika Memotong Kuku, Jari Kaki Bayi 10 Bulan Alami Necrosis

necrosis ibu jari kaki

Penjagaan kesihatan dan kebersihan si kecil harus dilakukan dengan teliti dan sentiasa berhati-hati, terutamanya untuk bayi dibawah umur 1 tahun. Struktur badan bayi masih kecil dan perlukan perhatian yang rapi daripada Mama dan Papa. Selain kebersihan badan mereka, kuku kaki dan tangan juga harus sentiasa dibersihkan. Ketika Mama ingin memotong atau menggunting kuku si kecil, Mama harus berhati-hati. Takut tersalah potong lalu mencederakan jari-jari mereka hingga menyebabkan ‘necrosis’. 

Jari Mati atau Necrosis

Baru-baru ini di Vietnam, ibu jari kaki seorang bayi berusia 10 bulan telah mengalami jari mati atau lebih dikenali sebagia “Necrosis”. Difahamkan, beberapa jam selepas si ibu memotong kuku kaki bayinya, bahagian ibu jari kaki bayi kelihatan membengkak. Bayi tersebut juga dikatakan telah mengalami demam panas. 

Bapanya yang perasan keadaan bayinya yang tidak sihat, segera membawanya ke hospital berdekatan. Doktor yang merawat bayi berkenaan, Dr Luu Thanh Chi mengesahkan bayi tersebut mengalami Leukopenia, iaitu kekurangan darah putih. Oleh sebab itu, bayi berkenaan mudah untuk mendapat jangkitan jika mengalami sebarang luka di badan. 

Luka Tidak Dirawat dengan Betul

Punca kejadian tersebut adalah kerana ibu kepada bayi berkenaan mungkin telah mencederakan ibu jari kaki anaknya ketika beliau memotong kuku, secara tidak sengaja. Luka tersebut tidak dirawat dengan betul dan telah menyebabkan jangkitan pada ibu jari kaki mangsa.

Tambah Dr Luu Thanh Chi lagi, ibu jari kaki bayi tersebut membengkak dan menunjukkan tanda-tanda “Necrosis” kerana keradangan di saluran darah yang berlaku dibahagian ibu jari kakinya. Untuk mengelakkan daripada jangkitan tersebut merebak ke bahagian kakinya yang lain, satu pembedahan membuang nanah serta bahagian kulit yang telah mati di ibu jari kaki bayi berkenaan telah dilakukan.

“Jika bayi mengalami sebarang jangkitan bakteria di tubuh badan mereka, doktor akan merawat jangkitan tersebut dengan antibiotik terlebih dahulu. Sekiranya tiada perubahan positif, satu pembedahan harus dilakukan.”

Dr Luu Thanh Chi

Tips Memotong Kuku Si Kecil

Rentetan daripada kisah yang berlaku, Dr Luu Thanh Chi menasihatkan semua ibu bapa, terutamanya mereka yang baru menyambut kelahiran bayi pertama,  untuk tidak memotong atau  menggunting kuku si kecil ketika si kecil sedang aktif. Waktu yang paling sesuai untuk Mama mahupun Papa memotong kuku bayi anda adalah ketika mereka tidur atau sedang leka menyusu.

Yang paling penting, jangan sesekali memotong kuku bayi menggunakan pengetip kuku untuk orang dewasa! Gunakan pengetip kuku khas untuk bayi, atau peralatan manicure pedicure khas untuk bayi. Lebih baik gunakan gunting kuku berukuran kecil dan gunting bulat.