KelabMama

Haiwan Peliharaan Dalam Islam: Hukum Memelihara Dan Membeli

hukum memelihara haiwan

Mama Papa mesti pernah ada haiwan peliharaan kan? Tapi apa sebenarnya hukum memelihara haiwan? Sewaktu kita kecil kita selalu dengar, tidak boleh memelihara haiwan kerana ibarat mendera dan sebagainya.

Tapi apa sebenarnya hukum memelihara haiwan di rumah? Haiwan apakah yang dibenarkan untuk dipelihara, dan pernah tak Nabi Muhammad SAW membela haiwan peliharaan? Bagaimana pula dengan soal jual beli haiwan?

Mari sama-sama kita lihat jawapan yang Mama Siti kutip dari sumber-sumber yang berautoriti.

Memelihara Haiwan Dalam Islam

Hukum Membela Haiwan Peliharaan

Secara umumnya, hukum asal memelihara atau membela kucing adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fekah yang masyhur :

الأَصْلُ فِي الأشْيَاءِ الإبَاحَة

Maksudnya : Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus.

Ini bermaksud, tiada sebarang tuntutan, ataupun larangan dalam membela kucing.

Sumber rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Namun bagaimana dengan haiwan lain?

Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda :

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا

Maksudnya : “ Lima binatang fawasiq yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam keadaan berihram) iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing gila, burung helang

Riwayat Muslim 1198, Riwayat Bukhari 3314

Perkataan fawasiq yang dinyatakan di dalam hadis memberi makna binatang-binatang pengganggu dan perosak. Berpandukan hadis ini juga, majoriti ulama bersepakat bahawa harus membunuh binatang-binatang tersebut sama ada di tanah haram (Mekah dan Madinah) dan juga di luar tanah haram. ( Lihat : Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim8/ 113-114).

Berdasarkan dalil yang dibentangkan, ular termasuk dalam lima kelompok haiwan penggangu (fawasiq) yang dianjurkan untuk dibunuh. Hal ini kerana haiwan tersebut memudaratkan dan berbahaya kepada manusia.  

Fuqaha telah membahaskan hukum memelihara kelompok haiwan penganggu (fawasiq) seperti berikut :

Hukum Memelihara Ular

Ibn Hajar al-Haitami menyatakan haram mengurung lima binatang pengganggu dan perosak di dalam kandang untuk tujuan pemeliharaan.”  (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh Minhaj 9/337)

Menurut Imam al-Zarkasyi, seseorang yang mukalaf diharamkan memelihara beberapa jenis binatang, antaranya anjing yang tidak dibenarkan oleh syarak dan juga binatang perosak yang lain seperti helang, tikus, burung gagak dan ular. (Lihat : al-Mantsur fi al-Qawaid, 3/80).

Sumber Rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Selain daripada golongan haiwan perosak yang dinyatakan diatas, hukum membelanya adalah HARUS dan ini termasuk:

Nota penting: Hukum membela anjing atau haiwan liar yang lain dibolehkan sekiranya terdapat sebab yang munasabah seperti memburu, gajah untuk berperang, dan binatang-binatang lain untuk tujuan pembelajaran.

Berlaku ihsan kepada haiwan & Azab berbuat zalim

Walaupun benar dibenarkan membela haiwan peliharaan, tetapi Mama Papa perlu ingat satu perkara iaitu perlu berbuat ihsan kepada haiwan peliharaan.

Antara perkara yang ramai terlepas pandang adalah bagaimana berlaku ihsan kepada binatang? Kerana ramai yang menyangka mereka telah menjaga haiwan peliharaan dengan baik, namun pada hakikatnya telah berlaku zalim.

Sebagai contoh seorang yang ingin membela ikan air masin, tetapi tidak menyediakan tanki akuarium air masin yang bersesuaian dengan ikan yang ingin dipelihara kerana kos yang tinggi, mengakibatkan haiwan itu sakit ataupun mati!

Perbuatan sebegini bukan menambah pahala, malah menempah bala kerana berlaku zalim dan menyiksa makhluk ciptaan ALLAH.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya tanpa diberikan makan, dan dia tidak melepaskan kucing tersebut untuk makan sendiri binatang yang berkeliaran di atas muka bumi.”

Hadis riwayat al-Bukhari (3318) dan Muslim (2619)

Sumber rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya:

 لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.

Riwayat Al-Bukhari (2365)

Sumber rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Jadi, tanggungjawab memelihara haiwan peliharaan bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan dan perlu kepada penelitian yang lebih mendalam sekiranya ingin diteruskan.

Saiz sangkar, suhu ruangan, jenis makanan, kebersihan , kesihatan dan yang paling penting, kewangan adalah antara faktor yang Mama Papa perlu fikirkan sebelum mengambil haiwan peliharaan.

Hukum Menjual Beli Haiwan Peliharaan

Para ulama khilaf dalam masalah ini.

Pertama:

Pendapat bahawa kucing ini haram dijualbeli secara mutlak berdasarkan hadis daripada Abu Zubair RA:

سَأَلْتُ جَابِرًا عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ قَالَ زَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ

Maksudnya: Aku (Abu Zubair) bertanya kepada Jabir (seorang sahabat Nabi SAW) berkenaan jual beli anjing dan al-Sinnur (kucing). Dia menjawab bahawa Rasulullah SAW melarang perkara itu.

Riwayat Muslim (1569)

Dalam hadis lain riwayat Jabir bin Abdullah – R.Anhuma -juga bahawa dia berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang makan duit hasil penjualan anjing dan kucing.

Hadis Riwayat Abu Daud (3479) dan Tirmidzi (1279)

Kedua:

Pendapat jumhur termasuk Mazhab syafie membenarkan jual beli kucing jika kucing itu memiliki manfaat seperti menangkap tikus maka hukumnya ialah halal untuk dijual beli.

Begitu juga jika ia merupakan haiwan liar, maka tidak dibenarkan. Ada juga yang mengatakan bahawa kucing ini diharamkan jual beli kerana pada awal Islam ia dianggap najis, kemudian setelah tsabit daripada Rasulullah SAW bahawa kucing itu suci maka dibenarkan jual beli kucing.

Mufti Wilayah Persekutuan telah memutuskan untuk berpendapat bahawa hukum menjual beli haiwan peliharaan adalah makruh kerana terdapat dalil yang jelas melarangnya.

Sumber rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Inilah keindahan islam, mengambil kira pelbagai faktor, termasuk ketenteraman hidup haiwan. Mama Papa ingat pesan Mama Siti, jangan sekadar bela, tetapi perlu penelitian yang tepat bersesuaian dengan haiwan yang ingin dipelihara.


Mama Siti kongsikan pelbagai tips amal ibadah di SINI.