KelabMama

Ini Cara Agar Papa Jadi Superpapa, Idola Kepada Si Kecil

Ini Cara Agar Papa Jadi Superpapa, Idola Kepada Si Kecil

Walaupun tiada satu pendekatan khusus yang boleh digunakan bagi semua situasi oleh para bapa, untuk menjadi papa yang cemerlang, anda perlu membabitkan diri dalam semua aspek membesarkan anak. Malah, papa memainkan peranan yang sama penting seperti seorang ibu dalam membentuk perkembangan kemahiran sosio-emosi, kognitif, bahasa dan motor anak.

Kajian menunjukkan bapa yang memainkan peranan aktif sejak awal kehidupan anak mampu meningkatkan perkembangan mereka. Sebagai seorang bapa dan suami, terdapat banyak aspek yang perlu pembabitan anda daripada saat anda menerima berita mengenai kehamilan pasangan dan ia berterusan sepanjang hayat.

Tugas seorang ayah yang komited bukan perkara yang mudah.

Sama seperti hubungan lain, nilai pembabitan bapa ni terletak pada kualiti interaksi dan bukan jumlah masa yang diluangkan. Sebagai contoh, tak ada guna kalau papa luangkan masa dengan anak, duduk kat sebelah dia, tapi leka dengan gajet sendiri dan abaikan atau biarkan anak bermain sendirian.

Dengan melaburkan masa bersama anak, papa sebenarnya membantu dia untuk membesar menjadi anak yang mempunyai emosi dan keyakinan diri yang baik. Anak yang diberi perhatian secukupnya tak mudah terjerumus dalam masalah, sama ada di rumah mahupun di sekolah.

Bermula Dari Awal

Sebagai seorang bapa, anda tak boleh mengelakkan diri daripada terbabit sama dalam menjaga bayi anda. Dengan memberi bayi anda kasih sayang sepenuhnya (lakukannya dengan bermain atau respon kepada tangisannya), hubungan rapat dapat dipupuk.

Malah, lagi bagus kalau anda dapat berinteraksi dengan bayi walaupun ketika kehamilan boleh saja anda bercakap, menyanyi, atau ‘bermain’ dengan si manja dengan menyentuh perut pasangan anda, pada penghujung kehamilan.

Perkembangan Akademik Dan Kebapaan

Penglibatan seorang ayah dalam mengasuh bayinya sendiri sejak dari awal akan menentukan kejayaan, kehidupan sosial dan nilai akademik anaknya di sekolah kelak.

Beberapa kajian menunjukkan anak yang bapanya lebih terbabit dalam pengasuhan mereka mendapat pencapaian yang lebih baik di sekolah. Kajian yang sama juga mencadangkan bahawa masa yang diluang­kan bermain dengan anak ketika mereka bayi membolehkan anak mencapai IQ tinggi dan kebolehan bahasa serta kognitif yang lebih baik.

Bila papa memainkan peranan dalam mengasuh anak, anak ni jadi lebih mudah menerima pembelajaran, lebih sabar dan bersedia untuk mengatasi tekanan dan kekecewaan persekolahan. Manfaat yang diterima ini juga tak terhad kepada kanak-kanak kecil saja, tapi akan berpanjangan sehingga ke alam remaja dan dewasa.

Langkah Yang Harus Papa Ambil

Apa yang boleh papa lakukan? Terdapat beberapa aspek penting yang papa perlu sedar, khususnya:

1- Kekalkan Hubungan Positif Dengan Pasangan

Bagaimana anda layan pasangan anda, menjadi teladan kepada anak. Pastikan anda hormat dan sayang dengan pasangan anda. Anak yang membesar dalam persekitaran di mana mereka melihat ibu dianiayai atau didera kemungkinan besar akan melayan pasangan mereka dengan cara yang sama apabila dewasa kelak.

Mereka juga berisiko untuk mengalami kemurungan dan menjadi lebih agresif. Dari segi kesihatan, stres yang terhasil akibat konflik ibu bapa boleh melemahkan sistem imun dan membawa kepada masalah kesihatan.

2- Luangkan Masa Berkualiti Bersama Anak Papa

Ini membolehkan anda mengeratkan kasih sayang dengan si manja dan mengenali satu sama lain dengan lebih rapat, seterusnya memahami emosinya dengan lebih baik.

Aktiviti riadah bersama anak menyumbang kepada pembangunan kanak-kanak.

Anda boleh memainkan peranan unik dalam perkembangannya, tapi cara paling baik adalah dengan melakukan aktiviti aktif dan fizikal, seperti bermain badminton atau bola sepak berbanding aktiviti pasif seperti menonton TV bersama. Aktiviti sebegini akan membantu kesejahteraan emosi, perkembangan sosial dan kecergasan fizikal si manja.

3- Kerja Berpasukan Mengeratkan Hubu­ngan

Cuba lakukan kerja rumah bersama anak anda. Ini membolehkan anda meluangkan masa berkualiti bersamanya sambil memupuk rasa tanggungjawab.

4- Galakkan Pertumbuhan Intelek Anak Papa

Berusaha untuk merangsang minda anak dengan membaca kepadanya, berjumpa dengan guru kelasnya atau aktiviti lain yang mampu memberi fokus kepada kebolehan akademik atau inteleknya.

5- Jangan Takut Untuk Tunjukkan Papa Ambil Berat

Tak kira lah sibuk mana sekalipun, pastikan anda luangkan sedikit masa untuk si kecil. Kebanyakan anak melihat masa yang diluangkan bersama mereka sebagai tanda anda menyayangi mereka. Tak salah untuk mencurahkan kasih sayang dan perhatian kepada anak anda lebih-lebih lagi ketika dia masih bayi.

Konsep komunikasi terbaik di antara bapa dan anak ialah secara menyeluruh, bukan saja perlu menyantuni emosi anak terbabit malah meluangkan masa bersama mereka.

Sebagai bapa, anda harus memberi respon terhadap tangisan seorang bayi. Ambil setiap peluang yang ada untuk mengerat­kan kasih sayang dengan bayi anda dengan cara mendukung atau memeluknya seberapa kerap yang boleh. Jangan biarkan ibu melakukan semua penjagaan asas seperti menyusu atau menukar lampin.

Lakukan bahagian anda seberapa kerap yang boleh. Usaha papa mungkin tak menyerlah seperti seorang ibu, tapi ia sama penting. Malah, beban kerja pengasuhan harus dikongsi bersama-sama kedua ibubapa.

Sumber: mypositiveparenting

BACA JUGA SUAMI SUPERHERO BANTU ISTERI BERPANTANG URUSKAN SEMUA HAL RUMAH

Pesan Mama Siti:

Dah banyak kajian yang menunjukkan anak-anak remaja yang ada hubungan baik dengan ibu BAPA mereka, lebih kurang nakalnya berbanding mereka yang hanya mempunyai hubungan baik dengan ibu mereka. Jadi, jangan lah lepas tangan kepada mama saja. Kehadiran papa tu penting untuk anak tau!