KelabMama

Isu Baby Carrier: Boleh Ke Gendong Anak Menghadap Ke Depan?

Isu Baby Carrier: Boleh Ke Gendong Anak Menghadap Ke Depan?

“Doc, boleh ke saya nak gendong anak saya mengadap ke depan?”
“Anak saya taknak duk atas carrier kalau mengadap saya. Cemana nak buat ek?”

Begitulah persoalan yang biasa dilemparkan oleh ibu-ibu kepada Dr. Izam Suziani. Katanya ada anak yang suka digendong menghadap ke depan, ada pula yang suka gendong anak menghadap wajah kita. Tapi dalam sesetengah situasi, ada pula jenis anak yang suka menghadap ke depan berbanding tengok wajah ibubapa sendiri.

Ha macam mana tu? Bahaya ke tidak bila selalu digendong menghadap ke depan? Kalau mama nak tahu, ini dia Mama Siti kongsikan jawapan dari pakar!

Teknik Front Facing Bila Gendong Anak

Ibu-ibu tak disyorkan untuk gendong bayi ke depan dalam jangka masa yang panjang, kerana ia akan beri kesan kepada tulang belakang bayi.

Saya dah tulis tentang perkara ini tahun lepas lagi, tapi masih ramai yang bertanya tentang “Front Facing” pada saya. Jadi saya ingat, saya tulis sekali lagi hari ni. Tapi ini sekadar pandangan peribadi saya berdasarkan pengalaman dan pendapat pakar lain dalam bidang ini.

Pada yang mengenali saya dan berkesempatan menghadiri kelas-kelas babywearing saya mesti tahu yang saya sentiasa menyokong apa jenis baby carrier pun, asalkan memenuhi keperluan, selamat serta selesa untuk penggendong dan anak yang digendong. Jadi, baca dengan berlapang dada.

Pertama sekali, mengapa baby carrier sebegini wujud? Betullah. Untuk memenuhi keperluan penggendong yang bertanya soalan-soalan di atas tadi tu.

Carrier yang membolehkan bayi digendong menghadap ke depan dicipta untuk memenuhi kehendak penjaga (terutamanya kaum BAPA) yang ingin “bonding” dengan anak mereka melalui kaedah “exploration”.

Semasa menghadiri ceramah oleh seorang saintis yang telah membuat pelbagai kajian tentang babywearing, saya telah belajar beberapa perkara. Saya kongsikan di sini (tolong jangan minta kertas kajian semua ya? Saya tulis ni sebagai perkongsian santai supaya mudah difahami sahaja. Bukan nak kongsi kertas saintifik).

Apa Yang Anda Perlu Tahu Dengan Baby Wearing

Ring Sling dikenali juga sebagai one shoulder carrier sebab berat baby tertumpu pada sebelah bahu sahaja.

1. Bayi yang mempunyai kawalan leher dan kepala yang baik, biasanya bayi yang berusia 6 bulan ke atas. Bayi pada umur ini juga sudah bersedia dari segi perkembangan otak untuk menjelajah (exploring) alam sekeliling.

2. Bayi boleh dihadapkan ke depan, tapi seelok-eloknya dalam tempoh yang singkat saja (paling lama 30 minit) dan disyorkan dipusing menghadap penggendongnya semula selepas itu untuk mengelakkan keletihan.

3. Bayi dihadapkan ke depan di dalam suasana yang terkawal sahaja, iaitu di tempat yang tidak sibuk seperti di rumah sendiri dan di taman-taman awam yang lengang (bukan di shopping mall atau expo yang sibuk dan sebagainya).

4. Penggendong mesti “aware” dan jangan leka semasa bayi digendong menghadap depan. Perhatikan tanda-tanda bayi keletihan, mengantuk dan perlu menyusu (lebih mudah dikesan jika bayi menghadap penggendong). Jangan pula anak dah tidur pun ibu bapa masih tidak sedar dan tidak memusing anak ke dalam semula. Bahaya.

Perkara UTAMA yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa yang menggendong ialah keselamatan bayi. Pastikan peraturan keselamatan menggendong sentiasa dipenuhi.

Apa Alternatif Untuk Membolehkan Bayi Menghadap Ke Depan?

Penggunaan baby carrier secara back carry dapat memudahkan pergerakan ibubapa selain memantau anak dengan selamat.

Jadi, boleh ke gendong anak menghadap ke depan? Anda tentukan sendiri dan buat keputusan yang terbaik untuk anda dan anak anda.

Semoga penerangan ini bermanfaat untuk semua. Marilah kita menjadi ibu bapa yang lebih prihatin tentang keselamatan anak-anak kita semasa menggendong. Dan jadilah ibu bapa yang menyokong dan lebih berempati antara satu sama lain.

Sumber : Dr Izam Suziani, Certified Babywearing Consultant, MTL Trageschule UK, Baby Wearing by BabyUltra.

BACA JUGA KESILAPAN GUNA BABYWEARING YANG BIASA IBUBAPA BUAT!

Pesan Mama Siti:

Walaupun sekarang dah ada beberapa brand baby carier yang ergonomik dan direka agar bayi boleh dihadapkan ke depan tapi dalam manual pemakaian untuk carrier ni sebenarnya tertulis bahawa kalau nak gendong anak ke depan mostly around 15-30 minit SAHAJA. Tak boleh lebih daripada tu. So kalau mama nak tangkap gambar ke, untuk urusan yang memerlukan masa yang singkat, bolehlah gendong anak mama ke depan. Jangan pula digendong sepanjang masa dalam posisi tersebut!