KelabMama

INGIN HAMIL SEMULA SELEPAS KEGUGURAN?

Mengalami keguguran memang suatu episod duka dalam hidup seorang ibu. Namun, anda masih boleh berusaha untuk hamil. Bagaimana mahu merancang untuk hamil semula selepas berlaku keguguran? Selepas melalui fasa duka kesan keguguran yang dialami, anda boleh segera merancang untuk hamil lagi. Ramai yang tidak tahu bahawa mereka boleh hamil semula di antara tujuh hingga sepuluh hari selepas keguguran. Biarpun anda mungkin sedang mengalami pendarahan, anda tetap mempunyai peluang untuk hamil kerana ovulasi boleh berlaku bila-bila masa sahaja dalam kitaran haid. Anda boleh hamil semula sekiranya keguguran berlaku bukan melalui kaedah pembedahan. Jika anda perlu menjalani pembedahan seperti dilation & curettage (D&C), anda perlu menunggu sekurang-kurangnya sebulan supaya rahim kembali sembuh.

 

Sememangnya anda boleh hamil pada bila-bila masa yang anda mahu, namun seeloknya menunggu sehingga sebulan sebelum merancang semula untuk hamil. Ini sangat penting untuk memberi masa kepada tubuh dan rahim supaya sembuh sepenuhnya seperti sedia kala. Kesihatan suami dan isteri mestilah berada di tahap maksimum supaya keduanya dapat merancang untuk kehamilan seterusnya dengan baik. Kesihatan di sini bukan sahaja dari segi fizikal, malah juga mental. Tips utama, amalkan gaya hidup yang sihat, makan makanan yang seimbang dan dapatkan nasihat pakar jika timbul apa jua masalah supaya ia dapat ditangani dengan segera.

 

Ada wanita yang bimbang keguguran yang dialami boleh menjejaskan kesuburan. Oleh itu, secepat mungkin mahu hamil semula dalam tempoh terdekat apabila sudah bersedia. Namun, sebenarnya keguguran yang berlaku secara semulajadi tidak akan menimbulkan masalah berkaitan kesuburan Sekiranya kitaran haid anda normal selepas keguguran terjadi, maka tidak perlu risau dengan kehamilan seterusnya. Masalah ketidaksuburan biasanya berpunca daripada parut luar biasa pada rahim selepas melalui prosedur D&C. Ada kajian menyatakan bahawa kehamilan seterusnya akan lebih sihat jika anda mendapat sokongan padu keluarga dan mengekalkan tekanan pada tahap minimum, sentiasa positif dan yakin dapat menjayakan kehamilan yang diimpikan.

 

Umumnya kehamilan boleh berlaku meskipun anda mempunyai sejarah keguguran sebelum ini. Namun sangat penting untuk menitikberatkan soal kesihatan selepas keguguran. Masalah dari segi fizikal dan emosi boleh wujud sekiranya tidak dikawal dengan baik. Antara contoh, jika wujud parut pada lapisan rahim, ia akan menjadi isu yang serius. Apabila anda gagal untuk hamil selepas tiga kali kitaran haid, anda patut mendapatkan nasihat doktor dan melakukan pemeriksaan menerusi ujian ringkas. Ia mungkin melibatkan suntikan khas ke dalam rahim. Suntikan ini sebenarnya untuk mengesan sekiranya wujud parut di bahagian berkenaan yang boleh menghalang tiub fallopio. Sekiranya tersumbat, pembedahan wajar dilakukan.

 

Apa Perlu Buat Selepas Keguguran

 

Bagaimana mahu mengesan sekiranya anda hamil lagi?

Dapatkan pemeriksaan doktor dan mengulangi ujian transvaginal sonogram serta ujian darah.

Transvaginal sonogram diadakan untuk memastikan kehamilan benar-benar tiada. Ia mesti dilakukan selepas proses keguguran. Ujian air kencing boleh kekal positif selama sebulan maka perlu untuk anda membuat pengesahan kehamilan seterusnya dengan cara di atas.