KelabMama

Ibu Tergamak Tendang Anak Perempuan 3 Tahun Kerana Duit

Baru-baru ini viral satu rakaman video seorang ibu menendang anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun. Kejadian yang berlaku di Hangzhou, China itu dikatakan berlaku selepas anak perempuannya mengadu keletihan serta tidak dapat memberi gaya yang dikehendaki si ibu.

Menurut laporan DailyMail UK, anak comel berkenaan yang dikenali sebagai Niu Niu, merupakan model kanak-kanak kepada sebuah jenama pakaian tempatan. Mangsa sedang menjalankan sesi fotografi bersama ibu bapanya pada hari kejadian.

Dalam rakaman video selama 10 saat itu, ibu mangsa dilihat menendang dibahagian punggung mangsa dengan kuat.

Ibu Minta Maaf

Ibu mangsa telah meminta maaf sejurus video klip itu tular di laman media sosial. Sumber juga melaporkan, video tersebut telah ditonton sebanyak lebih 360 juta tontonan di laman sosial Weibo di China, dan kebanyakan netizen telah menyelar perbuatan si ibu.

“Saya tidak berniat untuk mencederakan atau mendera dia, saya memohon maaf di atas kejadian ini serta tindakan saya yang telah menimbulkan rasa kurang senang orang ramai. Saya mahu menegaskan, anak saya menerima penjagaan dan kasih sayang yang secukupnya dari saya. Terima kasih,”

ibu kepada Niu Niu.

Mangsa Terlalu Overworked

Salah seorang pengurus pusat pakaian kanak-kanak yang pernah bekerja dengan Niu Niu memberitahu, kanak-kanak tersebut sebenarnya sangat ‘overworked’. Ibu mangsa telah menerima banyak panggilan daripada pelbagai klien untuk Niu Niu memperagakan pakaian mereka, disamping menambah sumber pendapatan keluarga itu.

Segala Pendapatan Niu Niu digunakan Oleh Ibu Bapa

Di China, kanak-kanak yang berpengalaman menjadi model boleh menerima pendapatan antara 80-150 yuan untuk setiap pakaian yang diperagakan. Undang-undang pengiklanan di China melarang mana-mana syarikat mempergunakan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun sebagai model. Sumber juga melaporkan, segala pendapatan yang diperolehi oleh Niu Niu sebelum ini dipercayai telah digunakan oleh ibu bapanya.

Pesan Mama Siti

Mama Siti rasa ramai je Mama semua yang suka sangat gayakan anak-anak bukan? Meh sini Mama Siti nak nasihat sikit. Sekiranya Mama yang mempunyai anak-anak yang dikenali orang ramai aka sudah mempunyai ‘sumber pendapatan’ sejak mereka kecil lagi, JANGAN sesekali paksa anak-anak anda! Anak-anak masih kecil. Biarlah mereka buat apa yang mereka suka. Ini tak, baru umur 3-4 tahun, anak dah ‘sibuk’ dengan sesi fotografi itu ini, majlis itu ini. Tak salah, cuma kenalah berpada-pada. Kesian si kecil Mama tu nanti. Boleh memberi kesan pada mental mereka tau!