KelabMama

Ibadah Korban Tanda Ketaatan Seorang Hamba. Tapi, Apa Beza Korban Wajib Dan Korban Sunat?

Lembu Ibadah Korban

Ibadah korban ialah satu-satunya ibadah dalam agama Islam yang hanya boleh dilakukan dalam bulan Zulhijjah. Menurut Syria Care Malaysia, ibadah korban ialah penyembelihan haiwan ternakan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

Tambahan pula, lebih tepat lagi tempoh menjalankan ibadah korban bermula daripada 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah setiap tahun. 

Korban Wajib VS Korban Sunat

Kredit gambar: Kosmo

Selain dipanggil dengan istilah korban wajib, istilah lainnya ialah korban nazar. Apa-apa perkara yang diniatkan nazar oleh seseorang wajib dilaksanakan sepertimana yang diniatkan. 

Contohnya begini. Mama Siti ambil rujukan dari video JomKULIAH bagi menjelaskan lagi perbezaan korban wajib dan korban sunat. 

Hukum asal ibadah korban ialah sunat muakad iaitu sunat yang dituntut. Namun jika seseorang melafazkan sesuatu seperti;

“Jika aku sembuh dari sakit ini, aku akan melakukan ibadah korban”

Selain itu, contoh lain ialah seperti; 

“Lembu ini akan aku buat korban pada tahun ini” 

Jika ada individu yang berkata-kata seperti itu samada secara serius atau berjenaka, hukum melakukan ibadah korban ialah wajib bagi mereka

Pembahagian Daging Korban

Kredit gambar: Gustianto / Shutterstock.com

Berkenaan pembahagian daging pula, Mama perlu perhatikan beberapa perkara bagi yang melakukan korban wajib dan korban sunat. 

Merujuk daripada Yayasan Amal Malaysia,

Korban sunat: Layak menerima daging sembelihan untuk dimakan oleh diri sendiri dan keluarganya berdasarkan pembahagian yang telah ditetapkan iaitu satu per tiga.

Korban wajib: Haram menerima daging korban untuk dimakan oleh diri sendiri dan keluarganya. Jika salah seorang makan dari daging sembelihan korban itu, maka wajib diganti dengan daging atau nilai yang setaraf. 

Dalil Mensyariatkan Ibadah Korban

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kautsar, ayat 2:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

‘Fa ṣalli li rabbika wan-ḥar’

Maksudnya: Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorban lah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah)

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj, ayat 34-35:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۗ فَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا ۗ وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ

34. Wa likulli ummatin ja’alnā mansakal liyażkurusmallāhi ‘alā mā razaqahum mim bahīmatil-an’ām, fa ilāhukum ilāhuw wāḥidun fa lahū aslimụ, wa basysyiril-mukhbitīn. 

Maksudnya: 

34. “Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. Maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan sampaikanlah (Muhammad) khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah)

Hadis Nabi Muhammad SAW;

“Dari Abu Hurairah, “Rasulullah SAW telah bersabda, barangsiapa yang mempunyai kemampuan, tetapi ia tidak berkurban maka janganlah ia mendekati (menghampiri) tempat solat kami,” 

(HR Ahmad dan Ibnu Majah)

Sesungguhnya, ibadah korban ialah simbol penyerahan diri seseorang kepada Allah SWT. Selain itu, ianya agar kita menzahirkan kesyukuran atas rezeki yang dikurniakan Nya supaya dapat dikongsikan dengan orang lain. 

Fadhilat Melakukan Ibadan Korban 

Bergandingan dengan tuntutan ibadah korban, ianya didatangkan dengan beberapa kelebihan atau fadilat dari Allah SWT. 

  1. Allah mengampunkan dosanya.

Ianya diceritakan oleh kisah Aisyah Radiallahu Anhu dan Rasullulah SAW dari hadis riwayat Al-Hakim. Baginda berkata kepada isterinya itu untuk menyaksikan haiwan ternakan yang dikorbankan. Kata baginda lagi, orang yang melakukan korban, diampunkan dosa-dosanya

  1. Mendapat kebajikan atau kebaikan sebanyak bulu binatang tersebut.

Perkara tersebut dicerahkan lagi dengan hadis riwayat Ibnu Majah;

Zaid bin Arqam Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada korban itu?” Rasulullah menjawab: “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim” Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi darinya wahai Rasulullah? ”Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut satu kebajikan” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan”

  1. Sebagai kenderaan di Titian Sirat.

Bagi orang yang melakukan ibadah korban, di akhirat mereka akan mendapat kenderaan sesuai dengan haiwan korban semasa di dunia.  

Sabda Nabi Muhammad SAW (maksudnya): “Muliakanlah korban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu di titian pada Hari Kiamat”.

Oleh itu, marilah kita semua berusaha lebih keras agar lebihan rezeki tersebut dapat dilaksanakan ibadah korban. Sejarah ibadah korban telah bermula lama dahulu sejak di zaman Nabi Ibrahim AS. 

Marilah kita mengambil semangat dari ketaatan baginda untuk mematuhi syariat yang telah ditetapkan Allah ke atas manusia. Mama Siti harap agar kita semua mendapat rahmat Allah supaya sentiasa menjadi kesayangan Nya.