KelabMama

Ibu Tikam Anak Perempuan & Memandu Mangsa Hingga Meninggal Dunia

Seorang wanita dilaporkan telah membunuh anak perempuan sendiri di Orlando, Florida. Menurut laporan Metro UK, wanita tersebut yang bernama Rosa Rivera, 28 tahun, telah menikam anak perempuannya sendiri hanya kerana tidak mahu anaknya melakukan hubungan seks! 

Membunuh ‘sambil’ Memujuk 

Difahamkan, Rosa Rivera telah datang mengetuk pintu rumah seorang saudaranya dengan kuat pada Ahad, lebih kurang jam 7.30 pagi. Dia kemudiannya terus mengambil anaknya, Aleyda, masuk ke dalam kereta, dan terus menikam anaknya di bahagian belakang badan. Dalam masa yang sama, Rosa Rivera turut memujuk anaknya sambil ‘menasihatkan’ anaknya mengenai seks.

Dia dipercayai telah memandu mangsa untuk beberapa ketika sebelum membawa anaknya ke Winnie Palmer Hospital. Sejurus tiba, kanak-kanak malang itu didapati telah meninggal dunia.

Winnie Palmer Hospital

Suspek Bertindak Kasar di Hospital 

Pegawai keselamatan melaporkan Rosa Rivera bertindak kasar dan ganas ketika menanyakan rawatan bantuan untuk anaknya. Dia dikatakan telah mengeluarkan pisau yang sama digunakan untuk menikam anaknya dan mengugut pegawai perubatan yang ada di situ. Pegawai keselamatan hospital yang curiga dengan kelakuan Rosa Rivera, terus membuat laporan polis.

15 Kesan Tikaman Di Badan Mangsa

Pegawai Polis Orange County menemui kira-kira 15 kesan tikaman di bahagian belakang badan mangsa. Ketika disoal siasat, si ibu mendakwa dia percaya anaknya pernah melakukan hubungan seks dengan lelaki kerana senyuman anaknya mencurigakan.

Tetapi suspek juga mengaku tidak pernah nampak atau tahu anaknya melakukan hubungan seks dengan sesiapa pun. Malah, anaknya turut berulang kali memberitahu suspek yang dia tidak melakukan aktiviti itu sebelum mangsa ditikam bertubi-tubi.

“Suspek mengatakan bahawa dia kecewa dengan anaknnya kerana telah melakukan hubungan seks dengan lelaki atau telah diseksa secara seksual. Berdasarkan maklumat yang diterima, dakwaan suspek sebenarnya tidak betul. Mangsa tidak pernah melakukan hubungan seks mahupun diseksa secara seksual.”

Sheriff John Mina 

Rosa Rivera turut berkata anaknya kini berada di syurga atas apa yang telah dilakukannya. Suspek kini ditahan atas tuduhan membunuh anak sendiri di Penjara Orang County.