KelabMama

6 Idea Bilik Pengantin Ringkas Dan Romantik Buat Pasangan Baru Berkahwin

Terdapat pelbagai rekaan bilik pengantin di luar sana. Hiasan bilik pengantin berbeza dengan hiasan bilik biasa.

Bilik pengantin menitikberatkan aspek tema, keselesaan dan wangian. Disebabkan itulah artikel pada kali ini membawa Mama melihat beberapa idea bilik pengantin sebagai inspirasi hari bahagia Mama nanti.

Selain itu, Mama Siti kongsikan sekali tips menghias bilik pengantin. Bilik pengantin bukan sekadar perlu cantik tetapi juga perlu selesa untuk berehat.

Tips Hias Bilik Pengantin

Kredit gambar: osmology.co
  1. Pemilihan Konsep dan Tema 

Pemilihan konsep dan tema ialah langkah pertama dalam persiapan hari perkahwinan. Oleh itu, ia perlu ditentukan lebih awal supaya dapat memudahkan proses dekorasi.

Contoh-contoh konsep atau tema bilik pengantin ialah minimalis, moden kontemporari dan natural. 

  1. Pemilihan Cadar (Bedsheet) Yang Selesa

Menjadi pengantin memang memenatkan walaupun ia cuma satu hari. Oleh itu, keselesaan di tempat tidur memainkan peranan besar buat kedua-dua mempelai merehatkan badan.

Pilih tekstur lembut dan bahan yang berkualiti. Utamakan keselesaan terlebih dahulu berbanding rekaannya yang cantik. 

  1. Haruman dan Wangian

Haruman dalam bilik pengantin yang baru melangsungkan hari pernikahan dan perkawinan penting untuk menaikan mood tenang dan suasana romantik.

Mama boleh pilih bau-bauan yang relaks dan dapatkan wangian dalam bentuk scented candle atau semburan pewangi. 

6 Idea Bilik Pengantin Ringkas Dan Romantik

Moden Kotemporari

Kredit gambar: desainrumahid.com

Bilik pengantin dengan konsep moden kontemporari akan tampak lebih mewah dan eksklusif. Warna-warna yang selalu digunakan ialah warna gelap seperti coklat, merah gelap dan emas. 

Paling penting sekali, pemilihan perabot dan aksesori mestilah bersesuaian dengan tema moden kontemporari.

Ikut Tema Majlis

Kredit gambar: wawasyaida.blogspot.com

Adakah Mama seorang yang suka keseragaman. Jika ya, bilik pengantin Mama hendaklah sama tema dengan baju dan pelamin. 

Sebagai contoh, tema klasik menggunakan tiang empat penjuru dan kelambu. Manakala gaya English menggunakan wallpaper bunga besar, katil warna putih, cadar dan langsir yang sama tona warnanya.

Natural dan Flora

Kredit gambar: Pinterest

Idea bilik pengantin seperti ini sebenarnya trend terkini. Bilik pengantin kelihatan lebih segar dan nyaman. 

Idea dekorasi bilik pengantin tema natural selalunya akan menggunakan pokok dan bunga di bucu bilik. Manakala dindingnya pula berwarna kontra dengan langsir dan cadar. 

Boleh juga pelbagaikan dengan hiasan bunga di bahagian katil.

Minimalis

Kredit gambar: Hias.MY

Idea bilik pengantin minimalis mengetengahkan konsep ‘less is more’. Lebih sedikit perabot dan hiasan, lebih baik. 

Sebagai panduan, Mama boleh letakkan item yang penting seperti katin, tilam, almari, meja sisi dan meja solek. Jika Mama inginkan lebih sentuhan, tambahkan dengan hiasan dinding contohnya bingkai gambar. 

Bagi menaikkan suasana romantik bilik pengantin, letakkan haruman atau wangian yang bersesuaian.

Ala Pelamin

Bilik pengantin seperti ini memberi kelebihan untuk juru gambar merakamkan detik bahagia raja sehari. Kalau dahulu, bilik pengantin selalu dijadikan tempat pengantin bergambar. 

Elemen paling penting bagi bilik pengantin ala pelaminan ialah langsir. Sepertimana yang kita nampak di pelamin, lebih kurang begitu juga di dalam bilik tidur. 

Bilik ala pelaminan akan kelihatan seperti ini. Rekaan langsir di kepala katil, lampu serta hiasan bunga di atas alas yang tinggi bersebelahan katil. 

DIY Ikut Idaman Sendiri

Kredit gambar: carousell.com.my

Walaupun ada banyak perancang perkahwinan di luar sana, kadang-kala ada sahaja rekaan yang tak berkenan di hati Mama. 

Jadi dekorasi sendiri lebih sesuai pada masa ini. Apa yang diperlukan apabila ingin DIY bilik pengantin. 

Pertama sekali, pilih konsep yang diminati di media sosial seperti Pinterest. Kemudian beli alat yang diperlukan di kedai perkakasan. Akhir sekali barulah kita minta bantuan ahli keluarga dan rakan-rakan untuk merealisasikan bilik pengantin idaman.

Kesimpulannya,

Bilik pengantin menitikberatkan aspek tema, keselesaan dan wangian. Diharap idea bilik pengantin yang Mama Siti kongsikan dapat dijadikan inspirasi di hari bahagia Mama nanti.

Tema yang menjadi kegemaran Mama Siti ialah moden kontemporari dan minimalis memandangkan Mama Siti gemar sesuatu yang ringkas dan bermakna.

Paling penting Mama sendiri perlu gembira dengan idea bilik pengantin yang telah dipilih. Ini hari bahagia Mama, Mama perlu nikmati hari ini dengan sepenuh hati.