KelabMama

JADIKAN AKTIVITI MELIPAT BAJU SESUATU YANG MENYERONOKKAN

Kalau dibuat bancian apa kerja rumah paling malas dilakukan, tentu ramai yang akan menjawab melipat pakaian. Ya, melipat pakaian memang boleh menjadi satu masalah bagi kebanyakan wanita. Lagi sakit hati, kalau sehari tidak diselesaikan tugas melipat pakaian, kain baju boleh bertimbun macam gunung. Rasanya baru semalam melipat pakaian tetapi hari ini sudah segunung balik terutama yang berderet ada anak kecil. Apa kata anda cuba tips berikut ini, mana tahu lepas ini tiada lagi masalah melipat pakaian. Tiada lagi masalah pakaian bertimbun tidak dilipat, hati pun senang.

 

Ajak suami & anak-anak bantu

Tugas melipat pakaian bukan hanya perlu terletak di bahu ibu atau isteri sahaja. Sebaliknya ia boleh diagihkan apatah lagi jika sudah ada anak yang besar. Suami juga boleh membantu meringankan beban isteri menguruskan kerja rumah. Tugas melipat pakaian antara tugas mudah yang boleh diserahkan kepada suami. Anak-anak juga mesti diajar dari usia kecil lagi cara  melipat pakaian sendiri. Walaupun hakikatnya anda boleh ‘sakit mata’ melihat cara lipatan mereka tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan bebanan kerja rumah. Untuk permulaan, anda boleh minta suami dan anak-anak melipat pakaian milik masing-masing. Lama-kelamaan apabila mereka semakin mahir, mereka boleh selesaikan tugas melipat pakaian dengan mudah. Percayalah!

 

Sangkut baju

Mungkin cara ini lebih sesuai untuk rumah yang mempunyai jumlah ahli keluarga yang kecil dan tidak mempunyai anak usia bayi. Tak perlu pening kepala dan malas hendak melipat pakaian. Sebaliknya sangkut sahaja semua pakaian menggunakan penyangkut baju. Beli penyangkut baju dalam jumlah yang banyak dan sangkut semua pakaian kecuali pakaian dalam dan yang bersaiz kecil. Anda hanya perlu sediakan ruang almari yang besar untuk memuatkan baju-baju yang sudah disangkut tersebut. Selesai masalah!

 

Lipat ikut kategori pakaian

Masa hendak melipat pakaian, apa kata anda asing-asingkan mengikut kategori seperti seluar, t-shirt, pakaian dalam, dan sebagainya. Lepas itu anda lipat mengikut kumpulan tersebut. Secara psikologinyaanda akan merasakan tugas melipat pakaian tidak membosankan dan cepat siap kerana melipat mengikut kategori.

 

Lepas angkat terus lipat. Jangan bertangguh

Selepas mengangkat pakaian di jemuran, lebih baik anda terus melipat pakaian. Jangan bertangguh sebab bila dibiarkan memang boleh menjadi malas. Lagi bagus kalau di rumah anda ada ruang khas untuk mencuci dan menyidai pakaian. Jadi lepas angkat anda boleh terus lipat di ruangan tersebut tanpa perlu membuat timbunan lain di dalam rumah.

 

Tonton TV sambil melipat baju

Sesetengah orang tak suka melipat pakaian sebab katanya ia tugas paling membosankan. Jadi, untuk mengurangkan rasa bosan, lipatlah pakaian sambil menonton TV. Confirm, anda tak perasan pakaian yang menimbun hampir habis anda lipat apabila tamat filem yang anda tonton.